Analisis Hubungan Teori Sejarah dan Teori Sosial

Ahad, Oktober 26, 2008

PADAN MUKA LU ORANG! BACALAH BENDA-BENDA BERAT MACAM NI! BIAR JADI GILA SAMA MACAM GUA!!! HAHAHAHA!!!

Tajuk ini menilai dan memberikan kita idea untuk melihat bahawa sesuatu ilmu atau bidang kajian itu mampu berdiri secara sendiri dan bebas, serta terus berkembang dalam situasi memulakan proses pembentukannya sendiri dalam satu konteks tersendiri dan lingkungan yang wujud. Apa yang lebih penting di sini ialah bukan sahaja soal penerimaan umum tetapi maksud sesuatu ilmu itu mempunyai perkaitan rapat dengan konteks yang dibincangkan.

Daripada keadaan sebegini biasanya lahir sesuatu teori dalam ilmu sejarah, bukan semata-mata bergantung kepada lingkungan dan perkembangan sosial yang dihadapi oleh seseorang pembentuk teori, tetapi juga disebabkan oleh kecenderungan minat dan sikap dasar yang dimiliki oleh seseorang pembentuk teori. Golongan ini mengembangkan pandangan mereka dan cenderung berpegang pada teori sendiri. Minat dan kecenderungan mereka ini kemudiannya mencirikan sifat dan aliran teori sendiri.

Sifat sosial, nilai sistematik, logik, dan ada usaha pengukuhan telah menjadikan disiplin kajian sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan masyarakat, sama ada sebagai pelaku dalam kajian atau objek yang diteliti dalam ilmu ini. Kadangkala kita dapat melihat tindakan manusia itu penuh dengan nilai perbezaan dan reaksi mereka juga adalah tidak sama setiap masa. Sifat yang disebutkan ini bukan sahaja meliputi perkara-perkara tertentu sahaja tetapi juga dalam nilai waktu ketika sesuatu proses sejarah itu berlangsung dan kedudukan kaedah yang kukuh dalam ruangnya.

Pandangan dengan idea yang lebih luas dari Peter Burke membantu menjelaskan sejarah [abad ke-18 20] ketika teori sosial dan ilmu sejarah mula membentuk dan menjadi dua bentuk ilmu dan saingan yang rapat. Pembentuk teori selesa membangunkan sikap-sikap kontradiktif terhadap satu sama lain, sehinggakan pada satu ketika teori dan sejarah sosial mengalami masalah kemunduran dalam kajian. Kemudian, Comte bersama-sama ahli ekonomi dan beberapa orang ahli sosiologi moden membangkitkan teori sosial hingga ke tahap kritis sosiologi.

Kemuncak mengatasi pertindihan di antara teori sosial dan sejarah mula kelihatan ketika konsep evolusi dan sosiologi berkembang di bawah pengaruh ahli sosial seperti Comte dan Spencer. Gerhard Hauck menjelaskan kaitan konsep evolusi Comte dan Spencer dengan pendekatan sejarah melalui perkembangan masyarakat sebagai suatu gesselschaft. Comte beranjak dari konsepnya mengenai idea-idea kajian masyarakat. Kemudiannya tipologi daripada Comte itu dikembangkan kepada dua aliran besar oleh Hauck. Pertama theologisches stadium, sebagai satu abstrak terhadap sifat semula jadi manusia, dan metaphysiches stadium sebagai satu abstraks sejarah kemanusiaan. Sedangkan Spencer, yang terlalu memberikan tumpuan kepada pendekatan ilmu-ilmu alam dalam nilai sosiologinya, berkembang dalam aliran yang agar berbeza dari Comte. Ia melihat dengan jelas kepada fungsi manusia di dalam lingkungannya. Di sini keadaannya agak jelas bahawa sejak zaman Comte dan Spencer, teori-teori sosial tidak dapat lari daripada dikaikan dengan sejarah. Ia adalah sebuah wissenschaftlichen rationalität, yang juga reflektif sifatnya.

Dalam bidang yang lain, terutamanya teori politik, terjadi situasi penggunaan pendekatan sejarah yang ketat dan dengan nilai tersendiri di dalam karya-karya sosial seperti yang dihasilkan oleh Shmuel N. Eisenstadt [The Political Systems of Empires 1963], atau Seymor M. Lipset [The First Nation 1963], Charles Tilly [The Vendee 1964], Barrington Moore [Social Origins of Dictatoriship and Democrary 1966], Eric Wolf [Peasant Wars 1969], malahan dalam karya-karya antropologi seperti hasil Clifford Geertz dan Marshal Sahlins juga mempunyai nilai-nilai sejarah. Para sejarawan, seperti Ranke dan Francis Bacon, juga mula mengurangkan kajian sejarah sosial dan membentuk kajian baik dalam sejarah politik, dengan melihat dengan lebih mendalam peri pentingnya pencarian sumber utama data untuk menjelaskan setiap pergeseran atau perbezaan di dalam masyarakat.

Perkara sebegini dilihat Burke sebagai satu perkara yang mencirikan perbezaan tipologi antara teori sosial dan sejarah pada masa-masa tertentu. Burke mengkiritik sejarawan dan pengkaji sosiologi kerana wujud perbezaan tersebut. Baginya, kedua-dua ilmu, pendekatan dan kajian ini sama-sama bergerak dengan mengambil masyarakat sebagai objeknya. Burke melihat pendekatan sosial dan sejarah sebagai dua ilmu yang hampir tetapi sering mempunyai perbezaan pandangan.

Perbezaan ini terjadi kerana berkembangnya fahaman yang mewujudkan kritikan di antara dua bidang ini dan di antara sejarawan dan ahli dalam bidang kajian sosial. Di sini cukup jelas, terutama di Britain, mengapa sosiologi sering mengkritik sejarawan.

Mereka yang terlibat dalam kajian sejarah sering mempunyai pengkhususan dalam latar masa dan sosial. Sejarawan sering mengganggap golongan ahli sosial sebagai mereka yang gemar menggunakan jargon yang kasar serta abstrak dan dilitupi dengan istilah-istilah ilmiah. Beberapa orang sejarawan menolak ahli sosial kerana mereka dilihat sebagai golongan ilmiah dalam erti abstrak.

Dari pandangan teori sejarah, dapat dilihat, perbezaan sikap dan pandangan tadi terjadi kerana masing-masing bergerak dalam aliran sendiri, dengan teorinya dan berusaha membangunkan suatu hegemoni intelektual. Pada satu ketika, sesuatu aliran teori terperap dalam keadaan vakum, satu aliran teori lain akan muncul dan mendominasi cara berfikir pada sesuatu zaman. Ini menjadi satu tanda penting yang kemudiannya dapat dilihat melalui perkembangan pelbagai cabang teori baru di dalam bidang ilmu kemasyarakatan. Misalnya, kemunculan terma-terma post/pasca sebagai merujuk kepada perkembangan mutakhir dari sesuatu teori konvensional.

Burke pernah menimbulkan persoalan apa gunanya teori sosial bagi sejarawan, dan sebaliknya apa gunanya sejarah bagi pemikir sosial?, Persoalan ini tidak meminta satu jawapan biasa, tetapi persoalan ini meminta kita menelusuri kaedah dan hubungan agar kita mampu mengaitkan persoalan penting dalam pembangunan nilai sosial serta sejarah itu sendiri.

Dalam waktu yang cukup panjang kita dapat melihat kedua-dua cakupan ilmu yang hampir ini dilihat tidak sekata dalam mengembangkan ilmu masing-masing. Perkara ini bukan sahaja dinilai dari segi sikap kontradiktif dalam penggunaan sesuatu pendekatan, tetapi juga kekangan dalam metodologi itu sendiri. Keadaan ini pada satu ketika menyebabkan sesuatu pendekatan itu mengalami kemunduran.

Kemunduran dalam teori sejarah lebih banyak dikaitkan dengan kelembapan golongan ilmuwan memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan masyarakat yang berkembang dengan cepat. Bryan S. Turner melihat perkara ini sebagai satu kesan kecenderungan formalisasi kebarangkalian umum ke satu bentuk operasi dan penelitian yang lebih empirikal. Jonathan Turner pula melihat keadaan sebegini memerlukan satu daya yang besar dari pembentukan teori.

Peter Burke menampilkan satu penulisan yang cukup baik bagi menggambarkan hubungan di antara teori sosial dan teori sejarah. Beberapa karya klasik misalnya dari Montesquieu [Spirits of the Law-1748] telah turut memberikan pengaruh kepada karya Möser History of Osnabrück, sebuah karya sejarah tempatan yang didasarkan kepada dokumen asli, sekaligus menjadi satu contoh klasik tentang sumbangan teori sosial kepada bidang sejarah. Demikian juga karya Gibbon Decline and fall of the Roman Empire 1776-88, yang kemudiannya membentuk asas-asas epistemologi sejarah politik; sebuah karya yang kemudiannya menjadi dasar dalam pertimbangan analisis Leopold Von Ranke, sejarawan akhir abad ke-19. Beliau memperkenalkan penggunaan dokumen-dokumen rasmi sebagai sumber sejarah, dan membangunkan kembali sejarah politik dari pandangan tertentu.

Kritikan balik daripada para ahli sosiologi terhadap sejarawan telah menambah ketegangan dalam perdebatan ini. Comte dan Spencer, seperti dipaparkan Burke, secara sinis memandang karya sejarawan sebagai perincian yang tidak perlu dibuat secara serius. Ini adalah satu kritikan metodologi. Kemungkinan besar minat sejarawan terhadap ilmunya telah membawa mereka secara mudah melihat teknik pengumpulan data dari sumber-sumber masa lampau, dan umumnya kisah dan dokumen-dokumen rasmi aliran Ranke, tidak terlalu perlu satu metodologi sukar seperti yang dilakukan oleh golongan sosiologi.

Kritikan tersebut membuatkan ramai pemikir teori sosial melakukan penelitian langsung, dan mula meninggalkan sejarah. Ini merupakan satu perkembangan menarik di dalam teori sosial, satu gerakan metodologi yang mementingkan kepada pergeseran-pergeseran di dalam masyarakat, dan perkara-perkara penting yang berlaku kepada masyarakat. Dapat dilihat bahawa golongan pemikir teori sosial mula melakukan gerakan baharu. Untuk masa yang cukup lama mereka tinggal di daerah-daerah terpencil, dan melakukan kajian kemasyarakatan yang cukup komprehensif. Dokumen-dokumen sejarah, seperti catatan paderi, mula kurang mendapat perhatian penuh goongan pemikir sosial. Sebaliknya informasi hasil pengamatan langsung di dalam lingkungan suatu masyarakatlah yang dinilai sebagai data yang tepat.

Dari situ kita dapat memahami bahawa ahli-ahli sosial dan sejarawan berpegang kepada sumber-sumber yang mereka pegang dan menggambarkan objek kajian mereka. Tetapi apa yang perlu dijelaskan ialah penentuan metodologi sendiri.

Gerald J.Schnepp, dan Burke, melihat perbezaan sikap di antara ahli-ahli sosial dan sejarawan terjadi di dalam ruang yang sukar diselesaikan di antara mereka. Mengikut Schnepp, ruang-ruang yang tidak dapat diselesaikan itu meliputi terminologi, klarifikasi makna teori sosiologi dan hubungan di antara teori dengan penelitian. Burke membahasakan ruang yang sukar diselesaikan ini sebagai Model Kaedah serta Konsep-konsep Asas.

Burke menjelaskan bahawa perbezaan metodologi di antara teori sosial dan sejarawan pertamanya terletak pada perbezaan pandangan mengenai kaedah perbandingan. Idea-idea Durkheim biasanya menjadi panduan dalam sosiologi perbandingan. Pemikir sosial tidak hanya menjelaskan masyarakat sebagaimana wujudnya sesuatu fakta, melainkan selalu menganalisa faktor-faktor asas yang membentuk suatu fakta sosial. Masyarakat tidak statik, tetapi dinamik. Dinamiknya masyarakat tadi berbeza pada suatu lingkungan dengan lingkungan lainnya, dan juga antara suatu masa dengan masa lainnya. Tugas ahli sosiologi perbandingan adalah menganalisa mengapa perbezaan-perbezaan itu terjadi di dalam proses membentuk masyarakat itu.

Dengan dasar itu, mereka memandang sejarawan telah gagal kerana hanya memperhatikan hal-hal unik yang tidak berulang. Sebuah penyusunan kronik yang kemudiannya hadir melabelkan sejarah itu sebagai sejarah bukan naratif. Burke memberi contoh kritikan Weber terhadap Georg Von Below, mengenai sejarah kota, dengan menegaskan kepentingan mengetahui keadaan kota-kota lain, seperti kota-kota kuno di China, sebagai sebahagian daripada perspektif untuk membentuk semula keadaan sesuatu kota di abad Pertengahan. Perbandingan itu yang memberikan kepentingan sejarah sosial. Tetapi juga perlunya pendekatan diakronik, untuk melengkapi pendekatan kronik di dalam penelitian sejarah.

Selanjutnya sejarawan menjadikan pendekatan kuantitatif sebagai satu-satunya cara yang praktikal dalam mendapatkan dan mengumpulkan data. Tetapi ia memiliki kelemahan dalam menggunakan pendekatan itu sendiri. Kritikan golongan pemikir teori sosial terhadap kecenderungan ini ialah mereka menganggap sejarawan hanya memperhatikan angka-angka itu sebagai yang menggambarkan suatu keadaan di suatu masa tertentu. Suatu kecenderungan melihat hal-hal yang unik, tanpa menyedari bahawa terdapat perubahan-perubahan yang besar di antara angka-angka itu sendiri. Kritikan terhadap kecenderungan ini juga datang dari golongan sosiologi agama, terutama bagaimana menentukan indeks pengukur terhadap daya keyakinan agama.

Schnepp, membentangkan satu kepentingan penelitian dan hubungannya dengan teori. Baginya ketika golongan pemikir sosial memilih melakukan penelitian, hal itu dibentuk oleh pemahaman mengenai pentingnya kepentingan kajian empirikal. Vincent dan Kimball Young sama-sama bersetuju bahawa, bagi golongan sosiologi, teori itu penting bagi suatu penelitian yang mencukupi, dan hasil penelitian kemudian diuruskan oleh golongan perancang sistematik sebagai suatu hasil empirikal ke dalam kerangka teori yang besar. Oleh sebab itu menurut Schnepp ada enam hal penting untuk memahami bagaimana satu pertemuan empirikal itu membentuk teori, pertama melalui penilaian teori baru, klarifikasi konsep, kekuatan menolak beberapa aspek di dalam teori, merancang pembentukan teori baru, menghilangkan keraguan dalam teori dan akhirnya memasukkan teori baru.

Aspek lainnya adalah memberi perhatian terhadap model-model sosial di dalam masyarakat. Sejarawan dan pemikir sosial sama-sama mengkaji sesuatu jalur masa tertentu. Misalnya masa ketika sistem merkantilisme mendominasi sistem ekonomi. Sejarawan tidak suka memperhatikan merkantilisme sebagai satu model sosial, sebaliknya memandangnya sebagai suatu peristiwa di dalam sejarah yang telah menunjukkan perkara-perkara tertentu berlaku. Bagi pemikir sosial, merkantilisme merupakan model sosial yang secara jelas menunjukkan perbezaan yang mendasarkan dengan satu model lama yang pernah ada. Begitu juga dengan kapitalisme, atau revolusi. Semua itu terjadi di dalam sejarah, bukan hanya sebagai satu peristiwa tetapi menampilkan satu proses sosial yang jelas.

Dalam erti kata lain, Schnepp, dan Burke bersetuju bahawa perbezaan pendapat ini wujud kerana aspek-aspek terminologi atau konsep-konsep asas. Para sejarawan tidak terlalu menaruh minat pada terminologi sosial, sebaliknya menyatakan pemikir sosial sebagai pihak yang secara mudah menggunakan jargo-jargon ilmiah. Para sejarawan melihat golongan sosial menggunakan istilah-istilah abstrak dan disebut dalam rangka ilmiah.

Perbezaan sikap ini bermula dalam abad akhir ke-19 dan awal abad ke-20. Ritzer menjelaskan bahwa hal-hal ini terjadi di dalam pelbagai gelombang perubahan masyarakat. Sejak abad ke-18, teori sosial telah berkembang dan kemudian menyelinap ke dalam cabangan-cabang ilmu yang bebas. Di abad ke-19, kebebasan setiap cabang ilmu semakin meningkat.

Sekitar abad ke-20 berlaku perkembangan baharu dalam teori sosial dan sejarah. Perkembangan itu dinilai melalui kecairan yang wujud dalam hubungan di antara sejarawan dan ahli sosiologi. Ini berlaku melalui kebangkitan kesedaran mengenai kebergantungan hubungan di antara satu disiplin dengan satu disiplin yang lain. Minat kepada ilmu-ilmu sosial membuatkan kajian sejarah semakin menarik perhatian. Terutama sekali ketika permulaan kebangkitan kesedaran kepada peri pentingnya sejarah naratif, yang juga mempunyai kaitan tentang bagaimana usaha untuk memanfaatkan tradisi oral, meliputi mitos masyarakat sebagai sumber-sumber sejarah tempatan. Sebuah proses perubahan mula berlaku dalam kajian sejarah, ketika pendekatan diakronik telah menghampiri pendekatan kronik. Pada ketika itu sejarah mula dilihat sebagai satu proses yang turut disertai dengan perubahan-perubahan sosial masyarakat.

Kesannya, apa yang disebut sebagai peristiwa dalam kajian sejarah sudah tidak lagi mencukupi jika hanya dilihat dari sudut itu sahaja. Ada batasan-batasan tertentu dalam pendekatan sejarah baharu, ketika kemudiannya wujud kumpulan-kumpulan persoalan dengan sifat analitik yang bertanya tentang faktor penyebab sesuatu peristiwa. Di kalangan sejarawan mula sedar bahawa ketika ini disiplin ilmu lain adalah penting, disiplin yang kukuh untuk menjelaskan sesuatu peristiwa dan yang lebih tepat lagi disiplin sejarah itu digabungkan dengan disiplin-disiplin yang berkaitan agar penilaian peristiwan itu lebih dinamik. Ketika ini pendekatan ilmu sosial adalah jalan yang terbaik untuk memecahkan kebuntuan dalam analisis sejarah lama.

Hujah sederhana yang digunakan untuk menyatakan tentang masa hadapan teori sosial dan sejarah tetap signifikan apabila kita melihat fakta tentang kedinamikan masyarakat. Kediinamikan masyarakat pada setiap masa telah menjelaskan teori substantif yang terus berubah atau teruji di dalam proses yang panjang. Di samping itu, kedinamikan ini telah menjadi sumber informasi sejarah yang digarap secara akademik mahupun yang hidup di dalam memori-memori masyarakat itu sendiri.

Perkembangan di dalam masyarakat telah melahirkan teori sosial dan menilai semula pendekatan sejarah terhadap masyarakat itu sendiri. Sejarah dan teori sosial dihasilkan melalui pertemuan fakta sosial di dalam masyarakat. Ia bertindak menjelaskan dan menganalisis fenomena-fenomena yang jelas sebagai satu fakta sosial. Di dalam pertemuan itu , pembentuk teori berhadapan dengan langkah awal pembinaan teori dan ia dinilai daripada pandangan pembikin teori. Langkah pembinaan awal itu kemudian dikumpulkan dan digambarkan secara jelas. Melalui gambaran ini akan terhasil satu jelmaan yang mengandungi kritikan serta penilaian sistematik untuk membentuk atau membina semula teori.

Dapat dicatatkan beberapa hasil karya sejarah sebagai satu gambaran ke atas perkembangan dan perubahan dalam masyarakat. Atau sebaliknya karya-karya sosial juga menggunakan pendekatan historiografi sebagai perspektif dalam membangunkan analisis terhadap kedinamikan dalam masyarakat itu.

Ritzer sebagai contoh menjelaskan mengenai kemunculan sosialisme dan beliau menyifatkan ia adalah sebahagian daripada perkembangan sosiologi peringkat awal, sewaktu Marx, Weber dan Durkheim melakukan usaha mengukuhkan kedinamikan masyarakat yang mereka lihat pada satu zaman dan tempat. Begitu juga dengan kemunculan idea feminisme sebagai satu reaksi kepada kemampuan wanita. Di kalangan penganut feminisme, ada yang bersikap protes, berdiskusi secara ilmiah tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan diskriminasi dan perbezaan. Feminisme kemudian menjadi satu aliran di dalam sosiologi yang semakin hari semakin berkembang.

Demikian juga dengan idea poststrukturalisme dan postmodernisme yang menjadi satu reaksi ilmiah dan empirikal terhadap perubahan fakta sosial itu sendiri. Dalam situasi kontemporari, teori-teori lama sudah tidak mampu untuk bertahan dalam membicarakan perkara-perkara baharu. Untuk itu gerakan postmodern dilihat sebagai satu gerakan yang melampaui batas-batas teori dan fakta sosial.

Rujukan secara bersama adalah penting untuk dapat memecahkan perbezaan ruang di antara pemikir teori sosial dan sejarawan dan rujukan ini perlu mengandungi aspek kebijaksanaan, konsep dan keilmuan.

Ini bermaksud kita memerlukan satu sosiologi sejarah sebagai menjadi satu kemungkinan untuk dapat memecahkan perbezaan ruang itu tadi. Gerald J.Schnepp, mengingatkan kita pada kelemahan dari sosiologi sejarah itu sendiri, ketika kita hanya memberikan perhatian kepada sifat dasarnya sahaja. Seseorang yang terlibat dalam sosiologi sejarah perlu mempunyai kemahiran dalam menilai dan membandingkan segmen atau bahagian dalam empirikal dan sejarah di samping mampu melakukan kritikan membina terhadap andaian-andaian teoritikal tertentu.

Sejarah perlu dikaji dengan pendekatan ilmu sosial bersama-sama dengan metodologi sejarah itu sendiri. Sejarah itu perlu terbuka dan menerima atau menyerap pandangan disiplin-disiplin lain, asalkan ia dapat membentuk satu kajian sejarah yang asli dan berwibawa. Di sini sejarah itu bukan semata-mata satu penceritaan sahaja, tetapi sejarah adalah satu kajian kritis yang memberikan kritikan membina kepada pembangunan masyarakat itu sendiri. Melalui perkembangan sejarah sebegini kita akan dapat membawa keluar satu bentuk ilmu sejarah yang lebih komprehensif dan bernilai tinggi. Pandangan bahawa Sejarah politik itu perlu diutamakan adalah agak sempit, kerana sejarah itu bukan sahaja mengenai soal idea politik tetapi sejarah itu mencakupi segala-galanya.

Dalam satu sudut yang lain, sosiologi sejarah seharusnya mampu memberikan lebih ruang dan kebebasan untuk kita menggunakan sumber serta data yang sebelum ini tertutup rapat. Salah satunya adalah penggunaan oral sebagai sebahagian daripada penceritaan masyarakat tempatan. Semua sumber sejarah sosial perlu digunakan sebagai perkara yang mendukung untuk sama-sama memberikan gambaran terperinci mengenai masyarakat, termasuk soal dimensi, ideologi, simbol, cara, tindakan, pandangan dunia, agama, bahasa, politik dan ekonomi.



30 kata-kata kawan:

ka-ii berkata...

sesunguhnya aku bukan slh srg yg membaca. ini. xpe aku stil coment.

Rajuna berkata...

gua sendiri gagal membaca sampai abis

Danielle_Corleone berkata...

hahaha! tu la teori-teori yg aku belajar khai. :-p -khai-

hahaha! next round baca la! :-) -rajuna-

greenergrass berkata...

mak aih!!! maka aku komen dulu sebelum membaca.. ok ... baca time!!!

d.o.n.u.t.m.a.n.i.s berkata...

walaupun sgt pjg dan agak memeningkan, sy tetap gigih bace smpai habis. i wonder why...

Kikuri berkata...

Wow! So thought-provoking!...

Auguste Comte? Aiseh, cam baca buku text je? Dejavu...

Pok Li berkata...

Salam singgah. Tak dapat nak abiskan. Rasa macam belajar dulu-dulu lak.

Anak Bumi berkata...

alah, tak berat mana...


(sambil menggaru kepala yang tak gatal..)

Princess Liyana berkata...

wah panjangnya bro...;)

alinaabdullah berkata...

ai. hubungan sejenis?

l.i.f.e berkata...

hahaha
sengaja tau!
inspiring & very informative
*mata berpinar2 selepas selesai membaca*

zhfr berkata...

ini apa yg kau belajar di kolej atau sendiri2?

zhfr berkata...

kau belajar sendiri atau subjek kau belajar di ipt ni?

Izwan berkata...

Ini kertas kerja apa ko bentang bang oit?

Berjela-jela nih..

Nih nak bincang pasal sosiologi dan ape?

Masa belajar dulu ada la gak belajar, tapi "Sosiologi dan Antropologi" dan "Sosiolinguistik"..

Nih teori banyak-banyak kisarkan pasal budaya ke?

Hmm..

Poning eden.. Ape kata ringkaskan boleh tak? ;)

Macam mana pun, artikel yang terbaik.. Cuma berjela-jela.. Penat aku nak baca dan penat nak paham..;)

areleaf berkata...

bro,lu rasa gua baca smpai habis ke x??

kel@mbu berkata...

seminggu bru abis bca nih.. heheh.. gud job bro!

~syorre~ berkata...

gua bc starting ngn ending je..tu pon gua dh tau lu cite psl ape..lu cite pasal sejarah kan?haha

mOhD^.^rAz berkata...

perGH..
panjang banget dong..
aku bukan dikalangan org2 yg sabar..
tengkiu..
muahaha

Amiene Rev berkata...

Teks ini sungguh menggembirakan!

Al-BIMA SAKTI berkata...

tak terbaca aku. haa ha ha ha ha.....

yoshz berkata...

heh. berapa kali aku mahu cakap daa.history is written by the victors. kalau aku berperang dgn kamu, anak cucu aku akan mengenali kamu sebagai jahat,salah dan berbahaya. sumber oral tak boleh dijadikan bahan sejarah. perlu ada bukti yg perlu dipegang, dilihat dan of cuz dipersoalkan.

artsoul berkata...

waduhh...panjang berjela...sakit kpala aku..

alif-mikail berkata...

Terus koi bagi E..

Buat balik!

Danielle_Corleone berkata...

ok! :-) -dyana-

tahniah! -donut-

hahaha! -kikuri-

hehe. cuba lagi. -pok li-

haha. berat la tu! -bumi-

hehe. nanti i pendekkan. -yana-

aik knapa? -alina-

harap2 dapat apa yg ada! -life-

ni subjek teori sejarah. klas master sejarah malaysia. :-) -zhfr-

haha. kembali ke asas. -izwan-

lu msti baca! -alif-

hahahaha! tq. -kelambu-

lu pandai! -syorre-

hahaha! sama2. -raz-

yeke? hee. -amiene-

baca bro. baca! -bima-

biar btul bro? haha. -yoshz-

xpa nanti dah tak sakit. -art-

alamak! knp? huhuhu. -alif-

aie berkata...

blur..

UXOP berkata...

Sesuatu teori itu berkait rapat dgn bayangan/pemikiran sesorng ahli ilmu sejarah & sosial..adapun sejarah lahir kerana nilai & keadaan sosial masyarakat dulu dan kemudian ia telah menjadikan satu asas kepada pembentukan masyarakat ari ni yg mengambil sbg satu cara hidup.walaupun sedikit tp ia masih mempengaruhi masyarakat sekarang..
camna Danielle_Corleone..faham ke?aku pun tak faham..hehe

KAKTINY berkata...

TENKIU TENKIU... teori2 ini amatlah bertepatan dgn PAPER kaktiny utk NEXT SEM.. MULTICULTURAL INFLUENCES...

tenkiu my dear bro.. hahahhaha..

SUKER SUKER...

(kaktiny copy paste utk ulasan paper kaktiny tau.. hahahhahah...)

ili syazwani mk berkata...

Ini ke tesis ko danielle?

hakimtea berkata...

aku ga mau jadi gila macam u jadi comment aja dulu before I read, hahahhha


Hakimtea last post : Teori-Teori Sejarah - Teori Gerak Siklus Sejarah Ibnu Khaldun

NaDeA aZa-ii berkata...

awak... saya bc dua perenggan pertama.. pastu ulang balik 1st paragraph... pastu scroll bwh skali bc... tu pon x phm lg... nie nak cube bc blik nie! kne berusha gak phm! berusahaaaaaa!!