Persembahan tersendiri, subur minat mereka aktif dalam seni
MALAM Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah Dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka (Maskara) di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memikat jiwa remaja dan anak muda yang cintakan seni dengan cara tersendiri, sekali gus mampu menarik minat generasi muda untuk bergerak aktif dalam aktiviti seni.
Meskipun masih ramai belum mengetahui kewujudan Maskara yang sudah hampir setahun bertapak di gelanggang puisi tanah air kerana tidak banyak mendapat liputan atau hebahan di dada akhbar, acara anjuran Sindiket Sol-Jah itu cukup dikenali kalangan penulis blog di tanah air sehingga ia mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan.
Tanpa bermaksud untuk menyinggung atau membandingkannya dengan Malam Baca Puisi Pena, sebaliknya khalayak berasa bangga apabila Pena membenarkan gelanggang puisinya dikongsi bersama anak muda yang belum dikenali untuk mempamerkan bakat terpendam, sekali gus usaha itu patut diberi pujian dalam keadaan nilai seni yang semakin pudar berjaya digilap kembali.
Biarpun cara dan konsep tidak serupa, situasi itu mampu mencetuskan minat anak muda terhadap karya sastera serta aktiviti seni sehingga tidak mustahil mereka mampu membuka ‘empayar’ tersendiri yang akan berdiri megah sebaris dengan nama karyawan tersohor tanah air.
Artis, Nur Nabihah Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Beeha, membawakan tiga lagu ciptaannya, Pari-pari Kertas dan Kelkatu serta lagu berduet dengan Roni dan Mamat dari kumpulan Mysthicus, iaitu Tanpa Bintang.
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pertama kali membuat persembahan di Maskara itu, menyampaikan lagu Kelkatu yang mengasyikkan sehingga memukau penonton.
Bungkam bisu tiada apa yang satu
Lemah badan aku gila lesu
Fikiran melayang buat aku buntu
Apakah aku masih seekor kelkatu
Rancak menari salsa sampai terpijak kaki
Mereka semua tertawa tapi aku tak peduli
Aku menari tak henti-henti
Satu hari nanti aku kan pergi
Berikanlah aku satu peluang
Untuk aku terus terbang
Melakar lukisan pelangi indah
Untuk kita lakar bersama
Kumpulan Syafiq Sunny and Superfriends yang dianggotai oleh Mohd Syafiq, Israq Ismail dan Azzam Supardi pula mementaskan drama yang diangkat daripada puisi yang menyindir perilaku dan sikap manusia politik tanah air.
Pementasan tanpa judul itu, menggabungkan pelbagai isu, peristiwa, situasi dan latar masa berbeza pada satu latar tempat, iaitu perhentian bas yang sangat sesak, sekali gus menampilkan pelbagai ragam manusia.
Aku ingin beritahu
Di Jalan Robinson
Ada kuih kuaci berintikan diskriminasi
Ada kuih karipap berintikan populasi
Ada kuih gulung berintikan revolusi
Ada kuih pulut panggang berintikan reformasi
Muhammad Daniyal Abd Kadir (Danielle Corleone) pula menampilkan puisinya Terima Kasih Kerana Membodohkan Kami Yang Tidak Fasih Dengan Sifir Kamu, selain puisi penyair tersohor Indonesia, WS Rendra, Sajak Pertemuan Mahasiswa, yang berkaitan dengan penahanan pelajar universiti kerana berani menyuarakan pendapat dan melawan ketidakadilan.
Tentu, kita bertanya:
“lantas maksud baik saudara untuk siapa?”
Sekarang matahari semakin tinggi
Lalu akan bertakhta juga di atas puncak kepala
Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu diajarkan di sini
Akan menjadi alat pembebasan
Ataukah alat penindasan?
Sementara itu, Pengarah Projek Maskara, Nazri Mohd Anuar (Vovin), berkata Maskara menjadi platform bagi semua penggiat seni berkumpul untuk mengetengahkan bakat mereka tanpa terhad kepada bacaan puisi.
“Maskara mengalu-alukan penyertaan dan membuka ruang kepada orang ramai tanpa syarat yang tertentu, tetapi haruslah membuat penyertaan dengan prosedur yang betul atau sekurang-kurangnya menghubungi saya di laman blog Sindiket Sol-Jah.
“Kami menerima apa saja bentuk persembahan bukan saja bacaan puisi, nyanyian, tarian atau monolog, bahkan kami pernah menerima penyertaan untuk membuat persembahan silap mata kerana seni tidak boleh dimatikan, manakala bakat pula harus dipertontonkan dan terpulang kepada penonton sama ada mahu menerima atau tidak,” katanya.
Maskara turut dimeriahkan dengan persembahan anggota Sindiket Sol-Jah, penulis blog, penyanyi dan band indie termasuk Soffi Jikan, Saudagar Garam serta Cikgu Mat Jan.
sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Sastera/20090902080213/Article
Baca Naskhah Maskara pikat selera remaja
Rabu, September 02, 2009Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 1:10:00 PTG 2 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Liberalisasi Tongkat Ali dan Kachip Fathimah
Jumaat, Mei 15, 2009Hampir semua orang tahu akan khasiat tumbuhan ini. Biarpun kefahaman budaya Melayu hanya mampu menaksirkan keunggulan pemikiran serta ruh perjuangan Saidina Ali dan Fathimah dengan memberi nama pada tumbuhan yang membawa imbasan seksual ini. Tetapi bukan perkara ini yang ingin aku sebutkan hari ini. Aku nak bercakap tentang hak paten. Apa kejadahnya Hak Paten ini? Ia adalah hak untuk memilik atau hak cipta terhadap sesuatu ciptaan itu.
Apa pula kaitan dengan Tongkat Ali dan Kachip Fathimah dengan liberalisasi dan hak paten ini?
Liberalisasi pasaran hanyalah nama lain, untuk pemodal (kapitalis) antarabangsa masuk ke Malaysia. Pemodal ini bukan mahu menambahkan modal Malaysia. Tetapi pemodal ini akan menimbunkan kekayaan mereka hasil menyedut, memeras dan MEMILIKI sumber daya alam semulajadi, harta kekayaan dan tenaga buruh serta hasil keluaran orang-orang Malaysia.
Perlu kita melihat bumi dan sumber alamnya yang cukup luas ini hanya dikuasai segelintir kecil kelompok manusia paling kaya di dunia. Mereka (kaum pemodal) yang memiliki harta pemilikan (atau rampas paksaan) akan mengeksploitasi golongan manusia terbanyak yg sebahagian besarnya tidak memiliki HARTA. Sebab itulah mereka yang tidak memiliki harta perlu membayar atau menjual tenaga buruhnya kepada Mereka (kaum pemodal) yang memiliki segalanya. Ini bagi membolehkan golongan yang tidak berpunya (atau dipaksa rampas kepunyaannya) dapat menikmati sumber daya alam untuk hidup dan bekerja. Sumber2 seperti tempat kerja, jentera, mesin, tanah, hutang dan juga produk/hasil keluaran yang telah di patenkan.
Akhirnya, akibat liberalisasi pasaran segala hasil yang dikeluarkan penduduk tempatan perlu mendapat kebenaran kaum (minoriti) pemodal dunia. Maksudnya, akan sampai waktu dimana pokok Tongkat Ali dan Kachip Fathimah tidak boleh ditanam, atau dibuat produk/hasil oleh semua rakyat Malaysia. Hanya mereka yang telah mendaftarkan hak paten yang berhak terhadap kononnya penemuan tumbuhan dan cara-cara mengeluarkan hasil daripada tumbuhan tersebut. Hak ini disokong dasar dan perundangan negara yang menghalalkan apa yang dinamakan Liberalisasi pasaran itu. Jadi kalau nak mengekstrak Tongkat Ali atau menanam Kachip Fathimah, suatu hari nanti kita perlu membayar royalti kepada pemilik Hak Paten Tongkat Ali dan Kachip Fathimah. Kalau tidak membayar, boleh didakwa, didenda atau dipenjarakan. Hal ini terjadi kerana Kerajaan United Malay National Organization siap untuk menjadi alat kapitalis antarabangsa dan sedia menjual apa saja serta setia menghukum sesiapa saja yang tidak mematuhi tuntutan pemilik Hak Paten itu.
Persoalannya, sejak bila pula tumbuhan Tongkat Ali dan Kachip Fathimah menjadi milik Massachusetts Institute of Technology dan Pepsi Cola, Amerika Syarikat? Ejen kapitalis antarabangsa ini telah mengorak langkah pertama, dalam perancangan -yang mungkin bakal sempurna tidak lama lagi - untuk merampas hak mutlak setiap rakyat di tanah air ini ke atas tumbuhan Tongkat Ali dan Kachip Fathimah.
Ini buktinya:
Hak paten Kachip Fathimah
"Holista Biotech Sdn Bhd, a Bionexus-status company, is working with PepsiCo, a leading global beverage giant, to develop a drink using Malaysian herb, kacip fatimah or labisia pumila with prospects for sale in Asia, the US and Europe.
Holista Biotech had in 2007 filed two patents on the herb's ability to protect the liver and improve the body's immune system."
Hak Paten setakat ini untuk ekstrak Tongkat Ali:
Apatah lagi, kini setelah Jamaludin Jarjis dihantar menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. Dulu pernah terbaca JJ yang menjadi ahli parlimen Rompin memberikan hak membuat penyelidikan kepada sebuah kompeni Amerika Syarikat, Donald Danforth Plant Science Center ke atas alam tumbuhan dengan manfaat perubatan di hutan Endau-Rompin. Ini kiranya seperti menghantar JJ jadi salesman nak jual Malaysia.
Kata Proudhon, "harta pemilikan adalah rompakan!" Hak Paten adalah PEROMPAKAN! Hak Paten adalah Hak Untuk Merompak Secara Berlesen yang dikeluarkan kerajaan!
**Tulisan ini adalah cetusan sepenuhnya daripada penulis sajak yang dikagumi saudara Rahmat Haron.**
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 2:24:00 PG 2 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Jangan sia-siakan Revolusi Perancis
Khamis, Ogos 28, 2008Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 8:53:00 PTG 22 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Negara Tanah Tumpahnya Darahku terima ancaman serangan udara
Sabtu, Mei 31, 2008Bandar Hujung Lumpur Terpalit, 31 Mei - Negara Tanah Tumpahnya Darahku semalam menerima ancaman serangan udara dan ini menyebabkan rakyat di negara tersebut terpaksa melupakan hasrat mengisi perut dengan nasi.
Buat sementara waktu rakyat negara itu dinasihatkan untuk berkebulur seketika kerana pihak pemerintah mahu menggunakan wang yang telah disediakan untuk membeli nasi, terpaksa digunakan dahulu bagi menampung keperluan menangkis serangan udara yang dilancarkan oleh pihak musuh.
Menurut jurucakap pemerintah kerajaan tentera Tanah Tumpahnya Darahku, negara tersebut sangat memerlukan bekalan besi dan keluli bagi membolehkan mereka lebih maju ke hadapan.
"Negara kami menerima ancaman serangan udara dan kami berharap rakyat dapat menahan sekejap kelaparan yang ada kerana buat masa ini pesawat perang, jet pengebom dan kapal selam adalah penting untuk menyelamatkan nyawa seluruh penduduk Tanah Tumpahnya Darahku," ujar jurucakap pemerintah junta tentera kerajaan Tanah Tumpahnya Darahku semalam.
Sebagai sebuah negara yang maju, Tanah Tumpahnya Darahku perlu mempunyai sistem pertahanan yang baik, lebih baik dari sistem pertanian yang mampu mengelakkan rakyat menjadi kebulur.
"Dengan senjata yang lengkap sahaja rakyat kita akan menjadi kuat, malah lebih kuat berbanding dengan hanya menjamah sepinggan nasi kosong tanpa lauk," ulas jurucakap kerajaan tentera Tanah Tumpahnya Darahku kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar di Mongolia semalam.
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=336437
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 8:17:00 PTG 7 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Mahathir dan drama...
Selasa, Mei 20, 2008Mengapa kelmarin Mahathir secara tiba-tiba membuat drama suspens baru, saya fikir kejutan yang dilakukan beliau bukan untuk meraikan hari lahir sesiapa, tetapi dilihat sebagai satu petanda kepada masa kecederaan dalam situasi politik terkini Malaysia. Nampaknya kejutan dan gelora ombak besar yang meranapkan penguasaan selesa kerajaan UMNO-BN masih lagi belum reda. Setelah satu perkara, hadir pula perkara yang lain. Jika saya yang menjadi Perdana Menteri dalam waktu sebegini mungkin sukar untuk saya mengawal rasa marah dan emosi yang makin melambung tinggi, setinggi harga barang-barang keperluan di negara kita.
Tindakan ini merupakan antara beberapa lanjutan siri kejutan yang biasa dimainkan oleh Mahathir. Pelbagai reaksi timbul apabila kejutan terbaru ini muncul, ada yang marah, bahagia, pelik dan pelbagai lagi perasaan yang wujud. Bagi saya Mahathir adalah pemimpin yang sentiasa bergelumang dengan kontroversi. Hari ini saya tidak berminat untuk menonjolkan kontroversi-kontroversi lain yang menyelubungi karier politik Mahathir, tetapi saya lebih berminat untuk menonjolkan apa yang boleh kita gambarkan sebagai jodoh pemimpin ini dengan UMNO.
Mahathir menjadi antara individu terawal yang menyertai UMNO sejak dari zaman awal kemunculan parti itu membela nasib Melayu menentang Malayan Union. Mahathir pernah dipecat sebagai ahli majlis tertinggi UMNO pada 12 Julai 1969 selepas berlaku pengedaran umum surat beliau mengkritik corak kepimpinan Tunku Abdul Rahman, khususnya dalam soal pembelaan terhadap orang Melayu dan kebijaksanaan Tunku dalam mengatasi masalah pertembungan kaum pada 13 Mei tahun yang sama. Kemudiannya Mahathir dipecat sebagai ahli UMNO pada 26 September 1969 akibat kelantangan tidak bertempat yang disifatkan oleh Tunku sebagai bahaya dan mampu menggugat keupayaan UMNO.
Namun begitu ketika era pemerintahan Tun Abdul Razak, Mahathir diterima semula masuk ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972. Ini adalah suratan jodoh yang dapat kita kaitkan di antara UMNO dan Mahathir.
Semalam kisah yang sama berulang kembali, tetapi waktu dan suasana serta punca keadaan adalah berbeza. Kali ini Mahathir tidak dihalau dari rumah UMNO, tetapi Mahathir sendiri mengemaskan barang-barangnya dan keluar dengan sendiri. Sebab utamanya adalah kerana Mahathir tidak begitu selesa dengan cara Tuan Rumah yang baru menguruskan rumah tersebut, menurut Mahathir begitu banyak yang bocor dan tidak dibaiki, ini menyebabkan Mahathir tidak lagi selesa dan mengambil keputusan untuk pergi. (Walaupun bocor-bocor itu adalah buatan tikus-tikus peliharaan Mahathir serta tangan Mahathir sendiri yang hilang punca dalam membaiki).
Imbas kembali pada tahun 2002, Mahathir pernah dengan penuh kesayuan dan hati yang sebak dengan nada suara yang tersekat-sekat mengumumkan hasrat meletak jawatan dalam UMNO dan sebagai Perdana Menteri, ketika itu begitu ramai yang sedih dan menggesa Mahathir menarik balik tindakan tersebut, kerana ketika itu suara-suara berkenaan menganggap Mahathir sebagai pemimpin yang masih diperlukan untuk menyatukan UMNO. Mereka memujuk dan akhirnya Mahathir bersetuju untuk hanya meletak jawatan pada tahun 2003. Indah sungguh susunan plot pada ketika itu.
Namun kelmarin keadaannya nyata berbeza, tidak ramai suara yang bernada memujuk, meminta Mahathir menarik balik keputusan tersebut, malah ada yang menyatakan Mahathir sebagai individu yang tidak bertanggungjawab dan cuba memburukkan lagi keadaan parti. Apa sudah jadi pada rasa sayang pengikut-pengikut UMNO ini, dan saya sendiri faham yang Mahathir juga mengerti (ikut pengalaman silamnya), sifat UMNO memang begini, sesiapa tidak dapat menyangkal kenyataan ini. Sudah kita faham dan ketahui bahawa kita adalah negara dunia ketiga yang masih mencari arah demokrasi, tidak hairan jika asas politik di negara kita ini berbentuk politik kuasa, siapa ada kuasa dia kita sanjung, apabila kuasanya hilang dia sudah tidak dijunjung.
Satu perkara penting yang perlu kita fikir dan renungkan ialah ajakan Mahathir kepada semua isi rumah untuk mengosongkan kediaman UMNO adalah satu ajakan yang berbunyi serius, cuba bayangkan jika semua isi rumah UMNO keluar dan tinggal di luar tanpa berlindung, apa akan jadi jika hari hujan dan ribut melanda? Adakah mereka sanggup untuk kekal di luar dan berlagak tegak berdiri walaupun sudah demam dan lelah ditimpa hujan?
Mahathir memang sinonim dengan drama dan tindakan beliau keluar dari UMNO ini adalah lanjutan daripada siri-siri drama sebelum ini. Jadi kepada semua ahli UMNO yang berfikir tentang parti dan penyatuan, keadaan yang ditimbulkan hanya perang peribadi antara dua pemimpin dan rasa tidak puas hati kepimpinan dahulu dengan yang sekarang, masalahnya mudah, jangan pula kita menjadi pihak yang merumitkan keadaan dan kemudian tersepit ditengah-tengah tanpa ada sebarang ruang untuk kita bernafas.
NAMA SUDAH BERBAHASA INGGERIS BAGAIMANA PULA BICARA TENTANG PERJUANGAN MELAYU! FIKIR-FIKIRKAN...
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 4:47:00 PTG 6 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Myanmar dan kesombongan
Khamis, Mei 15, 2008Myanmar merupakan sebuah negara yang terletak di utara Asia Tenggara. Negara ini mempunyai satu "keunikan" politik dan ia sememangnya tidak dapat kita nafikan. Mengapa saya tiba-tiba mengatakan yang Myanmar ini merupakan negara unik politik? adakah Myanmar ini istimewa atau bagaimana? Mungkin jika sebelum ini apabila kita dengar sahaja perkataan unik, maka dengan serta-merta kita akan kaitkan unik itu dengan keistimewaan dan nilai-nilai yang cukup berbeza. Tetapi Myanmar unik politiknya bukan istimewa tetapi menyeksakan.
Myanmar merdeka pada 4 Januari 1948 sebagai sebuah republik yang bebas dan pada permulaan perjalanan negaranya Myanmar mula dilihat mencambahkan ruang-ruang demokrasi dan dilihatberminat untuk menjadikan negara tersebut sebagai sebuah negara yang memberikan nilai negara kepada rakyatnya.
Pemerintahan dan era percambahan demokrasi mula pudar dan kemudiannya hilang pada tahun1962 apabila Jeneral Ne Win memimpin satu bentuk rampasan kuasa tentera. Ne Win menjadi pemimpin utama Myanmar hampir 26 tahun dan memperkenalkan beberapa bentuk dasar dan tindakan demi membawa Myanmar ke arah pembentukan sebuah negara yang berpegang teguh kepada ideologi Sosialisme (Sosialisme kepala bapak diaorang! Saya cukup marah kepada orang yang berselindung di belakang topeng ideologi!). Di antara tahun 1962 dan 1974, Myanmar ditadbir oleh Majlis Revolusi yang diketuai oleh seorang Jeneral dan hampir keseluruhan aspek kehidupan penduduk di Myanmar telah dikawal dan dipusatkan di bawah kawalan ketat pihak kerajaan.
Dalam beberapa usaha untuk mengukuhkan kuasa, Jeneral Ne Win dan beberapa orang pimpinan tentera telah meletak jawatan dalam kedudukan ketenteraan untuk berada dalam jawatan awam dan sejak dari tahun 1974, Myanmar telah menginstitusikan corak sistem satu parti dan dengan serta-merta mengetepikan hak warga Myanmar untuk berpolitik dan menubuhkan pertubuhan-pertubuhan politik demi memperjuangkan kebebasan suara rakyat. Di antara tahun1974 dan 1988, Myanmar secara dasarnya telah diperintah oleh Jeneral Ne Win melalui Parti Program Sosialis Myanmar.
Disebabkan berlaku bantahan yang cukup kuat dan berterusan daripada hampir keseluruhan rakyat Myanmar, pada 31 Mei 1989 kerajaan junta tentera Myanmar telah mengemas kini satu rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum.
Pada Mei 1990, pihak kerajaan tentera Myanmar telah mengadakan satu pilihan raya umum buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun. Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, telah memenangi 392 daripada 489 kerusi yang dipertandingkan dan wajar untuk partinya membentuk sebuah kerajaan demokratik, tetapi keputusan pilihan raya itu telah ditolak oleh pihak junta tentera yang tidak mahu untuk menyerahkan kuasa. Diketuai oleh jeneral Than Shwe pada tahun 1992, rejim tentera terus menguasai Myanmar dengan menolak suara rakyat yang telah pun memilih sistem demokrasi sebagai idea anutan politik di Myanmar.
Kita sememangnya telah mengetahui dan sentiasa tahu apa yang berlaku di Myanmar daripada krisis politik yang melihatkan bantahan besar-besaran yang dicetuskan oleh golongan sami Buddha hingga kepada yang terbaru bencana alam terburuk tahun ini, Taufan Nargis.
Ramai yang melihat bahawa taufan ini adalah satu bencana tetapi saya melihat ada satu rahmat yang tersembunyi di sebalik semua ini. Secara nilai kemanusiaannya memang kita bersimpati kepada rakyat Myanmar, tetapi dari segi penilaian politiknya kita melihat bahawa rakyat Myanmar harus melihat Taufan Nargis sebagai bencana yang bakal membawa perubahan kepada situasi politik terkawal yang membelenggu fikrah mereka.
Di kala rakyat menangis, rejim tentera di Myanmar masih lagi degil dan memberikan ruang kepentingan kepada diri mereka semata-mata. Mereka tetap tidak mempunyai hasrat untuk membantu rakyat sendiri, apa yang penting bagi mereka ialah mampu terus berkuasa dan mengukuhkan kedudukan senjata tentera mereka dengan menafikan hak peralihan politik dan demokrasi rakyat. Ada dua perkara yang saya lihat sebagai penting untuk kita mengetahui, mengapa rejim tentera ini begitu degil dan memiliki kepala yang sekeras batu.
Pertamanya mudah sahaja, soal demokrasi. Seperti yang kita tahu apabila tersebar sahaja berita bahawa Myanmar dilanda taufan kritikal dan ramai rakyatnya menjadi korban, maka negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis merupakan antara negara terawal yang mahu menghulurkan bantuan. Tindakan Amerika Syarikat khususnya dalam hubungan antarabangsa sering dianggap sebagai tindakan yang mempunyai sebab asas dan sebab tersembunyi.
Bagi saya sebab asasnya ialah bantuan dihulur atas dasar kemanusiaan dan sebab tersembunyinya pula adalah peluang untuk menyebarkan idea demokrasi ke Myanmar. Amerika Syarikat khususnya bagi saya mahu menundukkan junta tentera Myanmar yang kini dalam keadaan tertekan dalam keadaan yang cukup hormat. Perkaranya cukup mudah, jika Myanmar menerima kehadiran langsung pakar-pakar bencana Amerika Syarikat dan juga bantuan-bantuan bekalan yang lain, percayalah kemudiannya Amerika Syarikat akan terus hadir dengan idea-idea baru supaya Myanmar jatuh dalam lingkaran demokrasi.
Ini adalah perkara yang tidak mahu diterima oleh junta tentera Myanmar, maka mereka telah menolak kehadiran langsung wakil-wakil asing ke Myanmar. Nampaknya junta ini tidak serik-serik memperjudikan nasib rakyat, mereka mempolitikkan isu kemanusiaan untuk kepentingan sendiri.
Itu dari segi demokrasi, sebab yang kedua kita dapat perhatikan ialah pihak junta dilihat tidak mahu kelihatan tewas di mata rakyat sendiri. Ini ada kaitannya dengan ego pihak rejim tersebut. Kita lihat bagaimana mereka cukup angkuh menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan bantuan asing kerana mereka mampu mengawal situasi dan menurut mereka lagi tiadasebarang kejadian kebuluran atau wabak penyakit berlaku.
Kata-kata sebegini datang dari mulut pemimpin tentera yang kian terdesak dan tersepit dikala masyarakat antarabangsa menggunakan isu ini untuk menekan Myanmar agar polisi tutup pintu mereka dapat dibuka seluas-luasnya. Ego ini hanya untuk menutup mata rakyat bahawa kerajaan tentera amat bertanggungjawab dan tidak tunduk kepada tekanan asing. Tindakan menyembunyikan jumlah kematian sebenar juga adalah tindakan bodoh demi memelihara ego agar tidak disenda-sendakan oleh rakyat sendiri. Jadi adakah jika mereka menolak bantuan asing yang lebih untuk masuk membantu mereka telah dianggap sebagai wira oleh rakyat tempatan?
Jadi di sini satu persoalan penting timbul dan saya tidak pasti adakah pimpinan tentera kejam Myanmar mampu menjawabnya ataupun tidak. Adakah isu Taufan Nargis ini isu politik? jika isu politik bermakna Taufan itu adalah ciptaan Than Shwe bukannya hukum dalam bencana alam.
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 4:29:00 PTG 16 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
lawak jenaka
Selasa, April 29, 2008Dewan yang sepi kembali riuh, pemenang-pemenang pertandingan yang lalu hadir dengan semangat dan mungkin idea yang baru, tetapi tidak juga dapat dinafikan ada yang hadir dengan tahap idea yang bertakuk lama, tidak pernah berubah dan mereka berada di dewan ini bukan untuk perdebatan serius dan membangunkan demokrasi serta meningkatkan tahap kematangan pemimpin, tetapi kehadiran mereka ini lebih kepada menjadi penyeri majlis dan hanya bertindak sebagai pelawak-pelawak selingan persis apa yang kita tonton dalam konsert-konsert di RTM.
Mengapa wujud golongan pelawak-pelawak ini pun saya tidak tahu, adakah kerana mereka lupa yang kehadiran mereka itu adalah melalui undian rakyat yang menagih demokrasi bukannya melalui undian SMS untuk mengekalkan peserta Akademi Fantasia yang mahu terus bersaing.
Bagi saya situasinya amat mudah, sebagai orang penting dalam perjalanan sistem demokrasi, seluruh umat dalam dewan parlimen ini perlu sedar akan peranan, nilai kematangan dan idea yang diluahkan oleh mereka dalam percakapan dan perdebatan. Mereka bukan berdebat isu-isu mudah, bukannya perkara-perkara remeh, mereka bercakap-cakap, berbincang-bincang dan berdebat-debat isu dan agenda untuk rakyat, mengutamakan nilai undi yang diberikan rakyat dan yang paling penting terus-menerus memelihara nilai demokrasi rakyat Malaysia.
Bukan tujuan saya menulis ini untuk memerli atau menghina kerja seorang pelawak, seorang pelawak adalah penting kerana mereka ada untuk menghiburkan hati kita yang sedang sedih atau ketika kita sedang dalam kerisauan. Namun begitu kerisauan, kekecewaan dan juga kesedihan rakyat itu bukan boleh diubati dengan lawak jenaka di dalam dewan, tetapi ia hanya mampu diubati dengan cara serius, cara matang dan cara yang lebih bijak. Keasyikan membuat lawak di dalam dewan bukanlah satu perkara atau tindakan yang wajar, tindakan sebegini juga bukanlah tindakan seorang ahli dewan yang bijak. Semakin galak isi-isi dewan ini membuat lawak maka semakin kuat kita akan mendengar tangisan-tangisan kecewa rakyat Malaysia.
Bukan salah untuk seseorang ahli dewan itu membuat lawak atau menghiburkan hati para ahli yang lain selepas beberapa ketika perdebatan dipenuhi dengan elemen garang dan tertekan, tetapi perlu mereka ketahui bahawa lawak itu perlu disampaikan dalam situasi penuh mesej dan sinis bukan sekadar lawak-lawak kosong dan lemau. Sebelum ini kita dapat melihat beberapa siri lawak "lemah batin" atau dalam kata yang lebih mudah lawak-lawak tidak berisi yang cukup mengecewakan. Mungkin lawak sebegini wujud kerana isi-isi dewan sebelum ini tidak seimbang dan kebanyakannya sering sahaja berbicara sesama sendiri. Jadi wujudlah idea untuk meminggirkan, memerli dan juga merendah-rendahkan pihak yang berhadapan dengan tekanan yang kuat.
Dalam situasi hari ini, isi dewan telah berubah dengan cukup besar, hari ini tiada lagi alasan dewan berbicara sendiri kerana kini dewan sudah mampu untuk mewujudkan perbincangan dan perdebatan yang lebih matang dan serius. Mulai detik ini saya dapat ramalkan bahawa kemungkinan besar tiada lagi ahli-ahli dewan yang mahu terlibat dalam siri rancangan lawak lemah Parlimen. Apa yang kita akan lihat selepas ini ialah jika ada berlaku situasi lawak jenaka di dalam dewan, isi dan idea lawak itu mungkin lebih bernas, sinis dan lebih berbentuk menjana idea pemikiran yang lebih matang.
Selepas ini jika ada ahli dewan yang "berani dan yakin" menonjolkan bakat tersimpan mereka untuk membuat lawak-lawak "lemah batin" ini saya fikir kita perlu lakukan sesuatu pada edisi pemilihan akan datang bagi mengajar dan membawa keluar pelawak-pelawak yang hilang arah ini supaya mereka kemudiannya diberikan peluang untuk berlawak di gelanggang Raja Lawak.
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 8:21:00 PTG 11 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
Kanggaru dan mesin yang baru dibaiki (Tetapi masih banyak yang perlu dibaiki)
Rabu, April 09, 2008Pilihan raya umum ke-12 yang lalu jelas memberikan makna tersendiri dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perubahan-perubahan yang berlaku dinilai dari pelbagai segi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang melihat perubahan yang berlaku membawa makna yang baik dan ada pula yang melihat perubahan dalam erti kata yang berbeza. Walau apa pun persepsi dan pandangan, Malaysia harus tetap dibangunkan, Negara tercinta ini perlu tetap dimajukan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
Andai kita diberikan pilihan sudah tentu kita mahu sahaja yang paling baik, tetapi kita telah membuat pilihan dan demokrasi sudah semakin jelas di sini, tetapi hasilnya sahaja belum kita peroleh. Apa yang diharapkan pemenang-pemenang pertandingan yang lalu dapat memberikan kesuburan nikmat demokrasi kepada rakyat yang memilih mereka. Jangan dikhianati atau jangan pula memberi pulangan hampa kepada rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang.
Selepas keputusan diumumkan, kerajaan pula dibentuk dan sesudah kerajaan disesuaikan gerak langkah pembangunan dan keadilan untuk rakyat pula disusun dan dimulakan. Rakyat berhak menuntut apa yang dijanjikan, mereka berhak berharap dan mereka juga ada peranan penting, jangan kita lupa perubahan pilihan raya 2008 ini adalah kerana rakyat sudah bijak dalam menggunakan kuasa, rakyat bukan lagi mengikut arah arus utama, tetapi kini rakyat menilai apa yang terbaik dan perubahan juga sudah menjadi sesuatu yang ingin dicuba-cuba. Jadi kepada mereka yang sering berjanji dan selalu mungkir, anda adalah sasaran untuk dijatuhkan pada edisi pemilihan yang berikutnya.
Sejak kebelakangan ini negara kita sering digemparkan dengan kisah-kisah politik, saya tidak pasti sama ada kisah-kisah ini adalah benar atau hanya dongeng khayalan dan rekaan demi untuk mewujudkan suasana kurang selesa kepada lawan masing-masing. Ini juga adalah sindrom biasa dalam penyakit politik di Malaysia bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara-negara membangun yang masih membina arah demokrasi masing-masing. Bukan salah untuk kita bercerita, tetapi biarlah kisah benar dan berfakta kita bukan bercerita untuk lelapkan mata anak-anak kecil yang mengantuk, kita bercerita kepada kumpulan yang bijak menilai dan memberi markah. Jangan kita membuka kisah dongeng agar demokrasi dan sistem politik di Malaysia mencapai tahap kematangan yang wajar.
Isu orang-orang politik melompat-melompat seperti kanggaru bukan isu baru dan isu tersebut dalam edisi pasca pemilihan tahun ini secara tiba-tiba menjadi antara isu utama yang dibincangkan, hinggakan ada seorang ahli jemaah kabinet mahu satu undang-undang diwujudkan bagi menyekat "kanggaru-kanggaru" ini daripada terus melompat-lompat. Sejak era permulaan negara menganjurkan pilihan raya telah wujud masalah ini dan sebenarnya bagi saya masalah ini berpunca daripada nilai kesetiaan kepada parti, rasa tanggungjawab kepada rakyat dan nilai diri seseorang wakil yang telah dipilih oleh rakyat.
Bukan semua mereka yang menang dalam pilihan raya itu dipilih atas dasar kemampuan individu tersebut, namun ada juga di antara mereka yang dipilih berdasarkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sesebuah parti politik yang dianuti oleh seseorang calon.
Kepercayaan rakyat pula tidak sepatutnya diperkecil dan tindakan seseorang wakil rakyat yang berpindah sesuka hati juga merupakan satu perkara khianat kepada kehendak dan tujuan rakyat memilih. Mereka yang bersikap sebegini begitu sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat. Bagi saya individu-individu sebegini hanya akan membuang masa dan merosakkan integriti sistem politik di Malaysia.
Undang-undang mungkin boleh terlaksana bagi menyekat wakil rakyat berpindah parti, tetapi soalnya sekarang adakah tidak akan timbul sebarang percanggahan dengan peruntukkan dalam perlembagaan Malaysia yang memberikan hak kepada individu untuk berpersatuan? Adakah faktor politik atau kepentingannya boleh diambil kira sebagai sebab yang dibolehkan kebebasan berpersatuan dihalang atau dibekukan?
Atau yang terakhir adakah undang-undang ini hanya cadangan untuk melenyapkan dongengan politik pasca pilihan raya? (Seperti sekarang cadangan itu hanya tinggal cadangan).
*nota* Jika parti itu agama, mungkin "kanggaru" yang melompat-lompat gembira itu telah murtad dan terpesong akidah. Bernasib baiklah mereka kerana parti politik itu tidak termasuk dalam kategori agama.
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 8:41:00 PTG 0 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
mesin-mesin ini rosak atau terus berguna di seluruh dunia?
Isnin, Mac 24, 2008Pilihan raya merupakan asas penting ke arah pembentukan sebuah negara demokrasi yang baik. Tanpa pilihan raya yang telus dan adil, aras demokrasi di sesebuah negara sering dipertikaikan. Adalah menjadi satu harapan agar pilihan raya dapat dianjurkan dan diuruskan dengan cekap dan teratur tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Situasi ini cukup penting bagi sesebuah negara memupuk budaya demokrasi dan mengukur aras demokrasinya.
Sekitar lewat tahun 1980an dan 1990an begitu banyak negara menganjurkan pilihan raya bersifat multi-parti untuk pertama kalinya. Cabaran-cabaran utama yang dilihat dihadapi oleh negara-negara ini adalah seperti kekurangan pengalaman dan jurang pengetahuan yang cukup ketara jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah biasa menganjurkan pilihanraya umum sebegini. Komitmen yang utuh adalah sangat diperlukan oleh sebuah badan pentadbiran dan pengurusan pilihan raya untuk bertindak bebas dan adil, namun kebanyakan negara yang baru membina pengurusan pilihan rayanya sendiri jelas tidak bersedia dengan baik, disebabkan tiada pengalaman, pengetahuan dan sumber yang mencukupi untuk memastikan wujudnya satu proses pilihan raya yang boleh dipercayai. Tiada kaedah umum yang ada untuk merangka sebuah pentadbiran pilihan raya, dan ini termasuklah institusi pilihanraya tidak mempunyai akses yang mencukupi dalam pengalaman pilihan raya untuk mendapatkan idea pilihan raya yang lebih baik.
Keupayaan sesetengah negara menganjurkan pilihan raya yang baik membolehkan pihak pentadbiran dan pengurusan pilihan raya ini mula berkongsi pengalaman di antara satu sama lain. Kini cabaran institusi pilihan raya dilihat lebih besar kerana berhadapan dengan persoalan sama ada mampu mengekalkan nilai ketelusan dalam proses pilihan raya dan adakah institusi ini mampu memberikan gambaran yang lebih adil tentang nilai pengurusannya. Kepercayaan rakyat, kumpulan-kumpulan berkepentingan, parti-parti politik di dalam proses pilihanraya adalah penting bukan sahaja untuk pengamalan pilihan raya itu sendiri tetapi turut mencerminkan kredibiliti sesebuah kerajaan yang dibentuk hasil sistem pilihan raya tersebut, kerana sistem yang rosak tidak mampu untuk menghasilkan sebuah kerajaan yang adil dan bermatlamat.
Kemahiran dan idea pengurusan yang tinggi amat diperlukan dalam pengurusan pilihan raya dan ini adalah menjadi tanggungjawab institusi yang terlibat dalam aktiviti proses pilihan raya. Institusi-institusi sebegini mempunyai kapasiti dan bentuknya yang tersendiri serta mempunyai pelbagai gelaran dan nama di seluruh dunia. Setiap negara mungkin mempunyai nama institusi pengurusan pilihan rayanya yang berbeza dan ini termasuklah "Suruhanjaya Pilihan raya", "Jabatan Pilihan raya", "Majlis Pilihan raya", "Unit Pilihan raya" ataupun"Lembaga Pilihan raya".
Institusi pengurusan pilihan raya ini mempunyai pelbagai matlamat dan objektif kerja yang perlu dilaksanakan, menguruskan elemen-elemen penting pilihan raya dan instrumen demokrasi yang berkaitan. Elemen-elemen penting yang menjadi tanggungjawab institusi pengurusan pilihan raya ini adalah seperti:
a) menentukan rakyat yang layak mengundi
b) menerima dan mengesahkan pencalonan calon
c) menguruskan proses pengundian
d) menjalankan pengiraan undi
e) menetapkan penjadualan pilihan raya
Institusi pengurusan pilihan raya yang berbeza muncul untuk proses pilihan raya yang berbeza. Di Mexico dan Poland misalnya, Institusi pengurusan pilihan rayanya bertanggungjawab terhadap proses pilihan raya presiden dan juga pilihan raya parlimen, Di Lithuania pula, sebuah institusi pengurusan bertanggungjawab terhadap pilihan raya presiden dan sebuah lagi institusi berfungsi secara berasingan menguruskan pilihan raya parlimen. Di Britain, pengurusan untuk menjalankan pentadbiran pilihan raya dan pungutan suara adalah berbeza di antara satu sama lain. Ada juga institusi pengurusan pilihan raya yangmenjalankan fungsi yang lebih luas seperti Suruhanjaya Pilihan raya New Zealand, yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran parti-parti politik, menetapkan peruntukkan masa berkempen dan dana rasmi kepada parti-parti, memantau simpanan dan perbelanjaan parti serta memberikan maklumat dan pendidikan kepada para pengundi.
Disebabkan wujudnya kepelbagaian fungsi tanggungjawab bagi elemen-elemen yang berbeza dalam proses pilihan raya ini, tanggungjawab pengurusan ini mungkin dibahagikan kepada badan-badan bertanggungjawab pada peringkat yang berbeza. Sebagai contoh, sesetengah elemen pengurusan mungkin akan diuruskan pada peringkat nasional iaitu suruhanjaya pilihan raya, sebuah kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, atau agensi nasional kerajaan, manakala urusan yang lainnya dikuatkuasakan oleh suruhanjaya peringkat tempatan atau pihak berkuasa tempatan seperti yang berlaku di Sepanyol. Terma institusi pengurusan pilihan raya mungkin boleh digunakan kepada suruhanjaya piliharanya peringkat kebangsaan yang menguruskannya secara bersama dengan pihak berkuasa tempatan, Seperti Penguasa Pilihan raya Sweden, yang memasukkan fungsi menyelaraskan percetakan kertas undi, pembahagian kerusi dan pengumuman tarikh dan keputusan pilihan raya pada peringkat negara.
Menurut Institusi Demokrasi dan Bantuan Pilihan raya (IDEA), terdapat tiga model utama yang dapat menggambarkan idea pengurusan pilihan raya secara lebih jelas dan terperinci. Tiga model tersebut ialah Model Bebas (Independent Model), Model Kerajaan (Governmental Model)dan Model Campuran (Mixed Model). Ketiga-tiga model ini mempunyai ciri-ciri yang cukup berbeza dan ia mampu memberikan kita idea mengenai sistem pengurusan pilihan raya yang wujud di seluruh dunia.
Model Bebas
Model bebas dalam pengurusan pilihan raya ini wujud dalam negara-negara yang pilihanrayanya dianjurkan dan diuruskan oleh badan pengurusan yang diinstitusikan sebagai bebas dan mempunyai kuasa berasingan daripada badan eksekutif dalam kerajaan, dan menguruskannya menggunakan belanjawan sendiri. Di bawah model ini, sesebuah institusi pengurusan pilihanraya tidak bertanggungjawab kepada kementerian atau jabatan kerajaan. Ia mungkin bertanggungjawab kepada legislatif, kehakiman atau ketua negara. Institusi pengurusan pilihan raya di bawah model bebas ini mempunyai kelebihan dari sudut autonomi dan tanggungjawab yang lebih luas serta berbeza. Ahli-ahlinya juga terdiri daripada individu-individu yang tidak terlibat dengan badan eksekutif kerajaan. Banyak negara demokrasi yang baru muncul memilih model bebas untuk pengurusan pilihan raya mereka. Antara contoh negara yang menggunakan model bebas ini ialah Armenia, Australia, Bosnia Herzegovina, Burkina Faso, Kanada, Costa Rica, Estonia, Georgia, India, Indonesia, Liberia, Mauritius, Nigeria, Poland, Afrika Selatan, Thailand dan Uruguay.
Di sesetengah negara, dua badan diwujudkan untuk menguruskan pilihan raya, kedua-duanya bebas dari pengaruh eksekutif dan boleh dianggap sebagai institusi pengurusan pilihan raya yang bebas. Satu bahagian daripada badan ini dilihat mempunyai tanggungjawab membuat keputusan dasar berkaitan dengan proses pilihan raya, dan satu lagi bahagian mempunyai tanggungjawab menguruskan dan menguatkuasakan proses pilihan raya. Terdapat undang-undang yang memisahkan kedua-dua bahagian ini daripada saling mempengaruhi dalam soal kakitangan dan operasi. contoh negara yang mempunyai institusi pengurusan pilihan raya dalam kerangka ini adalah seperti Jamaica, Romania, Surinam dan Vanuatu.
Model Kerajaan
Model kerajaan dalam pengurusan pilihan raya ini wujud di dalam negara-negara yang pilihanrayanya diuruskan dan dianjurkan oleh badan eksekutif melalui kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri dan/atau melalui pihak berkuasa tempatan. Di mana institusi pilihan raya di bawah model kerajaan ini wujud pada peringkat nasional, ianya akan diketuai oleh menteri atau penjawat awam dan bertanggungjawab kepada menteri kabinet. Dengan sedikit pengecualian ia tidak mempunyai "ahli khusus". Belanjawannya menjadi tanggungjawab kementerian dalam kerajaan dan/atau di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.
Negara-negara yang institusi pengurusan pilihan rayanya menggunakan model ini adalah seperti Denmark, New Zealand, Singapura, Switzerland, Tunisia, Britain (hanya untuk pilihan raya bukan pungutan suara) dan juga Amerika Syarikat. Di Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat, pilihan raya dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan. Di Sweden dan Switzerland institusi pengurusan pilihan raya pusat mengandaikan dasar dan menyelaraskan peranan.
Model Campuran
Model campuran dalam pengurusan pilihan raya biasanya terdiri daripada dua komponen institusi pengurusan pilihan raya, dan ini melihatkan kepada kewujudan dua struktur; sebuah institusi dasar, pemantauan dan penyeliaan yang bebas dari kongkongan eksekutif dalam kerajaan dan sebuah institusi penguatkuasaan yang berada di dalam jabatan atau kementerian kerajaan dan/atau kerajaan tempatan. Di bawah model ini, pilihan raya dianjurkan oleh komponen institusi kerajaan, dengan sedikit peringkat pemerhatian dari institusi bebas. Model campuran ini sering digunakan di negara-negara seperti Perancis, Jepun, Sepanyol dan bekas tanah jajahan Perancis terutamanya di Afrika Barat seperti Mali, Senegal dan Togo.
Kuasa, fungsi dan kekuatan komponen institusi bebas dalam hubungannya dengan institusi kerajaan adalah berbeza, dan kadangkala ada sesetengah negara yang menggunakan model campuran ini tetapi tidak begitu ketara penggunaannya. Dalam sesetengah kes institusi pengurusan pilihan raya bebas adalah lebih kecil lagi daripada tanggungjawab pemantauan, walaupun versi sebegini sudah semakin hilang sebagai contohnya di Senegal. Dalam kes yang lain, komponen bebas mempunyai peranan untuk memantau dan mengesahkan penguatkuasaan pilihan raya oleh komponen kerajaan, seperti yang berlaku di Madagascar, dan kadangkala turut terlibat dalam proses penjadualan dan keputusan, seperti yang berlaku di Congo dan Togo. Di sesetengah negara bekas jajahan Perancis, Majlis Perlembagaan terikat dengan kerja penjadualan pilihan raya dan pengisytiharan keputusan dan boleh dianggap sebagai komponen bebas di dalam model campuran. Di Chad, ia hanya digunakan dalam pungutan suara sahaja, dan bukannya dalam pilihan raya umum. Di Mali, di mana pilihan raya diuruskan oleh Kementerian Pentadbiran Wilayah, kedua-dua Suruhanjaya Bebas Pilihan raya Kebangsaan dan Mahkamah Perlembagaan menjalankan penjadualan keputusan masing-masing.
IDEA telah menjalankan satu kaji selidik pada tahun 2006 berkaitan dengan pengurusan pilihan raya di 214 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dan mendapati 55 peratus menggunakan model bebas, 26 peratus mengikut model kerajaan dan 15 peratus mengaplikasikan model campuran dalam pengurusan pilihan raya mereka, manakala baki empat peratus merujuk kepada negara yang tidak melaksanakan pilihan raya di peringkat nasional.
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 12:50:00 PTG 1 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi
sistem yang sedang berjalan = adakah mesin yang masih rosak?
Ahad, Mac 16, 2008Mengejutkan! mungkin itu adalah perkataan yang paling sesuai untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai pilihanraya umum ke-12 (PRU-12) negara Malaysia. Bermula dengan keputusan penuh diketahui, saban waktu kita sering diberi dan disogokkan dengan maklumat-maklumat terbaru mengenai masa depan negara kita. Masing-masing orang muncul dengan telahan dan masing-masing juga hadir dengan analisis dan pendapat tersendiri. Umum mengetahui bahawa Malaysia itu adalah sebuah negara demokrasi, namun kita sentiasa diingatkan bahawa demokrasi di Malaysia belum mencapai tahap yang sewajarnya seperti negara lahir demokrasi Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah. Demokrasi diukur dengan kepelbagaian tanda aras dan salah satu pentunjuk utama untuk menilai keberkesanan demokrasi itu ialah melalui sistem pilihanraya.
Bermula dengan sistem pilihanraya inilah pemimpin yang membangukan nilai negara dipilih dan melalui sistem inilah demokrasi di Malaysia diukur. Penulis mengibaratkan sistem ini seperti sebuah mesin yang ada disebuah kilang. Kerosakan mesin di kilang akan menyebabkan segala-galanya tergendala dan apa yang pasti mesin yang rosak sudah tentu tidak akan mampu menghasilkan produk yang berkualiti, begitu juga dengan sistem pilihanraya, sistem yang mempunyai masalah sudah tentu tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan para pemimpin yang berkualiti. Ini adalah hakikat semulajadi yang penulis yakin tidak akan dinafikan oleh sesiapa jua.
Di Malaysia, kita sering mendengar, melihat dan mungkin juga merasai pengalaman dari cerita pilihanraya sebuah negara membangun ini. Ada pihak yang menyatakan bahawa perjalanan sistem ini tidak adil, ada pihak pula bersuara memberikan pendapat bahawa sistem yang ada kini cukup sempurna dan mampu memberikan kesan yang cukup demokratik kepada pembentukan negara Malaysia. Isu ini bukanlah tumpuan penulis, soal sistem itu adil, soal sistem itu berat sebelah biarlah ditentukan oleh mereka yang layak. Penulis hanya mahu memberikan tumpuan dan sedikit analisis mengenai faktor kegagalan Barisan Nasional (BN), mencapai dua pertiga kerusi parlimen dan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri dan juga keupayaan pembangkang menjana isu, mengumpul kekuatan dan menarik perhatian sebilangan besar rakyat untuk menyokong dan menyuntik nafas segar kepada pakatan pembangkang.
Pilihanraya kali ini cukup menarik, kerana ia adalah satu keterbalikkan imej kemenangan besar BN dalam pilihanraya 2004. Sebelum ini BN begitu selesa di Parlimen Malaysia dengan kemenangan 91 peratus dan berjaya membentuk majoriti yang cukup besar tanpa perlu menunggu lebih lama seperti pilihanraya kali ini. Dahulu pada 2004, rakyat melihat peralihan pucuk pimpinan dari Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu peralihan yang perlu diberi peluang dan dinilai, Maka hasilnya kemenangan cukup besar BN berjaya menutup semula ruang kejayaan pembangkang pada tahun 1999. Pada tahun 2004 juga isu Anwar Ibrahim yang menjadi isu utama pembangkang pada tahun 299 dilhat sudah mula reda dan pada ketika itu isu-isu yang berkaitan dengan Dato seri Abdullah hampir tidak ada dan keadaan ini begitu menyukarkan pembangkang dan memberikan ruang selesa kepada BN.
Pilihanraya 2008, keadaan yang berlaku ternyata songsang dari tahun 2004, kehadiran semula Anwar Ibrahim dalam pentas politik, kes video V.K Lingam, isu HINDRAF, dan beberapa isu sosial serta ekonomi ternyata berjaya memberi kesan kepada tindakan demokrasi rakyat dan memberikan semula suasana seimbang dalam parlimen Malaysia. Mungkin ini adalah mengejutkan kerana ia adalah satu perkara yang amat jarang berlaku di Malaysia, tetapi jika dinilai dari sudut kematangan dan perkembangan demokrasi rakyat, Malaysia secara keseluruhannya telah mencapai peningkatan yang perlu dibanggakan. Bagi penulis ini merupakan satu perkembangan yang positif untuk menilai demokrasi dan perkembangannya di Malaysia. Sedar ataupun tidak Malaysia kini sedang muncul menuju ke arah kematangan pemikiran politik rakyatnya. Demokrasi itu bukan pembentukan kerajaan sebelah pihak dan parlimen yang berbicara sesama sendiri, tetapi demokrasi itu perlu ada pembangkang yang kuat dan perlu wujud parlimen yang berbicara secara dua hala. Kekuatan pembangkang itu perlu wujud sebagai satu mekanisme "check and balance" dan bukan sebagai pakatan yang membangkang tanpa asas dan kepentingan politik kepartian semata-mata. Penulis melihat dengan kekuatan pembangkang di parlimen, keputusan-keputusan serta segala penggubalan dasar negara akan menjadi lebih telus lebih terbuka. Inilah satu perkara penting yang perlu dilihat, pembangkang itu tidak wajar dinilai secara sempit sebagai kelompok yang hanya bertindak membangkang segala tindakan kerajaan. Pembangkang yang baik bukan begitu, pembangkang yang baik dapat memberikan idea yang membantu dan bertindak dalam mekanisme imbangan yang dinamik.
Anwar Ibrahim yang kini bertindak sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat sebelum ini disifatkan oleh ramai pemimpin politik tanah air, khususnya dari pihak BN sebagai tidak relevan dalam perkembangan pilihanraya dan pengaruh Anwar tidak akan memberikan kesan besar kepada keputusan pilihanraya. Namun semuanya ternyata meleset, penulis melihat Anwar adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan besar BA ini. Anwar berjaya muncul sebagai individu yang cukup berpengaruh dalam sistem politik Malaysia. Kita tidak boleh menafikan pengaruh Anwar dalam mengejutkan BN ini. Anwar dalam setiap ciri ceramahnya dilihat berjaya mencetuskan semangat rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, setiap isu dan kata-kata dari mulut Anwar mempunyai pengaruh dan nilai yang tersendiri. Anwar juga dilihat berjaya membangkitkan simpati rakyat, apabila setiap ceramah beliau pasti diselitkan dengan kisah seksa hidupnya di Penjara Sungai Buloh. Penyampaian pidato politikAnwar memang tidak dapat dinafikan menarik dan reputasi Anwar yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa memberikan rakyat lebih pilihan untuk memilih dan hasilnya Parti Keadilan Rakyat yang sebelum ini dianggap sebagai semut hitam yang kecil,tetapi kini muncul bagai harimau gagah yang mengaum.
Walaupun BN dilihat berjaya membentuk kerajaan, namun derita parti komponen MIC tidak dapat disembunyikan lagi, MIC hanya menang tiga kawasan parlimen iaitu di Cameron Highland, Tapah dan Segamat, tetapi tewas di kerusi-kerusi parlimen lain yang ditandinginya. Lebih menambah derita MIC ialah kekalahan Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu yang sebelum ini begitu kukuh di Sungai Siput. Bagi penulis kekalahan teruk MIC ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kemunculan HINDRAF yang membuka mata banyak pihak. Jika sebelum ini perbincangan hak sering ditumpukan kepada masyarakat Melayu, secara tiba-tiba kaum India meletuskan situasi baru di Malaysia. MIC semakin panas dengan isu ini dan mereka semakin tidak selesa apabila pimpinan dan pengikut HINDRAF ini mendapat perhatian dari pihak pembangkang khususnya PKR. Kenyataan-kenyataan Samy Vellu sebelum ini yang menyatakan bahawa HINDRAF itu hanya mewakili sebilangan kecil kumpulan kaum India ternyata meleset, apabila PRU-12 ini membuktikan bahawa isu HINDRAF telah membawa bala yang teramat besar kepada parti MIC. Berdasarkan keputusan PRU ini, kaum India dilihat tidak lagi bergantung harap kepada MIC untuk membela nasib mereka dan MIC perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan semula kepercayaan kaum India dan keadaan ini sudah tentu sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan.Satu bukti yang dapat menyokong kenyataan penulis ini ialah Samy Vellu kalah di Sungai Siput disebabkan undi golongan bukan Melayu.
Tun Dr. Mahathir adalah individu penting yang mencetuskan suasana baru politik Malaysia. Sejak meletakkan jawatan, beliau tidak putus-putus memberikan komen dan ulasan mengenai pentadbiran Datuk Seri Abdullah.Mesej-mesej daripada orang penting ini cukup memberikan kesan kerana Tun sepatutnya menjadiorang yang memberikan sokongan kepada Pak Lah, telah hadir dengan "sokongan" bentuk baruyang seterusnya berjaya mencuit hati pengundi untuk melakukan perubahan dalam senario politik tanah air. Sehingga ke saat ini Tun hadir dengan komen yang mungkin menyebabkantekanan kepada Pak Lah. Situasi perubahan yang berlaku ini cukup mudah untuk dijelaskan,jika bekas orang no 1 juga sudah makin bersuara dengan nada tidak puas hati, adakah mungkin rakyat tidak terfikir atau menimbulkan sebarang persoalan?
Dalam PRU-12 ini terdapat satu kecenderungan baru yang dapat kita kesan dan lihat dengan sendiri. Kecenderungan ini adalah berkaitan dengan pola pengundian oleh kaum bukan melayu dan juga mereka yang tinggal di bandar. Penulis melihat BN tewas di kebanyakkan gelanggang dan gagal mengekalkan majoriti dua pertiga parlimen adalah disebabkan oleh kecenderungan golongan bukan melayu yang dilihat lebih memberikan peluang dan memilih parti pembangkang. Keadaan ini mungkin wujud atas dua perkara, pertamanya perkara ini kita boleh kaitkan dengan kematangan politik golongan ini dalam menilai demokrasi dan isu yang berkaitan. Keduannya yang perlu diberikan perhatian ialah kerana mungkin wujud rasa tidak puas hati golongan ini kepada kerajaan yang sedia ada, langsung membuat pilihan muktamad dengan memilih parti baru dalam PRU-12. Soal kematangan politik ini bagi penulis adalah perkara biasa dan wajar diraikan kerana warga Malaysia secara umumnya telah mula melihat bentuk dan rupa paras sebenar sebuah negara yang mahu membaiki taraf demokrasinya. Ini adalah perkembangan yang sihat dan kematangan politik ini akan membantu warga Malaysia memahami isi demokrasi dengan lebih teliti dan terbuka. Tetapi soal ketidakpuasan hati ini wajar diberikan perhatian serius, kerana ini adalah soal rasa bimbang rakyat dan soal perasaan tidak percaya rakyat. Perlu diingatkan bahawa Malaysia adalah negara makmur berbilang kaum, jadi rasa tidak puas hati sebilangan kaum wajar diberikan perhatian serius kerana rakyat telah bijak menggunakan kuasa memilih disebabkan peningkatan nilai pemikiran dan kematangan politik yang ada pada mereka.
Golongan di bandar juga dilihat semakin serius dalam politik dan memberikan perhatian kepada kuasa pemilihan bagi mengekal dan membaiki tahap demokrasi di Malaysia. Satu faktor yang menyebabkan golongan bandar tertarik untuk memilih pembangkang ialah kerana manifesto negara berkebajikan yang menjanjikan pengurangan kos sara hidup, dan ini cukup menarik perhatian kerana golongan bandar adalah kelompok yang menderitai peningkatan kos sara hidup. Penulis juga melihat golongan bandar merupakan golongan yang terdedah kepada sumber maklumat yang lebih terbuka seperti penggunaan Internet yang meluas, ini merupakan satu keadaan yang menyebabkan pengundi bandar cenderung kepada pembangkang, kerana mereka dilihat tidak melihat media arus perdana sebagai sumber maklumat semata-mata, tetapi mereka berminat untuk mengetahui pelbagai perkara dan juga telah bijak untuk membuat pertimbangan yang wajar mengenai maklumat yang diterima. Sekali lagi penulis nyatakan, bahawa ini adalah tanda kematangan rakyat dan simbol keterbukaan pengundi.
Malaysia kini dilihat bakal maju setapak lagi dalam soal pembangunan demokrasi dan kerajaan yang dibentuk ini sudah tentu perlu bekerja dengan lebih keras untuk memujuk semula hati rakyat yang telah berpaling arah. Jadi kepada kerajaan yang dibentuk, bekerjalah dengan gigih untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan kepada pembangkang yang berjaya memenuhkan kembali dewan rakyat, bertindaklah sebagai pembangkang yang seimbang dan matang agar Malaysia dapat terus melangkah gah untuk muncul sebagai sebuah negara yang mantap dari segi pemahaman dan aplikasi nilai demokrasinya sendiri.
Dipenselkan oleh Danielle_Corleone Ikut putaran 7:49:00 PTG 4 kata-kata kawan
Tanda Nama tulisan yang bukan puisi

