lawak jenaka

Selasa, April 29, 2008

Dewan yang sepi kembali riuh, pemenang-pemenang pertandingan yang lalu hadir dengan semangat dan mungkin idea yang baru, tetapi tidak juga dapat dinafikan ada yang hadir dengan tahap idea yang bertakuk lama, tidak pernah berubah dan mereka berada di dewan ini bukan untuk perdebatan serius dan membangunkan demokrasi serta meningkatkan tahap kematangan pemimpin, tetapi kehadiran mereka ini lebih kepada menjadi penyeri majlis dan hanya bertindak sebagai pelawak-pelawak selingan persis apa yang kita tonton dalam konsert-konsert di RTM.

Mengapa wujud golongan pelawak-pelawak ini pun saya tidak tahu, adakah kerana mereka lupa yang kehadiran mereka itu adalah melalui undian rakyat yang menagih demokrasi bukannya melalui undian SMS untuk mengekalkan peserta Akademi Fantasia yang mahu terus bersaing.

Bagi saya situasinya amat mudah, sebagai orang penting dalam perjalanan sistem demokrasi, seluruh umat dalam dewan parlimen ini perlu sedar akan peranan, nilai kematangan dan idea yang diluahkan oleh mereka dalam percakapan dan perdebatan. Mereka bukan berdebat isu-isu mudah, bukannya perkara-perkara remeh, mereka bercakap-cakap, berbincang-bincang dan berdebat-debat isu dan agenda untuk rakyat, mengutamakan nilai undi yang diberikan rakyat dan yang paling penting terus-menerus memelihara nilai demokrasi rakyat Malaysia.

Bukan tujuan saya menulis ini untuk memerli atau menghina kerja seorang pelawak, seorang pelawak adalah penting kerana mereka ada untuk menghiburkan hati kita yang sedang sedih atau ketika kita sedang dalam kerisauan. Namun begitu kerisauan, kekecewaan dan juga kesedihan rakyat itu bukan boleh diubati dengan lawak jenaka di dalam dewan, tetapi ia hanya mampu diubati dengan cara serius, cara matang dan cara yang lebih bijak. Keasyikan membuat lawak di dalam dewan bukanlah satu perkara atau tindakan yang wajar, tindakan sebegini juga bukanlah tindakan seorang ahli dewan yang bijak. Semakin galak isi-isi dewan ini membuat lawak maka semakin kuat kita akan mendengar tangisan-tangisan kecewa rakyat Malaysia.

Bukan salah untuk seseorang ahli dewan itu membuat lawak atau menghiburkan hati para ahli yang lain selepas beberapa ketika perdebatan dipenuhi dengan elemen garang dan tertekan, tetapi perlu mereka ketahui bahawa lawak itu perlu disampaikan dalam situasi penuh mesej dan sinis bukan sekadar lawak-lawak kosong dan lemau. Sebelum ini kita dapat melihat beberapa siri lawak "lemah batin" atau dalam kata yang lebih mudah lawak-lawak tidak berisi yang cukup mengecewakan. Mungkin lawak sebegini wujud kerana isi-isi dewan sebelum ini tidak seimbang dan kebanyakannya sering sahaja berbicara sesama sendiri. Jadi wujudlah idea untuk meminggirkan, memerli dan juga merendah-rendahkan pihak yang berhadapan dengan tekanan yang kuat.

Dalam situasi hari ini, isi dewan telah berubah dengan cukup besar, hari ini tiada lagi alasan dewan berbicara sendiri kerana kini dewan sudah mampu untuk mewujudkan perbincangan dan perdebatan yang lebih matang dan serius. Mulai detik ini saya dapat ramalkan bahawa kemungkinan besar tiada lagi ahli-ahli dewan yang mahu terlibat dalam siri rancangan lawak lemah Parlimen. Apa yang kita akan lihat selepas ini ialah jika ada berlaku situasi lawak jenaka di dalam dewan, isi dan idea lawak itu mungkin lebih bernas, sinis dan lebih berbentuk menjana idea pemikiran yang lebih matang.

Selepas ini jika ada ahli dewan yang "berani dan yakin" menonjolkan bakat tersimpan mereka untuk membuat lawak-lawak "lemah batin" ini saya fikir kita perlu lakukan sesuatu pada edisi pemilihan akan datang bagi mengajar dan membawa keluar pelawak-pelawak yang hilang arah ini supaya mereka kemudiannya diberikan peluang untuk berlawak di gelanggang Raja Lawak.

Kita...kita...Mereka

Isnin, April 28, 2008

Kita
makan nasi
bukan besi

Kita
jalan kaki
dan naik angin

Mereka
minyak percuma
berhawa dingin

jalur-jalur pada sehelai kain

Khamis, April 24, 2008

Bendera Persekutuan Malaysia
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (berkuatkuasa tahun 1801)



Mari kita fikirkan, adakah apa yang kita lihat ini mempunyai kebenaran? atau adakah ianya sekadar satu kebetulan?
*Nanti akan ada sambungannya*...

Irama tegas yang berdiri

Rabu, April 23, 2008

Anda pernah terdengar satu irama yang bila sahaja dikumandangkan, akan berdirilah seisi umat yang patuh!

Mengapa manusia yang ada darah-darah segar ini menyerah dan tunduk lalu hormat kepada irama sebegini rupa?

Persoalan-persoalan saya akan tetap timbulkan...

Bagi yang belum mengetahui, atau ada yang sudah tahu tetapi menulikan telinga dan mencilikan mata sendiri agar pedih lalu buta...

Irama yang membuatkan kita berdiri dengan sengaja atau tidak itu sebenarnya tiada ada langsung kaitannya dengan rupa kita sendiri...

Simbol-simbol yang datang dalam nota-nota lagunya tidak langsung kena dengan tepat kepada spesis gegendang telinga manusia kita...

Jadi di sini timbul lagi pertanyaan...

Mengapa kita terlalu mudah menyerap, membentuk diri menjadi span kuning yang sarat dengan air-air yang kita tidak tahu kesuciannya...

Kita disini bukan semata-mata pandai mencipta, mengubah dan hidup dengan apa yang ada...

Tetapi kita perlukan lebih dari itu, kita perlukan rupa sebenar, bukannya berwajah dengan yang lain...

Menutup dengan topeng kulit berbeza...

Kita ada darah sendiri, darah kita semuanya merah...

Sejarah itu darah atau menyerah?

Jumaat, April 18, 2008

Hari-hari kita memandang luar jendela
setiap kali subuh dan pagi
adakah mungkin sesuatu yang baru
atau tidak langsung selesa dengan yang lama
Hmm... Manusia bukan?

Setiap masa kita mencari-cari jarum waktu
Mahu sangat kita tahu
Tetapi kadangkala sampai keliru

Masa semalam...
Maafkan aku jika terlalu ke belakang
Mungkin bukan semalam...
Sebentar tadi, atau beberapa saat sebelum ini
Atau mungkin seketika selepas aku menekan
petak kekunci aksara yang berhuruf 'A'
Maka setiap itu adalah sejarah

Namun kini nilainya seperti tiada guna
Hanya cerita-cerita terpilih yang diagungkan
bagaimana pula dengan darah-darah agung
yang dicampak ke dalam gaung?
Adakah titis-titis itu bukan sejarah?
Atau hanya itu kisah dongeng

dan kisah-kisah terpilih itu...
Adalah ceritera agung dan permulaan cahaya
atau mungkin itu hanya angin penghilang rupa?

tujuh deria

Selasa, April 15, 2008

aku tahu aku bukan berbangsa majoriti
memamg betul aku ini minoriti
jadi kenapa?
adakah menjadi masalah jika aku bukan majoriti?
kawan-kawan aku peratus besarnya majoriti!

Kawan-kawan aku baik-baik semuanya
tak pernah timbul isu aku ini minoriti
dan mereka majoriti!

Aku ketawa kuat-kuat
bila aku tahu ada yang beria-ia
mahu membezakan majoriti dan yang lainnya
mungkin ada yang marah, bila terdengar
aku mengarut di sini

Ada masalah yang ingin aku tanya
mungkin ada yang mampu memberi jawapan

Kenapa bila majoriti bercakap dengan minoriti
menggunakan bahasa lidah rasmi mereka,
cara percakapan jadi begitu menjengkelkan
tiba-tiba lidah mereka berputar arah
terbelit-belit
mereka jadi gagap-gagap
dan bertutur seperti tidak fasih!

Lagi satu perkara penting
mengapa minoriti ini
beria-ia mahu jadi orang lain
mahu jadi majoriti
mahu jadi pejuang darah lain
mengaku diri tak tentu fasal
ahh!!! lagi pening tak kenal diri!

Tanah kita hari-hari
manusianya jadi cacing
yang panas,
tidak tentu arah kiblatnya
jadi makluk tujuh deria
selalu menghidu
perkara-perkara busuk

Lagi elok deria-deria tambahan
kita sama-sama guna
untuk hidu bau-bauan yang segar
yang wangi
dan yang lebih harum
jangan jadi ratu cantik
pemakan sampah!

selamat hari lahir sayang

Rabu, April 09, 2008

Selamat hari lahir sayang
jika aku ada silapnya
harap engkau tidak segan
betulkan arah salahku

Kita sama-sama hidup
meredah angin cinta
dan menyentuh bintang suci
tiada yang lain dalam hati

Selamat hari lahir sayang
moga tuhan redhai
perjalanan kita
yang dahulu, dan
yang akan kita lalui...

*09 April 2006*

Kanggaru dan mesin yang baru dibaiki (Tetapi masih banyak yang perlu dibaiki)

Pilihan raya umum ke-12 yang lalu jelas memberikan makna tersendiri dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perubahan-perubahan yang berlaku dinilai dari pelbagai segi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang melihat perubahan yang berlaku membawa makna yang baik dan ada pula yang melihat perubahan dalam erti kata yang berbeza. Walau apa pun persepsi dan pandangan, Malaysia harus tetap dibangunkan, Negara tercinta ini perlu tetap dimajukan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Andai kita diberikan pilihan sudah tentu kita mahu sahaja yang paling baik, tetapi kita telah membuat pilihan dan demokrasi sudah semakin jelas di sini, tetapi hasilnya sahaja belum kita peroleh. Apa yang diharapkan pemenang-pemenang pertandingan yang lalu dapat memberikan kesuburan nikmat demokrasi kepada rakyat yang memilih mereka. Jangan dikhianati atau jangan pula memberi pulangan hampa kepada rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang.

Selepas keputusan diumumkan, kerajaan pula dibentuk dan sesudah kerajaan disesuaikan gerak langkah pembangunan dan keadilan untuk rakyat pula disusun dan dimulakan. Rakyat berhak menuntut apa yang dijanjikan, mereka berhak berharap dan mereka juga ada peranan penting, jangan kita lupa perubahan pilihan raya 2008 ini adalah kerana rakyat sudah bijak dalam menggunakan kuasa, rakyat bukan lagi mengikut arah arus utama, tetapi kini rakyat menilai apa yang terbaik dan perubahan juga sudah menjadi sesuatu yang ingin dicuba-cuba. Jadi kepada mereka yang sering berjanji dan selalu mungkir, anda adalah sasaran untuk dijatuhkan pada edisi pemilihan yang berikutnya.

Sejak kebelakangan ini negara kita sering digemparkan dengan kisah-kisah politik, saya tidak pasti sama ada kisah-kisah ini adalah benar atau hanya dongeng khayalan dan rekaan demi untuk mewujudkan suasana kurang selesa kepada lawan masing-masing. Ini juga adalah sindrom biasa dalam penyakit politik di Malaysia bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara-negara membangun yang masih membina arah demokrasi masing-masing. Bukan salah untuk kita bercerita, tetapi biarlah kisah benar dan berfakta kita bukan bercerita untuk lelapkan mata anak-anak kecil yang mengantuk, kita bercerita kepada kumpulan yang bijak menilai dan memberi markah. Jangan kita membuka kisah dongeng agar demokrasi dan sistem politik di Malaysia mencapai tahap kematangan yang wajar.

Isu orang-orang politik melompat-melompat seperti kanggaru bukan isu baru dan isu tersebut dalam edisi pasca pemilihan tahun ini secara tiba-tiba menjadi antara isu utama yang dibincangkan, hinggakan ada seorang ahli jemaah kabinet mahu satu undang-undang diwujudkan bagi menyekat "kanggaru-kanggaru" ini daripada terus melompat-lompat. Sejak era permulaan negara menganjurkan pilihan raya telah wujud masalah ini dan sebenarnya bagi saya masalah ini berpunca daripada nilai kesetiaan kepada parti, rasa tanggungjawab kepada rakyat dan nilai diri seseorang wakil yang telah dipilih oleh rakyat.

Bukan semua mereka yang menang dalam pilihan raya itu dipilih atas dasar kemampuan individu tersebut, namun ada juga di antara mereka yang dipilih berdasarkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sesebuah parti politik yang dianuti oleh seseorang calon.

Kepercayaan rakyat pula tidak sepatutnya diperkecil dan tindakan seseorang wakil rakyat yang berpindah sesuka hati juga merupakan satu perkara khianat kepada kehendak dan tujuan rakyat memilih. Mereka yang bersikap sebegini begitu sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat. Bagi saya individu-individu sebegini hanya akan membuang masa dan merosakkan integriti sistem politik di Malaysia.

Undang-undang mungkin boleh terlaksana bagi menyekat wakil rakyat berpindah parti, tetapi soalnya sekarang adakah tidak akan timbul sebarang percanggahan dengan peruntukkan dalam perlembagaan Malaysia yang memberikan hak kepada individu untuk berpersatuan? Adakah faktor politik atau kepentingannya boleh diambil kira sebagai sebab yang dibolehkan kebebasan berpersatuan dihalang atau dibekukan?

Atau yang terakhir adakah undang-undang ini hanya cadangan untuk melenyapkan dongengan politik pasca pilihan raya? (Seperti sekarang cadangan itu hanya tinggal cadangan).

*nota* Jika parti itu agama, mungkin "kanggaru" yang melompat-lompat gembira itu telah murtad dan terpesong akidah. Bernasib baiklah mereka kerana parti politik itu tidak termasuk dalam kategori agama.