mesin-mesin ini rosak atau terus berguna di seluruh dunia?

Isnin, Mac 24, 2008

Pilihan raya merupakan asas penting ke arah pembentukan sebuah negara demokrasi yang baik. Tanpa pilihan raya yang telus dan adil, aras demokrasi di sesebuah negara sering dipertikaikan. Adalah menjadi satu harapan agar pilihan raya dapat dianjurkan dan diuruskan dengan cekap dan teratur tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Situasi ini cukup penting bagi sesebuah negara memupuk budaya demokrasi dan mengukur aras demokrasinya.

Sekitar lewat tahun 1980an dan 1990an begitu banyak negara menganjurkan pilihan raya bersifat multi-parti untuk pertama kalinya. Cabaran-cabaran utama yang dilihat dihadapi oleh negara-negara ini adalah seperti kekurangan pengalaman dan jurang pengetahuan yang cukup ketara jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah biasa menganjurkan pilihanraya umum sebegini. Komitmen yang utuh adalah sangat diperlukan oleh sebuah badan pentadbiran dan pengurusan pilihan raya untuk bertindak bebas dan adil, namun kebanyakan negara yang baru membina pengurusan pilihan rayanya sendiri jelas tidak bersedia dengan baik, disebabkan tiada pengalaman, pengetahuan dan sumber yang mencukupi untuk memastikan wujudnya satu proses pilihan raya yang boleh dipercayai. Tiada kaedah umum yang ada untuk merangka sebuah pentadbiran pilihan raya, dan ini termasuklah institusi pilihanraya tidak mempunyai akses yang mencukupi dalam pengalaman pilihan raya untuk mendapatkan idea pilihan raya yang lebih baik.

Keupayaan sesetengah negara menganjurkan pilihan raya yang baik membolehkan pihak pentadbiran dan pengurusan pilihan raya ini mula berkongsi pengalaman di antara satu sama lain. Kini cabaran institusi pilihan raya dilihat lebih besar kerana berhadapan dengan persoalan sama ada mampu mengekalkan nilai ketelusan dalam proses pilihan raya dan adakah institusi ini mampu memberikan gambaran yang lebih adil tentang nilai pengurusannya. Kepercayaan rakyat, kumpulan-kumpulan berkepentingan, parti-parti politik di dalam proses pilihanraya adalah penting bukan sahaja untuk pengamalan pilihan raya itu sendiri tetapi turut mencerminkan kredibiliti sesebuah kerajaan yang dibentuk hasil sistem pilihan raya tersebut, kerana sistem yang rosak tidak mampu untuk menghasilkan sebuah kerajaan yang adil dan bermatlamat.

Kemahiran dan idea pengurusan yang tinggi amat diperlukan dalam pengurusan pilihan raya dan ini adalah menjadi tanggungjawab institusi yang terlibat dalam aktiviti proses pilihan raya. Institusi-institusi sebegini mempunyai kapasiti dan bentuknya yang tersendiri serta mempunyai pelbagai gelaran dan nama di seluruh dunia. Setiap negara mungkin mempunyai nama institusi pengurusan pilihan rayanya yang berbeza dan ini termasuklah "Suruhanjaya Pilihan raya", "Jabatan Pilihan raya", "Majlis Pilihan raya", "Unit Pilihan raya" ataupun"Lembaga Pilihan raya".

Institusi pengurusan pilihan raya ini mempunyai pelbagai matlamat dan objektif kerja yang perlu dilaksanakan, menguruskan elemen-elemen penting pilihan raya dan instrumen demokrasi yang berkaitan. Elemen-elemen penting yang menjadi tanggungjawab institusi pengurusan pilihan raya ini adalah seperti:

a) menentukan rakyat yang layak mengundi
b) menerima dan mengesahkan pencalonan calon
c) menguruskan proses pengundian
d) menjalankan pengiraan undi
e) menetapkan penjadualan pilihan raya

Institusi pengurusan pilihan raya yang berbeza muncul untuk proses pilihan raya yang berbeza. Di Mexico dan Poland misalnya, Institusi pengurusan pilihan rayanya bertanggungjawab terhadap proses pilihan raya presiden dan juga pilihan raya parlimen, Di Lithuania pula, sebuah institusi pengurusan bertanggungjawab terhadap pilihan raya presiden dan sebuah lagi institusi berfungsi secara berasingan menguruskan pilihan raya parlimen. Di Britain, pengurusan untuk menjalankan pentadbiran pilihan raya dan pungutan suara adalah berbeza di antara satu sama lain. Ada juga institusi pengurusan pilihan raya yangmenjalankan fungsi yang lebih luas seperti Suruhanjaya Pilihan raya New Zealand, yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran parti-parti politik, menetapkan peruntukkan masa berkempen dan dana rasmi kepada parti-parti, memantau simpanan dan perbelanjaan parti serta memberikan maklumat dan pendidikan kepada para pengundi.

Disebabkan wujudnya kepelbagaian fungsi tanggungjawab bagi elemen-elemen yang berbeza dalam proses pilihan raya ini, tanggungjawab pengurusan ini mungkin dibahagikan kepada badan-badan bertanggungjawab pada peringkat yang berbeza. Sebagai contoh, sesetengah elemen pengurusan mungkin akan diuruskan pada peringkat nasional iaitu suruhanjaya pilihan raya, sebuah kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, atau agensi nasional kerajaan, manakala urusan yang lainnya dikuatkuasakan oleh suruhanjaya peringkat tempatan atau pihak berkuasa tempatan seperti yang berlaku di Sepanyol. Terma institusi pengurusan pilihan raya mungkin boleh digunakan kepada suruhanjaya piliharanya peringkat kebangsaan yang menguruskannya secara bersama dengan pihak berkuasa tempatan, Seperti Penguasa Pilihan raya Sweden, yang memasukkan fungsi menyelaraskan percetakan kertas undi, pembahagian kerusi dan pengumuman tarikh dan keputusan pilihan raya pada peringkat negara.

Menurut Institusi Demokrasi dan Bantuan Pilihan raya (IDEA), terdapat tiga model utama yang dapat menggambarkan idea pengurusan pilihan raya secara lebih jelas dan terperinci. Tiga model tersebut ialah Model Bebas (Independent Model), Model Kerajaan (Governmental Model)dan Model Campuran (Mixed Model). Ketiga-tiga model ini mempunyai ciri-ciri yang cukup berbeza dan ia mampu memberikan kita idea mengenai sistem pengurusan pilihan raya yang wujud di seluruh dunia.

Model Bebas

Model bebas dalam pengurusan pilihan raya ini wujud dalam negara-negara yang pilihanrayanya dianjurkan dan diuruskan oleh badan pengurusan yang diinstitusikan sebagai bebas dan mempunyai kuasa berasingan daripada badan eksekutif dalam kerajaan, dan menguruskannya menggunakan belanjawan sendiri. Di bawah model ini, sesebuah institusi pengurusan pilihanraya tidak bertanggungjawab kepada kementerian atau jabatan kerajaan. Ia mungkin bertanggungjawab kepada legislatif, kehakiman atau ketua negara. Institusi pengurusan pilihan raya di bawah model bebas ini mempunyai kelebihan dari sudut autonomi dan tanggungjawab yang lebih luas serta berbeza. Ahli-ahlinya juga terdiri daripada individu-individu yang tidak terlibat dengan badan eksekutif kerajaan. Banyak negara demokrasi yang baru muncul memilih model bebas untuk pengurusan pilihan raya mereka. Antara contoh negara yang menggunakan model bebas ini ialah Armenia, Australia, Bosnia Herzegovina, Burkina Faso, Kanada, Costa Rica, Estonia, Georgia, India, Indonesia, Liberia, Mauritius, Nigeria, Poland, Afrika Selatan, Thailand dan Uruguay.

Di sesetengah negara, dua badan diwujudkan untuk menguruskan pilihan raya, kedua-duanya bebas dari pengaruh eksekutif dan boleh dianggap sebagai institusi pengurusan pilihan raya yang bebas. Satu bahagian daripada badan ini dilihat mempunyai tanggungjawab membuat keputusan dasar berkaitan dengan proses pilihan raya, dan satu lagi bahagian mempunyai tanggungjawab menguruskan dan menguatkuasakan proses pilihan raya. Terdapat undang-undang yang memisahkan kedua-dua bahagian ini daripada saling mempengaruhi dalam soal kakitangan dan operasi. contoh negara yang mempunyai institusi pengurusan pilihan raya dalam kerangka ini adalah seperti Jamaica, Romania, Surinam dan Vanuatu.

Model Kerajaan

Model kerajaan dalam pengurusan pilihan raya ini wujud di dalam negara-negara yang pilihanrayanya diuruskan dan dianjurkan oleh badan eksekutif melalui kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri dan/atau melalui pihak berkuasa tempatan. Di mana institusi pilihan raya di bawah model kerajaan ini wujud pada peringkat nasional, ianya akan diketuai oleh menteri atau penjawat awam dan bertanggungjawab kepada menteri kabinet. Dengan sedikit pengecualian ia tidak mempunyai "ahli khusus". Belanjawannya menjadi tanggungjawab kementerian dalam kerajaan dan/atau di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.

Negara-negara yang institusi pengurusan pilihan rayanya menggunakan model ini adalah seperti Denmark, New Zealand, Singapura, Switzerland, Tunisia, Britain (hanya untuk pilihan raya bukan pungutan suara) dan juga Amerika Syarikat. Di Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat, pilihan raya dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan. Di Sweden dan Switzerland institusi pengurusan pilihan raya pusat mengandaikan dasar dan menyelaraskan peranan.

Model Campuran

Model campuran dalam pengurusan pilihan raya biasanya terdiri daripada dua komponen institusi pengurusan pilihan raya, dan ini melihatkan kepada kewujudan dua struktur; sebuah institusi dasar, pemantauan dan penyeliaan yang bebas dari kongkongan eksekutif dalam kerajaan dan sebuah institusi penguatkuasaan yang berada di dalam jabatan atau kementerian kerajaan dan/atau kerajaan tempatan. Di bawah model ini, pilihan raya dianjurkan oleh komponen institusi kerajaan, dengan sedikit peringkat pemerhatian dari institusi bebas. Model campuran ini sering digunakan di negara-negara seperti Perancis, Jepun, Sepanyol dan bekas tanah jajahan Perancis terutamanya di Afrika Barat seperti Mali, Senegal dan Togo.

Kuasa, fungsi dan kekuatan komponen institusi bebas dalam hubungannya dengan institusi kerajaan adalah berbeza, dan kadangkala ada sesetengah negara yang menggunakan model campuran ini tetapi tidak begitu ketara penggunaannya. Dalam sesetengah kes institusi pengurusan pilihan raya bebas adalah lebih kecil lagi daripada tanggungjawab pemantauan, walaupun versi sebegini sudah semakin hilang sebagai contohnya di Senegal. Dalam kes yang lain, komponen bebas mempunyai peranan untuk memantau dan mengesahkan penguatkuasaan pilihan raya oleh komponen kerajaan, seperti yang berlaku di Madagascar, dan kadangkala turut terlibat dalam proses penjadualan dan keputusan, seperti yang berlaku di Congo dan Togo. Di sesetengah negara bekas jajahan Perancis, Majlis Perlembagaan terikat dengan kerja penjadualan pilihan raya dan pengisytiharan keputusan dan boleh dianggap sebagai komponen bebas di dalam model campuran. Di Chad, ia hanya digunakan dalam pungutan suara sahaja, dan bukannya dalam pilihan raya umum. Di Mali, di mana pilihan raya diuruskan oleh Kementerian Pentadbiran Wilayah, kedua-dua Suruhanjaya Bebas Pilihan raya Kebangsaan dan Mahkamah Perlembagaan menjalankan penjadualan keputusan masing-masing.

IDEA telah menjalankan satu kaji selidik pada tahun 2006 berkaitan dengan pengurusan pilihan raya di 214 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dan mendapati 55 peratus menggunakan model bebas, 26 peratus mengikut model kerajaan dan 15 peratus mengaplikasikan model campuran dalam pengurusan pilihan raya mereka, manakala baki empat peratus merujuk kepada negara yang tidak melaksanakan pilihan raya di peringkat nasional.

1 kata-kata kawan:

dyanadaisy berkata...

mesin itu bukan rosak.. dysfunction ja! hahha