Jangan sia-siakan Revolusi Perancis

Khamis, Ogos 28, 2008

Pernah atau tidak terlintas di fikiran kita, bagaimana jika sistem politik dan susunan sosial yang wujud hari ini masih berkiblatkan feudal tradisional dengan susunan bentuk piramid normal. Golongan autokrat, bangsawan dan mereka yang kaya-raya berada di atas manakala golongan miskin, pekerja dan petani berada di bahagian paling bawah? Sedarkah kita bahawa golongan yang duduk di atas itu adalah golongan yang sedikit dan mempunyai kekuatan suara yang tidak kuat, tetapi mereka yang berada di dalam susunan paling bawah merupakan kelompok yang ramai serta mempunyai kelantangan suara yang mampu menggegarkan?
Mungkin kita fikir kini kita sedang menuju ke arah dunia dan negara yang bebas dan mengamalkan prinsip demokrasi. Tetapi saya yakin ramai di antara kita yang tidak pernah terfikir bahawa waktu feudal masih lagi belum berlalu daripada jam tangan dan dinding masyarakat di sini. Amalan kita di sini jelas begitu mengagungkan golongan atasan, jika dahulu golongan atasan itu saya anggap sebagai kelompok autokrat, bangsawan dan hartawan tetapi pada ketika ini golongan atasan ialah mereka yang memimpin dan menjadi pemerintah dalam kerajaan yang wujud.
Perubahan itu hanya pada terma golongan atasan sahaja, tetapi maksud dan makna golongan bawahan masih tidak berubah, mereka ialah rakyat biasa, petani, pekerja, nelayan, buruh dan sebagainya. Mereka ini kelompoknya ramai daripada golongan pemimpin yang wujud, namun begitu apa yang pelik dan menghairankan ialah golongan ramai ini tunduk dan patuh kepada arahan golongan yang sedikit. Rasa tunduk mereka itu ditambah lagi dengan rasa hormat yang kadangkala berlebih-lebihan.
Saya bukan mengajak untuk kita semua membenci pemimpin, tetapi saya mengajak kita berfikir mengapa kita perlu lupakan kuasa yang ada pada kita? Mengapa kita perlu takut untuk bersuara apabila kita sedar mereka telah melakukan kesilapan? Ini adalah dua persoalan penting yang berada di tengah-tengah ketika kita menilai sistem feudal dan demokrasi. Ke mana mahu kita jatuhkan jawapan kepada soalan ini? Di bahagian demokrasi atau pada bahagian sistem feudal tradisional?
Secara asasnya demokrasi itu adalah mengikut landasan prinsip kesaksamaan dan kebebasan, ini bermakna perbezaan pendapat, kritikan terhadap pemerintah atau golongan atasan serta kemampuan mengeluarkan pendapat secara bebas dan bertanggungjawab tidak menjadi sebarang masalah jika kita ini demokrasi dan merancang untuk menuju ke arah itu.
Jadi apabila kita memilih sistem demokrasi maka kita akan melihat dunia dan negara itu bukan milik golongan atasan atau pemerintah, mereka hanya menjalankan tugas yang telah kita amanahkan kepada mereka. Mereka perlu bijak membuat kerja dan rajin dalam menjalankan tugas. Rakyat mahu hati mereka dipuaskan seboleh yang mungkin jadi tujuan utama pemerintah ini dipilih ialah untuk memuaskan hati rakyat dan mentadbir negara dengan baik, bukannya menjadi individu yang mahu dirinya di megah-megahkan atau tangannya dicium kiri dan kanan. Jika seseorang pemerintah itu mahu dipilih kerana hanya mahu terkenal, ingin bermegah-megah dan mendabik dada, saya fikir mereka sudah tersesat jalan.
Di sini, kita seolah-olah seperti sudah diajar bahawa pemimpin itu perlu disanjung dan diletak di atas kepala, walhal kita terlupa yang mereka itu dipilih oleh siapa? Mereka menjalankan kerja untuk siapa? Bukankah kita yang sepatutnya mereka sanjung dan kita yang sepatutnya mereka puja, kerana tanpa kita mereka tiada apa-apa.
Jadi berbalik kepada dua persoalan utama saya tadi dan ke mana kita mahu jatuhkan jawapannya, demokrasi atau feudal tradisional? Jika kita memilih demokrasi maka kita sekarang sedang berjalan ke hadapan tetapi jika kita memilih feudal nampaknya kita sudah mula mahu berpatah semula ke belakang dan melupakan masa depan.
Akhirnya, saya fikir jika kita tetap mahu berpegang kepada amalan feudal, saya cadangkan kita terbalikkan piramid feudal agar golongan yang ramai duduk di atas dan mereka yang sedikit duduk di bawah supaya falsafah perjuangan dalam Revolusi Perancis tidak sia-sia.

Patriotik yang Plastik

Ahad, Ogos 24, 2008

Aku ditanya kelmarin.

Adakah kamu merasa bangga
melihat bendera MALAYSIA
berkibar-kibar megah?

Aku menjawab.

TIDAK!

Aku ditanya lagi kelmarin.

Adakah kamu berdiri tegak
jika lagu NEGARAKU
dimainkan di tempat-tempat awam?

Aku menjawab lagi.

TIDAK!

Sekali lagi kelmarin, aku ditanya.

Adakah kamu merasa marah
jika NEGARA kamu dikeji dan dihina
di luar sana?

Aku langsung menjawab.

TIDAK PASTI!

Dan kelmarin terus bertanya.

Adakah kamu cukup berminat
dengan irama dan lagu-lagu
PATRIOTIK?

Aku dengan penuh perasaan menjawab

TIDAK!

*(KERANA PATRIOTIK SEMUANYA PLASTIK)*

**Alangkah indahnya jika manusia tidak dinilai dengan objektif!**

Darah Kamu dan Aku

Ahad, Ogos 17, 2008

Kamu berdarah apa?

Merah?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia berani?

Kamu berdarah apa?

Putih?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia suci?

Kamu berdarah apa?

Hitam?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia berdosa?

Masa ketika...

Ahad, Ogos 10, 2008

Kerana semalam
bukan jatuh cinta
dengan hari ini

Jadi tak pernah
ada kenangan
untuk hari esok

Cinta tolong!
berhenti seketika
hari ini

Kerana aku
mahukan kenangan
untuk setiap masa.

Bakal Bebas (belum lagi)

Ahad, Ogos 03, 2008



Sempena menjelang Hari Bakal Bebas yang bakal kita sambut pada 31 Og0s ini, langityangindah akan mempersembahkan beberapa hasil seni yang berkaitan. Harap dapat menikmati dan menilai. :-) (Persekutuan Tanah Melayu sahaja yang merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi MALAYSIA kita hari ini merdeka pada 16 September 1963).




penat

Penat!

emosi bercampur-campur
titik seimbang jadi kacau
lidah tak hilang meracau-racau
kamu tahu hanya ketawa

dan aku pula?

senyum membisu.

kaki bangku

Rabu, Julai 30, 2008

Ramai yang datang
tiada yang hilang
mata tertumpu
ke satu bangku!

Pertubuhan Rakyat Biasa

Isnin, Julai 28, 2008

Dengan ini saya mengisytiharkan penubuhan sebuah pertubuhan perjuangan rakyat biasa yang bernama Pertubuhan Rakyat Biasa (PRB).









sujud menyembah

Ahad, Julai 27, 2008

Membongkok tubuh
menyentuh kaki
bukan milik sendiri
tapi hak si tuan tanah

Aku dan kamu
terus setia membongkok
menyentuh ibu jari
paling besar sekali

Selesai membongkok
kamu bersujud
aku menurut
Dia tersenyum

Kemudian bangun
kami ketawa
hati gembira
kepala dipijak

Saya, kamu dan dia penceroboh kan?

Rabu, Julai 23, 2008

Aku bukan komunis

Aku komunis
bukannya bengis

Kau kapitalis
aku mengemis

Mereka kata
komunis jahat

Mereka kata
kapitalis baik

Komunis itu tentera
atau sistem sosial

Kapitalis itu raja
atau jadikan kita hamba

**saya bukan komunis**

Perempuan gila

Sabtu, Julai 19, 2008

Aku inginkan perempuan gila
Berikan aku warna cinta
Bukan warna yang hitam
Begitu juga warna yang putih

Aku mahukan warna bercampur
Hanya perempuan gila
Tahu mencampur warna jiwa
Hingga berubah jadi berbeza

Berdarah Hidung

Khamis, Julai 17, 2008

Berdarah hidung
ditumbuk garuda
menumbuk angin
diketawa harimau

Bergolek jatuh
terlentang luka
bangun kembali
kemudian rebah

Membujur lalu
berdarah rempuh
melintang patah
terbelah rusuk

16 Julai 1985

Selasa, Julai 15, 2008

Teriak bayi memecah sunyi
Ibu menitis air mata
wajah penuh cahaya
gembira

Ayah datang perlahan-lahan
Alunkan merdu azan ke telinga
Lembut terasa hembusan angin
Tangisan kecil langsung terhenti

Hari ini,
waktu itu berulang lagi
Dan kaki tetap melangkah
melepasi batas usia

Dahulu bayi lemah
Kini insan tabah


Aku mahu kau tahu
Hidup ini tidak
sendiri

Salam lahir 23 bintang selatan. :-)


Terbuai

Isnin, Julai 14, 2008

Ada bisik suara garau
singgah ke cuping telinga
katanya hidup ini buaian

Aku tak percaya
Aku halau jauh-jauh
Suara garau tadi hilang

Jauh dalam kalbu
aku bisikkan sendiri
hidup mesti bergerak

Yang buaian itu bukan hidup
Tapi bimbang...

Bergerak tapi tak ke mana!

Dia pergi...

Khamis, Julai 10, 2008

Dia pergi,
Kamu bila lagi?

Suka?
Jika suka ketawa!

Sedih?
Jika sedih menangis!

Senang bukan?
Jika mahu ambil
Jika tidak lepas!

Kamu sanggup?
Aku tak tahu!

Angguk pun tidak
Geleng pun bukan!

Sendiri...

Rabu, Julai 09, 2008

Ketika berlari mencari arah bintang
Dia mendongak melihat langit
Tiada bintang untuknya malam ini

Dia berjalan pantas ke hujung timur
Mendongak lagi, mencari bulan
Tiada juga cahaya untuknya malam ini

Dia kumpul kisah yang lalu
Dia jalinkan jadi helaian kain tebal
Dihamparkan... lelah

Kisah lalu jadi alas tidurnya
Cerita hadapan dia kurang pasti

Hidupnya jadi sendiri
dan terus berdiri
menguntum senyum
secantik bunga plastik

Marah? Di sini bukan tempatnya...

Ahad, Julai 06, 2008

Jangan hamburkan ejaan M.A.R.A.H
Aku sudah dewasa
Kau tahu atau tidak?
Kau kabur atau jelas?

Semalam aku masih dungu
Berfikir guna akal pinjaman

Hari ini aku pantas dalam semua
mencair dalam gumpalan sendiri!

Putera Katak dan Puteri Manusia

Selasa, Julai 01, 2008

**NOTA** - Ini adalah cerita yang gagal untuk digambarkan semalam!

Kamu mahu bercinta?

Jumaat, Jun 27, 2008

Rayuan cemburu

Rabu, Jun 25, 2008

Malam datang ketika Siang
Belum sempat habis
Bermesra dengan
langit dan matahari

Senja muncul memberi amaran
agar Siang segera pulang
lepaskan kasihnya
Agar Malam mampu pula tersenyum

Siapa Senja mahu bicara untuk Malam
dan memberi amaran kepada Siang?

Mungkinkah Senja dan Malam sahabat setia
Atau Senja mencari peluang menikam belakang?

Kamukah Sakit atau Saya?

Sabtu, Jun 21, 2008

Kamu makan DAUN?

Jumaat, Jun 20, 2008

Kamu Gagah Berahi Bila Ke Sekolah!

Khamis, Jun 19, 2008

Biologi Cinta (Tolong jangan salah faham, Ini adalah sebahagian matlamat pasangan berkahwin)

Rabu, Jun 18, 2008



Nota :- Saya tidak menyuruh anda melakukan perkara sumbang!
Biologi Cinta ialah fitrah asal manusia!
Jika mahu boleh teruskan, (dengan gaya yang sah!)

Ombak dan buih

Khamis, Jun 12, 2008

Ketika ombak deras
laju meluncur
menghentam
membuka paksa
ikatan buih-buih

Adakah air laut

berubah rasa?

Mungkin garam
menjadi gula?

Atau masin jadi
pahit dan racun?

Tenang
Aku menyimpul
menyulam semula
ikatan buih-buih

Tidak mahu segala
mungkin itu jadi nyata

Aku tidak berani
berhadap mimpi
Walau ketika
waktu itu malam
dan saat lena
menutup mata

Kiri dan Kanan mana yang kau pilih?

Rabu, Jun 11, 2008

Tangan Kiri
dikerah kerja
siang dan malam

Tangan Kanan
banyak diam
rehat dan suka

Jadi bantal tidur
Jadi pelaku istinjak
semuanya tangan Kiri

Namun...

bila makan
Kanan kenyang
minum juga
dia yang lega

Kiri
rasa cemburu
bila Kanan mencuri
cintanya

Kanan
selesa melepas rindu
menggenggam cinta
bersama tangan Kiri
seorang perempuan

Kiri
mula berfikir
mencari parang
mencantas kanan

Aku yang seksa!

Mahu makan Apa?

Ahad, Jun 08, 2008



Di belakang aku...

Sabtu, Jun 07, 2008

Di belakang aku
ada dua yang sejenis
berlainan senjata

Di belakang aku
ada dua orang
yang sedang sibuk
berbahasa

Di belakang aku
lidah mereka
bagai terpusing

Di belakang aku
mereka terlilit
belenggu kata-kata

Di belakang aku
antara mereka
rasa bangga
menyeliuh lidah

Di belakang aku
mereka tiada sakit
malah tersenyum
PUAS!!!

Nafkah!

Jumaat, Jun 06, 2008

Kita kerja
Siang dan kadangkala
Malam!

Kita tidur
Malam dan kadangkala
Siang!

Kita makan
Siang dan Malam!

Hujungnya hari
saku dan uncang berisi...

Seketika!

Perut pula bila mahu terisi?
Aku, kau dan semua
Tidak pernah mahu
merancang jadi kurus
dan langsung mati!

Saku dan uncang bocor
langsung hilang sedar!

Binatang kaki dua
Gergasi kaki empat!

Hari-hari perlu diberi makan
dan perlu diberi minum!

Mahu tak mahu

mereka waris kita
nafkah mereka
jadi beban berat
seksa dan sarat!

Kita berdosa
jika curang!

Aku rela mati
dari lihat engkau

lumpuh tak bernyawa!


keluar dari pintu dan terus ke hadapan

Selasa, Jun 03, 2008

Keluar dari pintu
dan terus ke hadapan
jangan kau pandang
lagi ke belakang

setelah kau kini
ada di hadapan
namun jangan dilupa
seketika dulu
kau berlari dari belakang

Segera keluar lalui pintu
sebelum daunnya
tertutup rapat...

Negara Tanah Tumpahnya Darahku terima ancaman serangan udara

Sabtu, Mei 31, 2008

Bandar Hujung Lumpur Terpalit, 31 Mei - Negara Tanah Tumpahnya Darahku semalam menerima ancaman serangan udara dan ini menyebabkan rakyat di negara tersebut terpaksa melupakan hasrat mengisi perut dengan nasi.

Buat sementara waktu rakyat negara itu dinasihatkan untuk berkebulur seketika kerana pihak pemerintah mahu menggunakan wang yang telah disediakan untuk membeli nasi, terpaksa digunakan dahulu bagi menampung keperluan menangkis serangan udara yang dilancarkan oleh pihak musuh.

Menurut jurucakap pemerintah kerajaan tentera Tanah Tumpahnya Darahku, negara tersebut sangat memerlukan bekalan besi dan keluli bagi membolehkan mereka lebih maju ke hadapan.

"Negara kami menerima ancaman serangan udara dan kami berharap rakyat dapat menahan sekejap kelaparan yang ada kerana buat masa ini pesawat perang, jet pengebom dan kapal selam adalah penting untuk menyelamatkan nyawa seluruh penduduk Tanah Tumpahnya Darahku," ujar jurucakap pemerintah junta tentera kerajaan Tanah Tumpahnya Darahku semalam.

Sebagai sebuah negara yang maju, Tanah Tumpahnya Darahku perlu mempunyai sistem pertahanan yang baik, lebih baik dari sistem pertanian yang mampu mengelakkan rakyat menjadi kebulur.

"Dengan senjata yang lengkap sahaja rakyat kita akan menjadi kuat, malah lebih kuat berbanding dengan hanya menjamah sepinggan nasi kosong tanpa lauk," ulas jurucakap kerajaan tentera Tanah Tumpahnya Darahku kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar di Mongolia semalam.

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=336437

Waktu Kita Memang Berbeza (Episod 4)

..."Hmmmmm," orang itu mengeluh panjang seperti tidak mengetahui apa yang patut diucapkannya.

"Macam ni kau jangan gelabah, aku nak tahu apa nama kau dan apa sebab kau datang rumah aku awal-awal pagi macam ni?" Harun makin yakin melontar pertanyaan. Rasa yakin itu hadir selepas melihat orang yang berada di hadapannya seperti gagap dan takut. Jadi Harun pun apa lagi segera menjadi berani dan berlagak seolah-olah garang.

"Hmmmm....." orang itu masih lagi dengan keluhan panjang.

"Kalau kau ketuk pintu rumah aku waktu begini, dan kau harap untuk aku mendengar keluhan panjang dari mulut kau tu, aku rasa kau dah salah rumah dan tolong pergi sekarang juga, aku dah malas nak layan, aku mengantuk, kau faham?" Harun mula marah dan tiba-tiba sahaja Harun teringat kemahiran membebel neneknya dahulu. Harun secara segera mempraktikkan apa yang pernah dilihat pada usaha tutur nenek di kampungnya itu.

"Nanti dulu abang....." akhirnya orang itu bersuara dengan nada yang penuh ketaran.

Harun merenung tajam orang itu. Orang itu juga seperti sedang berfikir untuk menyambung ayat yang membuatkan Harun tiba-tiba menunggu setelah seketika hilang sabar.

"Saya ada bawa sesuatu untuk abang," lelaki itu bersuara sambil mengunjuk secara isyarat bibir, bakul yang dipegang pada tangan kanannya.

Harun hairan dan pelik, ada orang datang waktu awal pagi begini, mengetuk pintu rumahnya sehingga hampir retak dan kini orang itu memberitahu ada membawa sesuatu untuknya dan apa yang mahu diberi itu tersimpan rapi di dalam bakul rotan bertutup kain hitam.

Orang itu menanti balasan jawapan dari Harun, dia tidak berani untuk berkata-kata selagi Harun belum bersedia bertanya hal bakul dan barang yang dibawanya.

"Ah! ini mengarut, datang malam-malam nak bagi barang yang aku sendiri pun tak tahu," Harun mengomel di dalam hati.

Mata Harun kini tertumpu pada bakul rotan itu, Harun kini tidak pasti mahu menerima atau mahu bertanya lagi...

Waktu Kita Memang Berbeza (Episod 3)

Khamis, Mei 29, 2008

...Harun di berdiri di hadapan pintu rumahnya yang dibiarkan ternganga luas. Sesekali mata Harun terkedip-kedip dan mulutnya masih luas melopong. Harun tidak tahu bagaimana mahu memulakan langkah berhadapan dengan apa yang dilihatnya sekarang. Harun masih kaku, namun otak dan hatinya cair dan berfikir.

Harun melangkah sedikit keluar dan membiarkan pintu rumahnya tertutup separuh. Dengan penuh rasa ingin tahu Harun bertanya kepada apa yang ada di hadapannya.

Ternyata Harun sedang berhadapan dengan sesusuk tubuh sederhana, berkulit agak gelap dan bermata sedikit sepet.

"Aku pasti ini adalah orang bukannya hantu," bisik hati Harun yang mula berkurang resahnya.

Harun semakin berani dan mengelap peluh basah pada dahinya.

Orang di hadapan Harun itu kelihatan pelik melihat Harun yang masih berdiri gagah tanpa bicara. Orang itu berdiri sambil memegang kepala lutut kirinya dan setia dengan bakul rotan pada tangan kanannya.

Mereka bertentang mata. Harun memandang dalam pada anak mata orang itu. Orang itu juga tidak mahu kalah dalam permainan mata antara mereka berdua. Ditenungnya juga mata Harun dengan jelingan yang paling garang mampu dibentuknya.

Dengan penuh pertanyaan, Harun membuka mulut mengeluarkan kata-kata.

"Apa yang kau mahu datang rumah aku awal-awal pagi macam ni?" Harun bertanya dengan suara garau yang dibuat-buat.

Orang itu terkumat-kamit pada bibir dan dalam hatinya cuba menyusun ayat membalas pertanyaan Harun...

Waktu Kita Memang Berbeza (Episod 2)

Isnin, Mei 26, 2008

...Sedang Harun terfikir-fikir apa yang perlu dibuatnya pada malam yang cukup membosankan, pintu ruang hadapan rumahnya diketuk bertalu-talu, Harun yang dari tadi sedang asyik mengelamun dan berangan-angan tentang kisah cinta jarum jam dan angka, terkejut!

"Ah! bunyi apa tu?", Harun berbisik sendirian di dalam hati.

Harun memberanikan diri menghampiri pintu ruang hadapan rumahnya. Semakin hampir dengan pintu, jantung Harun makin berdegup kencang. Harun rasakan sekarang dia sedang berhadapan dengan ruang hidup yang makin sempit.

Tidak tahu mengapa Harun merasa begitu takut, Harun juga pelik dengan apa yang terjadi kepada dirinya pada ketika itu.

Harun kini berada betul-betul di hadapan muka pintu, dan gegaran pada sebalik pintu masih terus ada malah makin bertambah kuat. Jari telunjuk Harun kini berada pada tombol, dan kemudian Harun dengan hati yang semakin tak tentu menggenggam tombol pintu yang bergegar-gegar akibat ketukan berulang-ulang yang masih kuat dan tidak kalah untuk berhenti.

Harun tanpa berfikir lagi membuang jauh rasa takutnya dan secara segera memulas tombol pintu warna keemasan berkarat itu.

Sebaik sahaja pintu itu terbuka, Harun melopong, matanya membulat dan Harun kaku...

Waktu Kita Memang Berbeza (Episod 1)

Ahad, Mei 25, 2008

Ketika awal pagi tadi, Harun terjaga dari tidur secara tiba-tiba, tidak tahu mengapa, dalam keadaan tiba-tiba itu mukanya kelihatan pucat seolah-olah baru mengalami mimpi buruk atau yang paling seram. Dicapainya jam meja di atas meja kecil di bucu katilnya, jarum-jarum jam itu menunjukkan 2.30 pagi. Masih terlalu awal untuk Harun bangun dan meneruskan kehidupan seperti pagi-pagi yang biasa. Harun cuba lelapkan semula matanya, tetapi tidak mampu. Seketika Harun terdiam sambil terduduk di bucu katil. Tidak tahu mahu melakukan apa. Harun bangun menuju ke dapur mencari gelas dan air, melegakan sedikit rasa tiba-tibanya tadi.

Harun ke ruang tamu pula, menekan suis televisyen dan membiar sahaja ia terpasang sambil menonton memaksa mata untuk terpejam. Di kaca siaran terpapar perlawanan ulangan Liga Bolasepak Sweden, Harun memang gemar menonton perlawan-perlawan bola sepak, tetapi tidak pernah pula bagi dirinya menonton perlawan liga-liga yang pelik sebegitu. Namun Harun layankan sahaja, tujuannya pun bukan untuk menonton televisyen, tetapi berharap untuk tidur seketika selepas itu.

Harun melihat jam di dinding, kerana jarum itu terlalu cepat, angka juga sudah berubah menjadi 3 pagi. Harun berfikir mengapa angka sering mengikut kehendak jarum, adakah kerana angka itu tidak tahu membuat keputusan sendiri atau jarum dan angka itu sedang buta dalam bercinta...

MASKARA acara seni alternatif penuh makna

Selasa, Mei 20, 2008

3 Mei lalu ketika seluruh tumpuan mata seni tanah air tidak berkedip memandang kemilau Anugerah Industri Muzik (AIM), bertempat di Rumah PENA diadakan satu acara seni yang juga hebat dan mempunyai keupayaannya tersendiri.

MASKARA 8 diadakan sebagai satu kesinambungan kepada tujuh malam MASKARA yang sebelum ini.

Seperti biasa bermula jam 8.30 malam, begitu ramai penggemar sastera khususnya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur berkumpul untuk menikmati alunan naskah puisi dan nilai seni yang diluahkan pada malam itu.

MASKARA adalah akronim kepada Malam Baca Naskah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka.

Bunyinya panjang dan rumit tetapi apa yang dibawakan pada malam itu cukup ringkas, padat dan penuh berseni.

Begitu indah sastera di Malaysia diangkat tanpa dikerumuni dengan elemen komersial.

Acara seni ini sebenarnya telah diusahakan oleh Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama Sekretariat Penulis-penulis Blog dan PENA. Sindiket Sol-Jah ialah satu kumpulan yang dianggotai oleh 10 individu yang cukup berminat dengan perjuangan sastera.

Secara tidak rasminya Sindiket ini diketuai oleh saudara Sinaganaga dan rakan-rakan aktifnya yang lain seperti Pipiyapong, Nazri M. Anuar (Vovin), OP, Mat Jan, Spyz, TokRimau, Samurai, Jigomorrison dan Amir Mukhriz.

Mereka bertemu sekitar 5 tahun dulu dan mula merancang pelbagai perkara untuk mengukuhkan idea penulisan di antara mereka dan berhasrat untuk muncul sebagai di antara kumpulan-kumpulan sastera yang tersohor.

Malah Sinaganaga sendiri menyimpan impian agar Sindiket Sol-Jah menjadi "The Beatles" dalam bidang penulisan sastera.

"Saya mahu melihat Sindiket Sol-Jah menjadi seperti "The Beatles", ulas Sinaganaga.

Beralih kepada MASKARA, acara ini diusulkan sebagai satu majlis yang boleh disertai oleh pelbagai golongan dengan hasrat untuk memberi peluang kepada penulis dan juga penggiat seni yang belum dikenali atau masih baru bagi menonjolkan bakat yang ada dalam diri mereka.

Sudah tentu dalam perkara ini tumpuan MASKARA adalah kepada penggiat seni atau penulis muda, tetapi bagi mereka usia itu bukan penghalang untuk seseorang itu terlibat dalam bidang sastera dan seni.

Bagi Nazri M. Anuar atau lebih dikenali dengan nama Vovin, beliau mahu menjadikan MASKARA sebagai acara seni yang bersifat neutral dan mampu menyatukan semua penulis sastera dan penggiat seni berlainan idea serta pemikiran di dalam satu majlis.

"Hasrat kami adalah untuk menyatukan kesemua mereka yang berminat dengan sastera dan seni di bawah satu bumbung, tidak kira seseorang penulis atau penggiat seni itu beraliran agama, liberal mahupun pop," ujar Vovin.

Sindiket Sol-Jah tidak mengharapkan acara seni ini menjadi wadah utama meningkatkan mutu sastera dan seni negara, tetapi bagi mereka cukup sekadar MASKARA dikenali sebagai medan penyatuan idea melalui ikatan persahabatan.

Satu lagi perkara menarik tentang MASKARA ini ialah elemen curahan kreativiti yang ditonjolkan adalah tidak langsung diambil dari sudut komersial, segala-gala yang berkaitan dengan MASKARA adalah luahan seni percuma yang sarat dengan nilai berharga.

Ini adalah satu perkara yang cukup menarik, memperjuangkan seni tanpa mempedulikan soal wang, yang penting bagi mereka ialah kepuasan menonjolkan karya dan berkongsi-kongsi idea dengan rakan-rakan yang lain.

MASKARA turut memberikan ruang kepada peserta dan penonton untuk mempromosikan sebarang hasil karya mereka seperti novel, antologi, lukisan, muzik atau apa sahaja yang berkaitan dengan luahan seni dan sastera.

Jadi tidak hairan jika hampir setiap edisi MASKARA ada sahaja penggiat seni yang mengambil ruang ini sebagai satu peluang untuk menghebahkan hasil karya dan terbitan baru mereka.

Umumnya MASKARA mengalu-alukan para penulis, penyajak, pemuzik dan juga penggiat seni muda untuk mempersembahkan karya mereka sendiri kepada khalayak yang ada.

Karya-karya ini boleh dipersembahkan dalam bentuk, membaca cerpen terkini, membaca sedutan novel terbaru, mendeklamasikan sajak, berekspresi dengan muzik, tayangan filem pendek dan apa jua persembahan seni yang difikirkan sesuai dengan MASKARA.

Pada malam 3 Mei lalu, MASKARA telah menampilkan individu-individu berbakat besar dalam dunia sastera.

Dimulai dengan persembahan oleh penyajak dan aktivis sastera Marsli N.O yang turut sama membawa naskah buatan sendiri yang bertajuk Penipu untuk dipromosikan, diikuti dengan Azwan Ismail yang mendeklamasikan puisi sinis gaya Azwan Ali, seterusnya hadir pula Taf Teh yang mempersembahkan gaya puisi menawan hati.

Akhir sekali Nazri M.A (Vovin) muncul di pentas MASKARA dengan luahan sajak cukup bermakna.

MASKARA bukan sahaja ditumpukan kepada naskah sajak sahaja, tetapi turut diselangi dengan persembahan "Silat Mata" oleh Basri D.S, sebenarnya ia adalah satu pertunjukan silap mata dan dinamakan sebagai silat mata kerana saudara Basri memulakan persembahannya dengan sedikit sentuhan silat, tambahan pula pakaian yang dikenakannya jelas kelihatan seperti seorang pendekar.

Seorang Rocker Rock Kapak dari Panama, Derrick Jaramilo turut membuat persembahan pada malam itu dengan gaya yang cukup mencuit hati, persembahan beliau diiringi oleh kugiran The Junk dengan hanya berbekalkan dua gitar akustik.

Kami turut sempat bertanya kepada Sinaganaga, berkaitan dengan rancangan untuk meluaskan pengaruh MASKARA di luar Kuala Lumpur.

"Memang kami berhasrat untuk melakukan perkara tersebut, membawa MASKARA keluar dan singgah ke negeri-negeri yang lain, kami ada mendapat tawaran untuk membawa MASKARA ke Pulau Pinang dan Johor tetapi bukan satu perkara yang mudah untuk melaksanakannya, ia memerlukan perancangan yang cukup teliti, tetapi ini bukan alasan, kami akan tetap berusaha untuk menjadikan hasrat ini satu kenyataan," ujar Sinaganaga.

Beliau juga menambah yang Sindiket Sol-Jah berharap dapat melaksanakan MASKARA sebanyak enam atau tujuh kali dalam setahun.

Pada malam itu juga Sindiket Sol-Jah turut melancarkan dua buah buku blog (blook), blook yang pertama bertajuk Sabotaj 3 yang menghimpunkan catatan menarik 10 orang ahli dalam Sindiket Sol-Jah dan blook yang kedua bertajuk Gangguan Teksual yang menggabungkan beberapa catatan perasaan dan luahan para blogger tempatan.

Kedua-dua blook ini bukan sekadar bahan bacaan biasa kerana ia sarat dengan kandungan sinis, satira dan satu himpunan penulisan yang berjiwa sendiri.

Jadi untuk anda yang inginkan kelainan dalam koleksi bahan bacaan dan mahu tahu rahsia mencipta isi-isi blog yang menarik dan penuh dengan sindiran matang, dapatkanlah Sabotaj 3 dan Gangguan Teksual.

Sindiket Sol-Jah boleh dihubungi melalui:http://sol-jah.blogspot.com sindiketsoljah@gmail.com

Mahathir dan drama...

Mengapa kelmarin Mahathir secara tiba-tiba membuat drama suspens baru, saya fikir kejutan yang dilakukan beliau bukan untuk meraikan hari lahir sesiapa, tetapi dilihat sebagai satu petanda kepada masa kecederaan dalam situasi politik terkini Malaysia. Nampaknya kejutan dan gelora ombak besar yang meranapkan penguasaan selesa kerajaan UMNO-BN masih lagi belum reda. Setelah satu perkara, hadir pula perkara yang lain. Jika saya yang menjadi Perdana Menteri dalam waktu sebegini mungkin sukar untuk saya mengawal rasa marah dan emosi yang makin melambung tinggi, setinggi harga barang-barang keperluan di negara kita.

Tindakan ini merupakan antara beberapa lanjutan siri kejutan yang biasa dimainkan oleh Mahathir. Pelbagai reaksi timbul apabila kejutan terbaru ini muncul, ada yang marah, bahagia, pelik dan pelbagai lagi perasaan yang wujud. Bagi saya Mahathir adalah pemimpin yang sentiasa bergelumang dengan kontroversi. Hari ini saya tidak berminat untuk menonjolkan kontroversi-kontroversi lain yang menyelubungi karier politik Mahathir, tetapi saya lebih berminat untuk menonjolkan apa yang boleh kita gambarkan sebagai jodoh pemimpin ini dengan UMNO.

Mahathir menjadi antara individu terawal yang menyertai UMNO sejak dari zaman awal kemunculan parti itu membela nasib Melayu menentang Malayan Union. Mahathir pernah dipecat sebagai ahli majlis tertinggi UMNO pada 12 Julai 1969 selepas berlaku pengedaran umum surat beliau mengkritik corak kepimpinan Tunku Abdul Rahman, khususnya dalam soal pembelaan terhadap orang Melayu dan kebijaksanaan Tunku dalam mengatasi masalah pertembungan kaum pada 13 Mei tahun yang sama. Kemudiannya Mahathir dipecat sebagai ahli UMNO pada 26 September 1969 akibat kelantangan tidak bertempat yang disifatkan oleh Tunku sebagai bahaya dan mampu menggugat keupayaan UMNO.

Namun begitu ketika era pemerintahan Tun Abdul Razak, Mahathir diterima semula masuk ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972. Ini adalah suratan jodoh yang dapat kita kaitkan di antara UMNO dan Mahathir.

Semalam kisah yang sama berulang kembali, tetapi waktu dan suasana serta punca keadaan adalah berbeza. Kali ini Mahathir tidak dihalau dari rumah UMNO, tetapi Mahathir sendiri mengemaskan barang-barangnya dan keluar dengan sendiri. Sebab utamanya adalah kerana Mahathir tidak begitu selesa dengan cara Tuan Rumah yang baru menguruskan rumah tersebut, menurut Mahathir begitu banyak yang bocor dan tidak dibaiki, ini menyebabkan Mahathir tidak lagi selesa dan mengambil keputusan untuk pergi. (Walaupun bocor-bocor itu adalah buatan tikus-tikus peliharaan Mahathir serta tangan Mahathir sendiri yang hilang punca dalam membaiki).

Imbas kembali pada tahun 2002, Mahathir pernah dengan penuh kesayuan dan hati yang sebak dengan nada suara yang tersekat-sekat mengumumkan hasrat meletak jawatan dalam UMNO dan sebagai Perdana Menteri, ketika itu begitu ramai yang sedih dan menggesa Mahathir menarik balik tindakan tersebut, kerana ketika itu suara-suara berkenaan menganggap Mahathir sebagai pemimpin yang masih diperlukan untuk menyatukan UMNO. Mereka memujuk dan akhirnya Mahathir bersetuju untuk hanya meletak jawatan pada tahun 2003. Indah sungguh susunan plot pada ketika itu.

Namun kelmarin keadaannya nyata berbeza, tidak ramai suara yang bernada memujuk, meminta Mahathir menarik balik keputusan tersebut, malah ada yang menyatakan Mahathir sebagai individu yang tidak bertanggungjawab dan cuba memburukkan lagi keadaan parti. Apa sudah jadi pada rasa sayang pengikut-pengikut UMNO ini, dan saya sendiri faham yang Mahathir juga mengerti (ikut pengalaman silamnya), sifat UMNO memang begini, sesiapa tidak dapat menyangkal kenyataan ini. Sudah kita faham dan ketahui bahawa kita adalah negara dunia ketiga yang masih mencari arah demokrasi, tidak hairan jika asas politik di negara kita ini berbentuk politik kuasa, siapa ada kuasa dia kita sanjung, apabila kuasanya hilang dia sudah tidak dijunjung.

Satu perkara penting yang perlu kita fikir dan renungkan ialah ajakan Mahathir kepada semua isi rumah untuk mengosongkan kediaman UMNO adalah satu ajakan yang berbunyi serius, cuba bayangkan jika semua isi rumah UMNO keluar dan tinggal di luar tanpa berlindung, apa akan jadi jika hari hujan dan ribut melanda? Adakah mereka sanggup untuk kekal di luar dan berlagak tegak berdiri walaupun sudah demam dan lelah ditimpa hujan?

Mahathir memang sinonim dengan drama dan tindakan beliau keluar dari UMNO ini adalah lanjutan daripada siri-siri drama sebelum ini. Jadi kepada semua ahli UMNO yang berfikir tentang parti dan penyatuan, keadaan yang ditimbulkan hanya perang peribadi antara dua pemimpin dan rasa tidak puas hati kepimpinan dahulu dengan yang sekarang, masalahnya mudah, jangan pula kita menjadi pihak yang merumitkan keadaan dan kemudian tersepit ditengah-tengah tanpa ada sebarang ruang untuk kita bernafas.

NAMA SUDAH BERBAHASA INGGERIS BAGAIMANA PULA BICARA TENTANG PERJUANGAN MELAYU! FIKIR-FIKIRKAN...

Dia berlakon lagi...

Isnin, Mei 19, 2008

Wah! dia semakin matang dalam dunia lakonan
sejak dulu hingga kini tahap lakonannya makin menyerlah
setiap detik bakatnya berjaya menunjukkan kesungguhan

Jika dahulu sebelum filem terbaru ini
dia melakonkan watak wira tak didendang
yang kecewa lalu menangis di hujung cerita

Kini lakonannya kian cemerlang
watak wira dengan tangisan
sudah tiada kaitan dengan dirinya
Watak-watak lakonannya
kini lebih garang dan agresif (kononnya)

Ada yang memberi pujian
Tidak kurang jugak yang melemparkan kritikan

apa pun kata orang
filem terbarunya bakal ke gerbang "Kotak Pejabat"

~Tahniah~
untuk pelakon hebat ini
kerana berjaya membawa genre komedi
menjadi Filem Terbaik tahun ini...

Bicara hari

Sabtu, Mei 17, 2008

Bertanya hari yang ini
kepada hari yang semalamnya...

"Adakah aku akan hilang seperti kamu?"

Jawab hari yang semalam
kepada hari yang ini...

"Aku tidak pasti, mungkin kau boleh tanyakan
kepada hari yang esok, adakah dia sabar untuk menunggu."

Bertanya hari yang ini
kepada hari yang esok...

"Adakah kamu sanggup bersabar seketika?"

Jawab hari yang esok
kepada hari yang ini...

"Tidak, aku tidak boleh menunggu lagi
kerana aku juga mahu menjadi seperti kamu,
jadi hari yang sebenar-benarnya hari...
bukan mimpi, masa hadapan atau juga sejarah!"

Myanmar dan kesombongan

Khamis, Mei 15, 2008

Myanmar merupakan sebuah negara yang terletak di utara Asia Tenggara. Negara ini mempunyai satu "keunikan" politik dan ia sememangnya tidak dapat kita nafikan. Mengapa saya tiba-tiba mengatakan yang Myanmar ini merupakan negara unik politik? adakah Myanmar ini istimewa atau bagaimana? Mungkin jika sebelum ini apabila kita dengar sahaja perkataan unik, maka dengan serta-merta kita akan kaitkan unik itu dengan keistimewaan dan nilai-nilai yang cukup berbeza. Tetapi Myanmar unik politiknya bukan istimewa tetapi menyeksakan.

Myanmar merdeka pada 4 Januari 1948 sebagai sebuah republik yang bebas dan pada permulaan perjalanan negaranya Myanmar mula dilihat mencambahkan ruang-ruang demokrasi dan dilihatberminat untuk menjadikan negara tersebut sebagai sebuah negara yang memberikan nilai negara kepada rakyatnya.

Pemerintahan dan era percambahan demokrasi mula pudar dan kemudiannya hilang pada tahun1962 apabila Jeneral Ne Win memimpin satu bentuk rampasan kuasa tentera. Ne Win menjadi pemimpin utama Myanmar hampir 26 tahun dan memperkenalkan beberapa bentuk dasar dan tindakan demi membawa Myanmar ke arah pembentukan sebuah negara yang berpegang teguh kepada ideologi Sosialisme (Sosialisme kepala bapak diaorang! Saya cukup marah kepada orang yang berselindung di belakang topeng ideologi!). Di antara tahun 1962 dan 1974, Myanmar ditadbir oleh Majlis Revolusi yang diketuai oleh seorang Jeneral dan hampir keseluruhan aspek kehidupan penduduk di Myanmar telah dikawal dan dipusatkan di bawah kawalan ketat pihak kerajaan.

Dalam beberapa usaha untuk mengukuhkan kuasa, Jeneral Ne Win dan beberapa orang pimpinan tentera telah meletak jawatan dalam kedudukan ketenteraan untuk berada dalam jawatan awam dan sejak dari tahun 1974, Myanmar telah menginstitusikan corak sistem satu parti dan dengan serta-merta mengetepikan hak warga Myanmar untuk berpolitik dan menubuhkan pertubuhan-pertubuhan politik demi memperjuangkan kebebasan suara rakyat. Di antara tahun1974 dan 1988, Myanmar secara dasarnya telah diperintah oleh Jeneral Ne Win melalui Parti Program Sosialis Myanmar.

Disebabkan berlaku bantahan yang cukup kuat dan berterusan daripada hampir keseluruhan rakyat Myanmar, pada 31 Mei 1989 kerajaan junta tentera Myanmar telah mengemas kini satu rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Pada Mei 1990, pihak kerajaan tentera Myanmar telah mengadakan satu pilihan raya umum buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun. Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, telah memenangi 392 daripada 489 kerusi yang dipertandingkan dan wajar untuk partinya membentuk sebuah kerajaan demokratik, tetapi keputusan pilihan raya itu telah ditolak oleh pihak junta tentera yang tidak mahu untuk menyerahkan kuasa. Diketuai oleh jeneral Than Shwe pada tahun 1992, rejim tentera terus menguasai Myanmar dengan menolak suara rakyat yang telah pun memilih sistem demokrasi sebagai idea anutan politik di Myanmar.

Kita sememangnya telah mengetahui dan sentiasa tahu apa yang berlaku di Myanmar daripada krisis politik yang melihatkan bantahan besar-besaran yang dicetuskan oleh golongan sami Buddha hingga kepada yang terbaru bencana alam terburuk tahun ini, Taufan Nargis.

Ramai yang melihat bahawa taufan ini adalah satu bencana tetapi saya melihat ada satu rahmat yang tersembunyi di sebalik semua ini. Secara nilai kemanusiaannya memang kita bersimpati kepada rakyat Myanmar, tetapi dari segi penilaian politiknya kita melihat bahawa rakyat Myanmar harus melihat Taufan Nargis sebagai bencana yang bakal membawa perubahan kepada situasi politik terkawal yang membelenggu fikrah mereka.

Di kala rakyat menangis, rejim tentera di Myanmar masih lagi degil dan memberikan ruang kepentingan kepada diri mereka semata-mata. Mereka tetap tidak mempunyai hasrat untuk membantu rakyat sendiri, apa yang penting bagi mereka ialah mampu terus berkuasa dan mengukuhkan kedudukan senjata tentera mereka dengan menafikan hak peralihan politik dan demokrasi rakyat. Ada dua perkara yang saya lihat sebagai penting untuk kita mengetahui, mengapa rejim tentera ini begitu degil dan memiliki kepala yang sekeras batu.

Pertamanya mudah sahaja, soal demokrasi. Seperti yang kita tahu apabila tersebar sahaja berita bahawa Myanmar dilanda taufan kritikal dan ramai rakyatnya menjadi korban, maka negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis merupakan antara negara terawal yang mahu menghulurkan bantuan. Tindakan Amerika Syarikat khususnya dalam hubungan antarabangsa sering dianggap sebagai tindakan yang mempunyai sebab asas dan sebab tersembunyi.

Bagi saya sebab asasnya ialah bantuan dihulur atas dasar kemanusiaan dan sebab tersembunyinya pula adalah peluang untuk menyebarkan idea demokrasi ke Myanmar. Amerika Syarikat khususnya bagi saya mahu menundukkan junta tentera Myanmar yang kini dalam keadaan tertekan dalam keadaan yang cukup hormat. Perkaranya cukup mudah, jika Myanmar menerima kehadiran langsung pakar-pakar bencana Amerika Syarikat dan juga bantuan-bantuan bekalan yang lain, percayalah kemudiannya Amerika Syarikat akan terus hadir dengan idea-idea baru supaya Myanmar jatuh dalam lingkaran demokrasi.

Ini adalah perkara yang tidak mahu diterima oleh junta tentera Myanmar, maka mereka telah menolak kehadiran langsung wakil-wakil asing ke Myanmar. Nampaknya junta ini tidak serik-serik memperjudikan nasib rakyat, mereka mempolitikkan isu kemanusiaan untuk kepentingan sendiri.

Itu dari segi demokrasi, sebab yang kedua kita dapat perhatikan ialah pihak junta dilihat tidak mahu kelihatan tewas di mata rakyat sendiri. Ini ada kaitannya dengan ego pihak rejim tersebut. Kita lihat bagaimana mereka cukup angkuh menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan bantuan asing kerana mereka mampu mengawal situasi dan menurut mereka lagi tiadasebarang kejadian kebuluran atau wabak penyakit berlaku.

Kata-kata sebegini datang dari mulut pemimpin tentera yang kian terdesak dan tersepit dikala masyarakat antarabangsa menggunakan isu ini untuk menekan Myanmar agar polisi tutup pintu mereka dapat dibuka seluas-luasnya. Ego ini hanya untuk menutup mata rakyat bahawa kerajaan tentera amat bertanggungjawab dan tidak tunduk kepada tekanan asing. Tindakan menyembunyikan jumlah kematian sebenar juga adalah tindakan bodoh demi memelihara ego agar tidak disenda-sendakan oleh rakyat sendiri. Jadi adakah jika mereka menolak bantuan asing yang lebih untuk masuk membantu mereka telah dianggap sebagai wira oleh rakyat tempatan?

Jadi di sini satu persoalan penting timbul dan saya tidak pasti adakah pimpinan tentera kejam Myanmar mampu menjawabnya ataupun tidak. Adakah isu Taufan Nargis ini isu politik? jika isu politik bermakna Taufan itu adalah ciptaan Than Shwe bukannya hukum dalam bencana alam.

Aku ini mesin analog, kau faham?

Isnin, Mei 12, 2008

Wah! kita sekali lagi mahu didigitalkan
kita bakal dijadikan alat automatik
pengikut telunjuk...

Mereka tidak habis-habis mahu
melihat kita menjadi mesin
lengkap dengan alat kawalan jauh

Kalau begini,
aku rela jadi mesin rosak
daripada jadi mesin canggih,
digital dan berkawalan jauh...

Mereka sukar terima hakikat
Kita ini mesin analog
hanya kita menentukan kelakuan sendiri

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=332389

Bukan Kopratasa...

Sabtu, Mei 10, 2008

Masihkah kau ingat
ketika salji turun
di tengah padang pasir
kita bergelak suka...

Mereka datang lagi...

Isnin, Mei 05, 2008

Bila kita sedikit lapang
mereka mula diulit gelisah

Bila mereka berdada lapang
Kita pula dihimpih gelisah

Ketika kita bersenang-senang
Duduk mereka seperti berbisul

Dan ketika kita bersusah-payah
Mereka senang bersiul-siul

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Mutakhir/20080505094646/Article/index_html