Sang Algojo Gelojoh mencari semangkuk darah.

Khamis, September 24, 2009

Algojo.

Berikan dia waktu-waktu akhir
Untuk nikmati senyum
dan layu lembut sang bayu

Algojo.

Leraikan gelojoh tajam pedang mu
Sucikan haloba kuasa penghukum

Biar lepas
Biar bebas

Leher dan urat
Marhaen dizalimi

Tempah antologi sajak Salun Eksotikata sekarang!!!

Jumaat, September 04, 2009



Semua yang berminat untuk mendapatkan Antologi Sajak Salun Eksotikata boleh menghubungi gua dengan pelbagai cara.

1) emelkan kepada giga.rorqual16@gmail.com atau giga_rorqual16@yahoo.com dan nyatakan kuantiti yang dimahukan.

2) boleh tinggalkan komen di blog ini dan nyatakan kuantiti yang dimahukan.

3) boleh hubungi gua di talian telefon. (Kepada sesiapa yang tahu nombor telefon sahaja).

Antologi ini adalah edisi terhad jadi segera buat tempahan sekarang!

Habis lu orang menyesal dah bukan salah gua lagi.

Harga RM15.

Pesanan melalui pos diterima.

Kepada sesiapa yang berada di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dan bandar-bandar sekitarnya gua boleh hantarkan terus jika diizinkan. :-)

Baca Naskhah Maskara pikat selera remaja

Rabu, September 02, 2009

Persembahan tersendiri, subur minat mereka aktif dalam seni

MALAM Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah Dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka (Maskara) di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memikat jiwa remaja dan anak muda yang cintakan seni dengan cara tersendiri, sekali gus mampu menarik minat generasi muda untuk bergerak aktif dalam aktiviti seni.

Meskipun masih ramai belum mengetahui kewujudan Maskara yang sudah hampir setahun bertapak di gelanggang puisi tanah air kerana tidak banyak mendapat liputan atau hebahan di dada akhbar, acara anjuran Sindiket Sol-Jah itu cukup dikenali kalangan penulis blog di tanah air sehingga ia mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan.

Tanpa bermaksud untuk menyinggung atau membandingkannya dengan Malam Baca Puisi Pena, sebaliknya khalayak berasa bangga apabila Pena membenarkan gelanggang puisinya dikongsi bersama anak muda yang belum dikenali untuk mempamerkan bakat terpendam, sekali gus usaha itu patut diberi pujian dalam keadaan nilai seni yang semakin pudar berjaya digilap kembali.

Biarpun cara dan konsep tidak serupa, situasi itu mampu mencetuskan minat anak muda terhadap karya sastera serta aktiviti seni sehingga tidak mustahil mereka mampu membuka ‘empayar’ tersendiri yang akan berdiri megah sebaris dengan nama karyawan tersohor tanah air.

Artis, Nur Nabihah Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Beeha, membawakan tiga lagu ciptaannya, Pari-pari Kertas dan Kelkatu serta lagu berduet dengan Roni dan Mamat dari kumpulan Mysthicus, iaitu Tanpa Bintang.

Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pertama kali membuat persembahan di Maskara itu, menyampaikan lagu Kelkatu yang mengasyikkan sehingga memukau penonton.

Bungkam bisu tiada apa yang satu
Lemah badan aku gila lesu
Fikiran melayang buat aku buntu
Apakah aku masih seekor kelkatu

Rancak menari salsa sampai terpijak kaki
Mereka semua tertawa tapi aku tak peduli
Aku menari tak henti-henti
Satu hari nanti aku kan pergi
Berikanlah aku satu peluang
Untuk aku terus terbang
Melakar lukisan pelangi indah
Untuk kita lakar bersama

Kumpulan Syafiq Sunny and Superfriends yang dianggotai oleh Mohd Syafiq, Israq Ismail dan Azzam Supardi pula mementaskan drama yang diangkat daripada puisi yang menyindir perilaku dan sikap manusia politik tanah air.

Pementasan tanpa judul itu, menggabungkan pelbagai isu, peristiwa, situasi dan latar masa berbeza pada satu latar tempat, iaitu perhentian bas yang sangat sesak, sekali gus menampilkan pelbagai ragam manusia.

Aku ingin beritahu
Di Jalan Robinson
Ada kuih kuaci berintikan diskriminasi
Ada kuih karipap berintikan populasi
Ada kuih gulung berintikan revolusi
Ada kuih pulut panggang berintikan reformasi

Muhammad Daniyal Abd Kadir (Danielle Corleone) pula menampilkan puisinya Terima Kasih Kerana Membodohkan Kami Yang Tidak Fasih Dengan Sifir Kamu, selain puisi penyair tersohor Indonesia, WS Rendra, Sajak Pertemuan Mahasiswa, yang berkaitan dengan penahanan pelajar universiti kerana berani menyuarakan pendapat dan melawan ketidakadilan.

Tentu, kita bertanya:
“lantas maksud baik saudara untuk siapa?”
Sekarang matahari semakin tinggi
Lalu akan bertakhta juga di atas puncak kepala
Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu diajarkan di sini
Akan menjadi alat pembebasan
Ataukah alat penindasan?

Sementara itu, Pengarah Projek Maskara, Nazri Mohd Anuar (Vovin), berkata Maskara menjadi platform bagi semua penggiat seni berkumpul untuk mengetengahkan bakat mereka tanpa terhad kepada bacaan puisi.

“Maskara mengalu-alukan penyertaan dan membuka ruang kepada orang ramai tanpa syarat yang tertentu, tetapi haruslah membuat penyertaan dengan prosedur yang betul atau sekurang-kurangnya menghubungi saya di laman blog Sindiket Sol-Jah.

“Kami menerima apa saja bentuk persembahan bukan saja bacaan puisi, nyanyian, tarian atau monolog, bahkan kami pernah menerima penyertaan untuk membuat persembahan silap mata kerana seni tidak boleh dimatikan, manakala bakat pula harus dipertontonkan dan terpulang kepada penonton sama ada mahu menerima atau tidak,” katanya.

Maskara turut dimeriahkan dengan persembahan anggota Sindiket Sol-Jah, penulis blog, penyanyi dan band indie termasuk Soffi Jikan, Saudagar Garam serta Cikgu Mat Jan.

sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Sastera/20090902080213/Article