MASKARA acara seni alternatif penuh makna

Selasa, Mei 20, 2008

3 Mei lalu ketika seluruh tumpuan mata seni tanah air tidak berkedip memandang kemilau Anugerah Industri Muzik (AIM), bertempat di Rumah PENA diadakan satu acara seni yang juga hebat dan mempunyai keupayaannya tersendiri.

MASKARA 8 diadakan sebagai satu kesinambungan kepada tujuh malam MASKARA yang sebelum ini.

Seperti biasa bermula jam 8.30 malam, begitu ramai penggemar sastera khususnya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur berkumpul untuk menikmati alunan naskah puisi dan nilai seni yang diluahkan pada malam itu.

MASKARA adalah akronim kepada Malam Baca Naskah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka.

Bunyinya panjang dan rumit tetapi apa yang dibawakan pada malam itu cukup ringkas, padat dan penuh berseni.

Begitu indah sastera di Malaysia diangkat tanpa dikerumuni dengan elemen komersial.

Acara seni ini sebenarnya telah diusahakan oleh Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama Sekretariat Penulis-penulis Blog dan PENA. Sindiket Sol-Jah ialah satu kumpulan yang dianggotai oleh 10 individu yang cukup berminat dengan perjuangan sastera.

Secara tidak rasminya Sindiket ini diketuai oleh saudara Sinaganaga dan rakan-rakan aktifnya yang lain seperti Pipiyapong, Nazri M. Anuar (Vovin), OP, Mat Jan, Spyz, TokRimau, Samurai, Jigomorrison dan Amir Mukhriz.

Mereka bertemu sekitar 5 tahun dulu dan mula merancang pelbagai perkara untuk mengukuhkan idea penulisan di antara mereka dan berhasrat untuk muncul sebagai di antara kumpulan-kumpulan sastera yang tersohor.

Malah Sinaganaga sendiri menyimpan impian agar Sindiket Sol-Jah menjadi "The Beatles" dalam bidang penulisan sastera.

"Saya mahu melihat Sindiket Sol-Jah menjadi seperti "The Beatles", ulas Sinaganaga.

Beralih kepada MASKARA, acara ini diusulkan sebagai satu majlis yang boleh disertai oleh pelbagai golongan dengan hasrat untuk memberi peluang kepada penulis dan juga penggiat seni yang belum dikenali atau masih baru bagi menonjolkan bakat yang ada dalam diri mereka.

Sudah tentu dalam perkara ini tumpuan MASKARA adalah kepada penggiat seni atau penulis muda, tetapi bagi mereka usia itu bukan penghalang untuk seseorang itu terlibat dalam bidang sastera dan seni.

Bagi Nazri M. Anuar atau lebih dikenali dengan nama Vovin, beliau mahu menjadikan MASKARA sebagai acara seni yang bersifat neutral dan mampu menyatukan semua penulis sastera dan penggiat seni berlainan idea serta pemikiran di dalam satu majlis.

"Hasrat kami adalah untuk menyatukan kesemua mereka yang berminat dengan sastera dan seni di bawah satu bumbung, tidak kira seseorang penulis atau penggiat seni itu beraliran agama, liberal mahupun pop," ujar Vovin.

Sindiket Sol-Jah tidak mengharapkan acara seni ini menjadi wadah utama meningkatkan mutu sastera dan seni negara, tetapi bagi mereka cukup sekadar MASKARA dikenali sebagai medan penyatuan idea melalui ikatan persahabatan.

Satu lagi perkara menarik tentang MASKARA ini ialah elemen curahan kreativiti yang ditonjolkan adalah tidak langsung diambil dari sudut komersial, segala-gala yang berkaitan dengan MASKARA adalah luahan seni percuma yang sarat dengan nilai berharga.

Ini adalah satu perkara yang cukup menarik, memperjuangkan seni tanpa mempedulikan soal wang, yang penting bagi mereka ialah kepuasan menonjolkan karya dan berkongsi-kongsi idea dengan rakan-rakan yang lain.

MASKARA turut memberikan ruang kepada peserta dan penonton untuk mempromosikan sebarang hasil karya mereka seperti novel, antologi, lukisan, muzik atau apa sahaja yang berkaitan dengan luahan seni dan sastera.

Jadi tidak hairan jika hampir setiap edisi MASKARA ada sahaja penggiat seni yang mengambil ruang ini sebagai satu peluang untuk menghebahkan hasil karya dan terbitan baru mereka.

Umumnya MASKARA mengalu-alukan para penulis, penyajak, pemuzik dan juga penggiat seni muda untuk mempersembahkan karya mereka sendiri kepada khalayak yang ada.

Karya-karya ini boleh dipersembahkan dalam bentuk, membaca cerpen terkini, membaca sedutan novel terbaru, mendeklamasikan sajak, berekspresi dengan muzik, tayangan filem pendek dan apa jua persembahan seni yang difikirkan sesuai dengan MASKARA.

Pada malam 3 Mei lalu, MASKARA telah menampilkan individu-individu berbakat besar dalam dunia sastera.

Dimulai dengan persembahan oleh penyajak dan aktivis sastera Marsli N.O yang turut sama membawa naskah buatan sendiri yang bertajuk Penipu untuk dipromosikan, diikuti dengan Azwan Ismail yang mendeklamasikan puisi sinis gaya Azwan Ali, seterusnya hadir pula Taf Teh yang mempersembahkan gaya puisi menawan hati.

Akhir sekali Nazri M.A (Vovin) muncul di pentas MASKARA dengan luahan sajak cukup bermakna.

MASKARA bukan sahaja ditumpukan kepada naskah sajak sahaja, tetapi turut diselangi dengan persembahan "Silat Mata" oleh Basri D.S, sebenarnya ia adalah satu pertunjukan silap mata dan dinamakan sebagai silat mata kerana saudara Basri memulakan persembahannya dengan sedikit sentuhan silat, tambahan pula pakaian yang dikenakannya jelas kelihatan seperti seorang pendekar.

Seorang Rocker Rock Kapak dari Panama, Derrick Jaramilo turut membuat persembahan pada malam itu dengan gaya yang cukup mencuit hati, persembahan beliau diiringi oleh kugiran The Junk dengan hanya berbekalkan dua gitar akustik.

Kami turut sempat bertanya kepada Sinaganaga, berkaitan dengan rancangan untuk meluaskan pengaruh MASKARA di luar Kuala Lumpur.

"Memang kami berhasrat untuk melakukan perkara tersebut, membawa MASKARA keluar dan singgah ke negeri-negeri yang lain, kami ada mendapat tawaran untuk membawa MASKARA ke Pulau Pinang dan Johor tetapi bukan satu perkara yang mudah untuk melaksanakannya, ia memerlukan perancangan yang cukup teliti, tetapi ini bukan alasan, kami akan tetap berusaha untuk menjadikan hasrat ini satu kenyataan," ujar Sinaganaga.

Beliau juga menambah yang Sindiket Sol-Jah berharap dapat melaksanakan MASKARA sebanyak enam atau tujuh kali dalam setahun.

Pada malam itu juga Sindiket Sol-Jah turut melancarkan dua buah buku blog (blook), blook yang pertama bertajuk Sabotaj 3 yang menghimpunkan catatan menarik 10 orang ahli dalam Sindiket Sol-Jah dan blook yang kedua bertajuk Gangguan Teksual yang menggabungkan beberapa catatan perasaan dan luahan para blogger tempatan.

Kedua-dua blook ini bukan sekadar bahan bacaan biasa kerana ia sarat dengan kandungan sinis, satira dan satu himpunan penulisan yang berjiwa sendiri.

Jadi untuk anda yang inginkan kelainan dalam koleksi bahan bacaan dan mahu tahu rahsia mencipta isi-isi blog yang menarik dan penuh dengan sindiran matang, dapatkanlah Sabotaj 3 dan Gangguan Teksual.

Sindiket Sol-Jah boleh dihubungi melalui:http://sol-jah.blogspot.com sindiketsoljah@gmail.com

12 kata-kata kawan:

ka-ii berkata...

MASKARA dpt buku free...

xamik lbey tuk aku..

Danielle_Corleone berkata...

Bukan xnak amik utk ko. Utk orang lain pun aku x amik! hahaha! :P

Princess Liyana berkata...

Tak sabar mau pergi. maybe pergi next maskara. Bulan 7 katanye:p
kalau takde pape. Jom!

Danielle_Corleone berkata...

haha! tu la dgr citer bulan 7. jom2 pi ramai2 :-)

lieza berkata...

mesti indahkan seperti maskara yg mengindahkan & menambahkan kelentikan bulu mata...he3

Danielle_Corleone berkata...

hahaha! mesti la liza. bulan tujuh ni ada lagi kita pegi.

xrajunax berkata...

aku boleh join ke weh?
ish!

Danielle_Corleone berkata...

apa pasal pulak tak boleh! mari-mari bro, kita pegi ramai2 nanti! :P

sinaganaga berkata...

nak pergi maskara nak pergi maskara hey

Danielle_Corleone berkata...

haha! :P gembira nampak!

Princess Liyana berkata...

jom2.meriahkan Maskara:)

Danielle_Corleone berkata...

hahaha! jom pu3!