Aku di Teluk Guantanamo

Rabu, September 17, 2008

Semalam gelap
Hari ini malap

Tidur terkurung
Celik bermurung

Bangun terhantuk
Baring terbatuk

Jalan berpusing
Hati pun runsing

Malam dan nyamuk
Jiwa mengamuk

Aku masih di Guantanamo

Barangan Untuk Dijual

Ahad, September 14, 2008





Ini adalah rekaan terbaru. Anda berminat? Harap-harap berminat! Kalau berminat nak dapatkan "T-Shirt" ini boleh hubungi saya di e-mel giga_rorqual16@yahoo.com

Selamat Hari Bakal Bebas 31 Ogos

Sabtu, Ogos 30, 2008

Bendera Persekutuan Malaysia
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (berkuatkuasa tahun 1801)



Mari kita fikirkan, adakah apa yang kita lihat ini mempunyai kebenaran? atau adakah ianya sekadar satu kebetulan?
*Nanti akan ada sambungannya*...

Jangan sia-siakan Revolusi Perancis

Khamis, Ogos 28, 2008

Pernah atau tidak terlintas di fikiran kita, bagaimana jika sistem politik dan susunan sosial yang wujud hari ini masih berkiblatkan feudal tradisional dengan susunan bentuk piramid normal. Golongan autokrat, bangsawan dan mereka yang kaya-raya berada di atas manakala golongan miskin, pekerja dan petani berada di bahagian paling bawah? Sedarkah kita bahawa golongan yang duduk di atas itu adalah golongan yang sedikit dan mempunyai kekuatan suara yang tidak kuat, tetapi mereka yang berada di dalam susunan paling bawah merupakan kelompok yang ramai serta mempunyai kelantangan suara yang mampu menggegarkan?
Mungkin kita fikir kini kita sedang menuju ke arah dunia dan negara yang bebas dan mengamalkan prinsip demokrasi. Tetapi saya yakin ramai di antara kita yang tidak pernah terfikir bahawa waktu feudal masih lagi belum berlalu daripada jam tangan dan dinding masyarakat di sini. Amalan kita di sini jelas begitu mengagungkan golongan atasan, jika dahulu golongan atasan itu saya anggap sebagai kelompok autokrat, bangsawan dan hartawan tetapi pada ketika ini golongan atasan ialah mereka yang memimpin dan menjadi pemerintah dalam kerajaan yang wujud.
Perubahan itu hanya pada terma golongan atasan sahaja, tetapi maksud dan makna golongan bawahan masih tidak berubah, mereka ialah rakyat biasa, petani, pekerja, nelayan, buruh dan sebagainya. Mereka ini kelompoknya ramai daripada golongan pemimpin yang wujud, namun begitu apa yang pelik dan menghairankan ialah golongan ramai ini tunduk dan patuh kepada arahan golongan yang sedikit. Rasa tunduk mereka itu ditambah lagi dengan rasa hormat yang kadangkala berlebih-lebihan.
Saya bukan mengajak untuk kita semua membenci pemimpin, tetapi saya mengajak kita berfikir mengapa kita perlu lupakan kuasa yang ada pada kita? Mengapa kita perlu takut untuk bersuara apabila kita sedar mereka telah melakukan kesilapan? Ini adalah dua persoalan penting yang berada di tengah-tengah ketika kita menilai sistem feudal dan demokrasi. Ke mana mahu kita jatuhkan jawapan kepada soalan ini? Di bahagian demokrasi atau pada bahagian sistem feudal tradisional?
Secara asasnya demokrasi itu adalah mengikut landasan prinsip kesaksamaan dan kebebasan, ini bermakna perbezaan pendapat, kritikan terhadap pemerintah atau golongan atasan serta kemampuan mengeluarkan pendapat secara bebas dan bertanggungjawab tidak menjadi sebarang masalah jika kita ini demokrasi dan merancang untuk menuju ke arah itu.
Jadi apabila kita memilih sistem demokrasi maka kita akan melihat dunia dan negara itu bukan milik golongan atasan atau pemerintah, mereka hanya menjalankan tugas yang telah kita amanahkan kepada mereka. Mereka perlu bijak membuat kerja dan rajin dalam menjalankan tugas. Rakyat mahu hati mereka dipuaskan seboleh yang mungkin jadi tujuan utama pemerintah ini dipilih ialah untuk memuaskan hati rakyat dan mentadbir negara dengan baik, bukannya menjadi individu yang mahu dirinya di megah-megahkan atau tangannya dicium kiri dan kanan. Jika seseorang pemerintah itu mahu dipilih kerana hanya mahu terkenal, ingin bermegah-megah dan mendabik dada, saya fikir mereka sudah tersesat jalan.
Di sini, kita seolah-olah seperti sudah diajar bahawa pemimpin itu perlu disanjung dan diletak di atas kepala, walhal kita terlupa yang mereka itu dipilih oleh siapa? Mereka menjalankan kerja untuk siapa? Bukankah kita yang sepatutnya mereka sanjung dan kita yang sepatutnya mereka puja, kerana tanpa kita mereka tiada apa-apa.
Jadi berbalik kepada dua persoalan utama saya tadi dan ke mana kita mahu jatuhkan jawapannya, demokrasi atau feudal tradisional? Jika kita memilih demokrasi maka kita sekarang sedang berjalan ke hadapan tetapi jika kita memilih feudal nampaknya kita sudah mula mahu berpatah semula ke belakang dan melupakan masa depan.
Akhirnya, saya fikir jika kita tetap mahu berpegang kepada amalan feudal, saya cadangkan kita terbalikkan piramid feudal agar golongan yang ramai duduk di atas dan mereka yang sedikit duduk di bawah supaya falsafah perjuangan dalam Revolusi Perancis tidak sia-sia.

Patriotik yang Plastik

Ahad, Ogos 24, 2008

Aku ditanya kelmarin.

Adakah kamu merasa bangga
melihat bendera MALAYSIA
berkibar-kibar megah?

Aku menjawab.

TIDAK!

Aku ditanya lagi kelmarin.

Adakah kamu berdiri tegak
jika lagu NEGARAKU
dimainkan di tempat-tempat awam?

Aku menjawab lagi.

TIDAK!

Sekali lagi kelmarin, aku ditanya.

Adakah kamu merasa marah
jika NEGARA kamu dikeji dan dihina
di luar sana?

Aku langsung menjawab.

TIDAK PASTI!

Dan kelmarin terus bertanya.

Adakah kamu cukup berminat
dengan irama dan lagu-lagu
PATRIOTIK?

Aku dengan penuh perasaan menjawab

TIDAK!

*(KERANA PATRIOTIK SEMUANYA PLASTIK)*

**Alangkah indahnya jika manusia tidak dinilai dengan objektif!**

Darah Kamu dan Aku

Ahad, Ogos 17, 2008

Kamu berdarah apa?

Merah?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia berani?

Kamu berdarah apa?

Putih?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia suci?

Kamu berdarah apa?

Hitam?

Adakah dengan warna itu
Aku boleh katakan kamu ini
Manusia berdosa?

Masa ketika...

Ahad, Ogos 10, 2008

Kerana semalam
bukan jatuh cinta
dengan hari ini

Jadi tak pernah
ada kenangan
untuk hari esok

Cinta tolong!
berhenti seketika
hari ini

Kerana aku
mahukan kenangan
untuk setiap masa.

Bakal Bebas (belum lagi)

Ahad, Ogos 03, 2008



Sempena menjelang Hari Bakal Bebas yang bakal kita sambut pada 31 Og0s ini, langityangindah akan mempersembahkan beberapa hasil seni yang berkaitan. Harap dapat menikmati dan menilai. :-) (Persekutuan Tanah Melayu sahaja yang merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi MALAYSIA kita hari ini merdeka pada 16 September 1963).




penat

Penat!

emosi bercampur-campur
titik seimbang jadi kacau
lidah tak hilang meracau-racau
kamu tahu hanya ketawa

dan aku pula?

senyum membisu.

kaki bangku

Rabu, Julai 30, 2008

Ramai yang datang
tiada yang hilang
mata tertumpu
ke satu bangku!

Pertubuhan Rakyat Biasa

Isnin, Julai 28, 2008

Dengan ini saya mengisytiharkan penubuhan sebuah pertubuhan perjuangan rakyat biasa yang bernama Pertubuhan Rakyat Biasa (PRB).









sujud menyembah

Ahad, Julai 27, 2008

Membongkok tubuh
menyentuh kaki
bukan milik sendiri
tapi hak si tuan tanah

Aku dan kamu
terus setia membongkok
menyentuh ibu jari
paling besar sekali

Selesai membongkok
kamu bersujud
aku menurut
Dia tersenyum

Kemudian bangun
kami ketawa
hati gembira
kepala dipijak

Saya, kamu dan dia penceroboh kan?

Rabu, Julai 23, 2008

Aku bukan komunis

Aku komunis
bukannya bengis

Kau kapitalis
aku mengemis

Mereka kata
komunis jahat

Mereka kata
kapitalis baik

Komunis itu tentera
atau sistem sosial

Kapitalis itu raja
atau jadikan kita hamba

**saya bukan komunis**

Perempuan gila

Sabtu, Julai 19, 2008

Aku inginkan perempuan gila
Berikan aku warna cinta
Bukan warna yang hitam
Begitu juga warna yang putih

Aku mahukan warna bercampur
Hanya perempuan gila
Tahu mencampur warna jiwa
Hingga berubah jadi berbeza

Berdarah Hidung

Khamis, Julai 17, 2008

Berdarah hidung
ditumbuk garuda
menumbuk angin
diketawa harimau

Bergolek jatuh
terlentang luka
bangun kembali
kemudian rebah

Membujur lalu
berdarah rempuh
melintang patah
terbelah rusuk

16 Julai 1985

Selasa, Julai 15, 2008

Teriak bayi memecah sunyi
Ibu menitis air mata
wajah penuh cahaya
gembira

Ayah datang perlahan-lahan
Alunkan merdu azan ke telinga
Lembut terasa hembusan angin
Tangisan kecil langsung terhenti

Hari ini,
waktu itu berulang lagi
Dan kaki tetap melangkah
melepasi batas usia

Dahulu bayi lemah
Kini insan tabah


Aku mahu kau tahu
Hidup ini tidak
sendiri

Salam lahir 23 bintang selatan. :-)


Terbuai

Isnin, Julai 14, 2008

Ada bisik suara garau
singgah ke cuping telinga
katanya hidup ini buaian

Aku tak percaya
Aku halau jauh-jauh
Suara garau tadi hilang

Jauh dalam kalbu
aku bisikkan sendiri
hidup mesti bergerak

Yang buaian itu bukan hidup
Tapi bimbang...

Bergerak tapi tak ke mana!

Dia pergi...

Khamis, Julai 10, 2008

Dia pergi,
Kamu bila lagi?

Suka?
Jika suka ketawa!

Sedih?
Jika sedih menangis!

Senang bukan?
Jika mahu ambil
Jika tidak lepas!

Kamu sanggup?
Aku tak tahu!

Angguk pun tidak
Geleng pun bukan!

Sendiri...

Rabu, Julai 09, 2008

Ketika berlari mencari arah bintang
Dia mendongak melihat langit
Tiada bintang untuknya malam ini

Dia berjalan pantas ke hujung timur
Mendongak lagi, mencari bulan
Tiada juga cahaya untuknya malam ini

Dia kumpul kisah yang lalu
Dia jalinkan jadi helaian kain tebal
Dihamparkan... lelah

Kisah lalu jadi alas tidurnya
Cerita hadapan dia kurang pasti

Hidupnya jadi sendiri
dan terus berdiri
menguntum senyum
secantik bunga plastik