sistem yang sedang berjalan = adakah mesin yang masih rosak?

Ahad, Mac 16, 2008

Mengejutkan! mungkin itu adalah perkataan yang paling sesuai untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai pilihanraya umum ke-12 (PRU-12) negara Malaysia. Bermula dengan keputusan penuh diketahui, saban waktu kita sering diberi dan disogokkan dengan maklumat-maklumat terbaru mengenai masa depan negara kita. Masing-masing orang muncul dengan telahan dan masing-masing juga hadir dengan analisis dan pendapat tersendiri. Umum mengetahui bahawa Malaysia itu adalah sebuah negara demokrasi, namun kita sentiasa diingatkan bahawa demokrasi di Malaysia belum mencapai tahap yang sewajarnya seperti negara lahir demokrasi Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah. Demokrasi diukur dengan kepelbagaian tanda aras dan salah satu pentunjuk utama untuk menilai keberkesanan demokrasi itu ialah melalui sistem pilihanraya.

Bermula dengan sistem pilihanraya inilah pemimpin yang membangukan nilai negara dipilih dan melalui sistem inilah demokrasi di Malaysia diukur. Penulis mengibaratkan sistem ini seperti sebuah mesin yang ada disebuah kilang. Kerosakan mesin di kilang akan menyebabkan segala-galanya tergendala dan apa yang pasti mesin yang rosak sudah tentu tidak akan mampu menghasilkan produk yang berkualiti, begitu juga dengan sistem pilihanraya, sistem yang mempunyai masalah sudah tentu tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan para pemimpin yang berkualiti. Ini adalah hakikat semulajadi yang penulis yakin tidak akan dinafikan oleh sesiapa jua.

Di Malaysia, kita sering mendengar, melihat dan mungkin juga merasai pengalaman dari cerita pilihanraya sebuah negara membangun ini. Ada pihak yang menyatakan bahawa perjalanan sistem ini tidak adil, ada pihak pula bersuara memberikan pendapat bahawa sistem yang ada kini cukup sempurna dan mampu memberikan kesan yang cukup demokratik kepada pembentukan negara Malaysia. Isu ini bukanlah tumpuan penulis, soal sistem itu adil, soal sistem itu berat sebelah biarlah ditentukan oleh mereka yang layak. Penulis hanya mahu memberikan tumpuan dan sedikit analisis mengenai faktor kegagalan Barisan Nasional (BN), mencapai dua pertiga kerusi parlimen dan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri dan juga keupayaan pembangkang menjana isu, mengumpul kekuatan dan menarik perhatian sebilangan besar rakyat untuk menyokong dan menyuntik nafas segar kepada pakatan pembangkang.

Pilihanraya kali ini cukup menarik, kerana ia adalah satu keterbalikkan imej kemenangan besar BN dalam pilihanraya 2004. Sebelum ini BN begitu selesa di Parlimen Malaysia dengan kemenangan 91 peratus dan berjaya membentuk majoriti yang cukup besar tanpa perlu menunggu lebih lama seperti pilihanraya kali ini. Dahulu pada 2004, rakyat melihat peralihan pucuk pimpinan dari Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu peralihan yang perlu diberi peluang dan dinilai, Maka hasilnya kemenangan cukup besar BN berjaya menutup semula ruang kejayaan pembangkang pada tahun 1999. Pada tahun 2004 juga isu Anwar Ibrahim yang menjadi isu utama pembangkang pada tahun 299 dilhat sudah mula reda dan pada ketika itu isu-isu yang berkaitan dengan Dato seri Abdullah hampir tidak ada dan keadaan ini begitu menyukarkan pembangkang dan memberikan ruang selesa kepada BN.

Pilihanraya 2008, keadaan yang berlaku ternyata songsang dari tahun 2004, kehadiran semula Anwar Ibrahim dalam pentas politik, kes video V.K Lingam, isu HINDRAF, dan beberapa isu sosial serta ekonomi ternyata berjaya memberi kesan kepada tindakan demokrasi rakyat dan memberikan semula suasana seimbang dalam parlimen Malaysia. Mungkin ini adalah mengejutkan kerana ia adalah satu perkara yang amat jarang berlaku di Malaysia, tetapi jika dinilai dari sudut kematangan dan perkembangan demokrasi rakyat, Malaysia secara keseluruhannya telah mencapai peningkatan yang perlu dibanggakan. Bagi penulis ini merupakan satu perkembangan yang positif untuk menilai demokrasi dan perkembangannya di Malaysia. Sedar ataupun tidak Malaysia kini sedang muncul menuju ke arah kematangan pemikiran politik rakyatnya. Demokrasi itu bukan pembentukan kerajaan sebelah pihak dan parlimen yang berbicara sesama sendiri, tetapi demokrasi itu perlu ada pembangkang yang kuat dan perlu wujud parlimen yang berbicara secara dua hala. Kekuatan pembangkang itu perlu wujud sebagai satu mekanisme "check and balance" dan bukan sebagai pakatan yang membangkang tanpa asas dan kepentingan politik kepartian semata-mata. Penulis melihat dengan kekuatan pembangkang di parlimen, keputusan-keputusan serta segala penggubalan dasar negara akan menjadi lebih telus lebih terbuka. Inilah satu perkara penting yang perlu dilihat, pembangkang itu tidak wajar dinilai secara sempit sebagai kelompok yang hanya bertindak membangkang segala tindakan kerajaan. Pembangkang yang baik bukan begitu, pembangkang yang baik dapat memberikan idea yang membantu dan bertindak dalam mekanisme imbangan yang dinamik.

Anwar Ibrahim yang kini bertindak sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat sebelum ini disifatkan oleh ramai pemimpin politik tanah air, khususnya dari pihak BN sebagai tidak relevan dalam perkembangan pilihanraya dan pengaruh Anwar tidak akan memberikan kesan besar kepada keputusan pilihanraya. Namun semuanya ternyata meleset, penulis melihat Anwar adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan besar BA ini. Anwar berjaya muncul sebagai individu yang cukup berpengaruh dalam sistem politik Malaysia. Kita tidak boleh menafikan pengaruh Anwar dalam mengejutkan BN ini. Anwar dalam setiap ciri ceramahnya dilihat berjaya mencetuskan semangat rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, setiap isu dan kata-kata dari mulut Anwar mempunyai pengaruh dan nilai yang tersendiri. Anwar juga dilihat berjaya membangkitkan simpati rakyat, apabila setiap ceramah beliau pasti diselitkan dengan kisah seksa hidupnya di Penjara Sungai Buloh. Penyampaian pidato politikAnwar memang tidak dapat dinafikan menarik dan reputasi Anwar yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa memberikan rakyat lebih pilihan untuk memilih dan hasilnya Parti Keadilan Rakyat yang sebelum ini dianggap sebagai semut hitam yang kecil,tetapi kini muncul bagai harimau gagah yang mengaum.

Walaupun BN dilihat berjaya membentuk kerajaan, namun derita parti komponen MIC tidak dapat disembunyikan lagi, MIC hanya menang tiga kawasan parlimen iaitu di Cameron Highland, Tapah dan Segamat, tetapi tewas di kerusi-kerusi parlimen lain yang ditandinginya. Lebih menambah derita MIC ialah kekalahan Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu yang sebelum ini begitu kukuh di Sungai Siput. Bagi penulis kekalahan teruk MIC ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kemunculan HINDRAF yang membuka mata banyak pihak. Jika sebelum ini perbincangan hak sering ditumpukan kepada masyarakat Melayu, secara tiba-tiba kaum India meletuskan situasi baru di Malaysia. MIC semakin panas dengan isu ini dan mereka semakin tidak selesa apabila pimpinan dan pengikut HINDRAF ini mendapat perhatian dari pihak pembangkang khususnya PKR. Kenyataan-kenyataan Samy Vellu sebelum ini yang menyatakan bahawa HINDRAF itu hanya mewakili sebilangan kecil kumpulan kaum India ternyata meleset, apabila PRU-12 ini membuktikan bahawa isu HINDRAF telah membawa bala yang teramat besar kepada parti MIC. Berdasarkan keputusan PRU ini, kaum India dilihat tidak lagi bergantung harap kepada MIC untuk membela nasib mereka dan MIC perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan semula kepercayaan kaum India dan keadaan ini sudah tentu sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan.Satu bukti yang dapat menyokong kenyataan penulis ini ialah Samy Vellu kalah di Sungai Siput disebabkan undi golongan bukan Melayu.

Tun Dr. Mahathir adalah individu penting yang mencetuskan suasana baru politik Malaysia. Sejak meletakkan jawatan, beliau tidak putus-putus memberikan komen dan ulasan mengenai pentadbiran Datuk Seri Abdullah.Mesej-mesej daripada orang penting ini cukup memberikan kesan kerana Tun sepatutnya menjadiorang yang memberikan sokongan kepada Pak Lah, telah hadir dengan "sokongan" bentuk baruyang seterusnya berjaya mencuit hati pengundi untuk melakukan perubahan dalam senario politik tanah air. Sehingga ke saat ini Tun hadir dengan komen yang mungkin menyebabkantekanan kepada Pak Lah. Situasi perubahan yang berlaku ini cukup mudah untuk dijelaskan,jika bekas orang no 1 juga sudah makin bersuara dengan nada tidak puas hati, adakah mungkin rakyat tidak terfikir atau menimbulkan sebarang persoalan?

Dalam PRU-12 ini terdapat satu kecenderungan baru yang dapat kita kesan dan lihat dengan sendiri. Kecenderungan ini adalah berkaitan dengan pola pengundian oleh kaum bukan melayu dan juga mereka yang tinggal di bandar. Penulis melihat BN tewas di kebanyakkan gelanggang dan gagal mengekalkan majoriti dua pertiga parlimen adalah disebabkan oleh kecenderungan golongan bukan melayu yang dilihat lebih memberikan peluang dan memilih parti pembangkang. Keadaan ini mungkin wujud atas dua perkara, pertamanya perkara ini kita boleh kaitkan dengan kematangan politik golongan ini dalam menilai demokrasi dan isu yang berkaitan. Keduannya yang perlu diberikan perhatian ialah kerana mungkin wujud rasa tidak puas hati golongan ini kepada kerajaan yang sedia ada, langsung membuat pilihan muktamad dengan memilih parti baru dalam PRU-12. Soal kematangan politik ini bagi penulis adalah perkara biasa dan wajar diraikan kerana warga Malaysia secara umumnya telah mula melihat bentuk dan rupa paras sebenar sebuah negara yang mahu membaiki taraf demokrasinya. Ini adalah perkembangan yang sihat dan kematangan politik ini akan membantu warga Malaysia memahami isi demokrasi dengan lebih teliti dan terbuka. Tetapi soal ketidakpuasan hati ini wajar diberikan perhatian serius, kerana ini adalah soal rasa bimbang rakyat dan soal perasaan tidak percaya rakyat. Perlu diingatkan bahawa Malaysia adalah negara makmur berbilang kaum, jadi rasa tidak puas hati sebilangan kaum wajar diberikan perhatian serius kerana rakyat telah bijak menggunakan kuasa memilih disebabkan peningkatan nilai pemikiran dan kematangan politik yang ada pada mereka.

Golongan di bandar juga dilihat semakin serius dalam politik dan memberikan perhatian kepada kuasa pemilihan bagi mengekal dan membaiki tahap demokrasi di Malaysia. Satu faktor yang menyebabkan golongan bandar tertarik untuk memilih pembangkang ialah kerana manifesto negara berkebajikan yang menjanjikan pengurangan kos sara hidup, dan ini cukup menarik perhatian kerana golongan bandar adalah kelompok yang menderitai peningkatan kos sara hidup. Penulis juga melihat golongan bandar merupakan golongan yang terdedah kepada sumber maklumat yang lebih terbuka seperti penggunaan Internet yang meluas, ini merupakan satu keadaan yang menyebabkan pengundi bandar cenderung kepada pembangkang, kerana mereka dilihat tidak melihat media arus perdana sebagai sumber maklumat semata-mata, tetapi mereka berminat untuk mengetahui pelbagai perkara dan juga telah bijak untuk membuat pertimbangan yang wajar mengenai maklumat yang diterima. Sekali lagi penulis nyatakan, bahawa ini adalah tanda kematangan rakyat dan simbol keterbukaan pengundi.

Malaysia kini dilihat bakal maju setapak lagi dalam soal pembangunan demokrasi dan kerajaan yang dibentuk ini sudah tentu perlu bekerja dengan lebih keras untuk memujuk semula hati rakyat yang telah berpaling arah. Jadi kepada kerajaan yang dibentuk, bekerjalah dengan gigih untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan kepada pembangkang yang berjaya memenuhkan kembali dewan rakyat, bertindaklah sebagai pembangkang yang seimbang dan matang agar Malaysia dapat terus melangkah gah untuk muncul sebagai sebuah negara yang mantap dari segi pemahaman dan aplikasi nilai demokrasinya sendiri.

4 kata-kata kawan:

greenergrass berkata...

wallaaaa..... politik... reporter kita dah tunjuk belang!!!!!!! hahahah aummmmmmmmmmmmmm danyallll

rajuna berkata...

great point of view.

ka-ii berkata...

amat panjang sekali.

saya sukakan demokrasi yag sebenar.

*masih menunggu

tempe berkata...

bang bole tulung ajar ka mcm mana jugak tulis blog nih?