Kanggaru dan mesin yang baru dibaiki (Tetapi masih banyak yang perlu dibaiki)

Rabu, April 09, 2008

Pilihan raya umum ke-12 yang lalu jelas memberikan makna tersendiri dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perubahan-perubahan yang berlaku dinilai dari pelbagai segi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang melihat perubahan yang berlaku membawa makna yang baik dan ada pula yang melihat perubahan dalam erti kata yang berbeza. Walau apa pun persepsi dan pandangan, Malaysia harus tetap dibangunkan, Negara tercinta ini perlu tetap dimajukan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Andai kita diberikan pilihan sudah tentu kita mahu sahaja yang paling baik, tetapi kita telah membuat pilihan dan demokrasi sudah semakin jelas di sini, tetapi hasilnya sahaja belum kita peroleh. Apa yang diharapkan pemenang-pemenang pertandingan yang lalu dapat memberikan kesuburan nikmat demokrasi kepada rakyat yang memilih mereka. Jangan dikhianati atau jangan pula memberi pulangan hampa kepada rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang.

Selepas keputusan diumumkan, kerajaan pula dibentuk dan sesudah kerajaan disesuaikan gerak langkah pembangunan dan keadilan untuk rakyat pula disusun dan dimulakan. Rakyat berhak menuntut apa yang dijanjikan, mereka berhak berharap dan mereka juga ada peranan penting, jangan kita lupa perubahan pilihan raya 2008 ini adalah kerana rakyat sudah bijak dalam menggunakan kuasa, rakyat bukan lagi mengikut arah arus utama, tetapi kini rakyat menilai apa yang terbaik dan perubahan juga sudah menjadi sesuatu yang ingin dicuba-cuba. Jadi kepada mereka yang sering berjanji dan selalu mungkir, anda adalah sasaran untuk dijatuhkan pada edisi pemilihan yang berikutnya.

Sejak kebelakangan ini negara kita sering digemparkan dengan kisah-kisah politik, saya tidak pasti sama ada kisah-kisah ini adalah benar atau hanya dongeng khayalan dan rekaan demi untuk mewujudkan suasana kurang selesa kepada lawan masing-masing. Ini juga adalah sindrom biasa dalam penyakit politik di Malaysia bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara-negara membangun yang masih membina arah demokrasi masing-masing. Bukan salah untuk kita bercerita, tetapi biarlah kisah benar dan berfakta kita bukan bercerita untuk lelapkan mata anak-anak kecil yang mengantuk, kita bercerita kepada kumpulan yang bijak menilai dan memberi markah. Jangan kita membuka kisah dongeng agar demokrasi dan sistem politik di Malaysia mencapai tahap kematangan yang wajar.

Isu orang-orang politik melompat-melompat seperti kanggaru bukan isu baru dan isu tersebut dalam edisi pasca pemilihan tahun ini secara tiba-tiba menjadi antara isu utama yang dibincangkan, hinggakan ada seorang ahli jemaah kabinet mahu satu undang-undang diwujudkan bagi menyekat "kanggaru-kanggaru" ini daripada terus melompat-lompat. Sejak era permulaan negara menganjurkan pilihan raya telah wujud masalah ini dan sebenarnya bagi saya masalah ini berpunca daripada nilai kesetiaan kepada parti, rasa tanggungjawab kepada rakyat dan nilai diri seseorang wakil yang telah dipilih oleh rakyat.

Bukan semua mereka yang menang dalam pilihan raya itu dipilih atas dasar kemampuan individu tersebut, namun ada juga di antara mereka yang dipilih berdasarkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sesebuah parti politik yang dianuti oleh seseorang calon.

Kepercayaan rakyat pula tidak sepatutnya diperkecil dan tindakan seseorang wakil rakyat yang berpindah sesuka hati juga merupakan satu perkara khianat kepada kehendak dan tujuan rakyat memilih. Mereka yang bersikap sebegini begitu sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat. Bagi saya individu-individu sebegini hanya akan membuang masa dan merosakkan integriti sistem politik di Malaysia.

Undang-undang mungkin boleh terlaksana bagi menyekat wakil rakyat berpindah parti, tetapi soalnya sekarang adakah tidak akan timbul sebarang percanggahan dengan peruntukkan dalam perlembagaan Malaysia yang memberikan hak kepada individu untuk berpersatuan? Adakah faktor politik atau kepentingannya boleh diambil kira sebagai sebab yang dibolehkan kebebasan berpersatuan dihalang atau dibekukan?

Atau yang terakhir adakah undang-undang ini hanya cadangan untuk melenyapkan dongengan politik pasca pilihan raya? (Seperti sekarang cadangan itu hanya tinggal cadangan).

*nota* Jika parti itu agama, mungkin "kanggaru" yang melompat-lompat gembira itu telah murtad dan terpesong akidah. Bernasib baiklah mereka kerana parti politik itu tidak termasuk dalam kategori agama.

0 kata-kata kawan: